Thursday, April 2, 2015

6ixth Sense ubat rindu peminat


  • 6ixth Sense ubat rindu peminat6ixth Sense

SEMPENA 10 tahun bergiat dalam industri muzik tanah air dan kemunculan album kompilasi terbaharu, kumpulan 6ixth Sense tampil menghiburkan peminat setianya menerusi persembahan Rockin Sunday Live With 6ixth Sense di Kafe Hard Rock Kuala Lumpur, pada malam minggu lalu.

Bercakap lebih lanjut mengenai showcase itu, vokalisnya Adi Priyo Sambodo atau lebih mesra disapa Adi mengakui berpuas hati dengan keseluruhan persembahan dan sambutan daripada peminat yang hadir.

“Walaupun hanya berpeluang menyampaikan 12 buah lagu, kami sangat berpuas hati dengan persembahan pada malam ini (Ahad).

“Alhamdulillah, peminat yang hadir memberi respons yang sangat baik dan kami sangat gembira kerana berjaya membuat mereka terhibur malam ini.

“Kami tidak sangka sambutan peminat pada malam ini memandangkan sebahagian besar peminat kami adalah mereka yang berada di luar Kuala Lumpur,” katanya teruja.

Tambah pemain gitarnya yang dikenali sebagai Atan, persembahan mereka pada malam itu sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi di mana ramai yang menganggap kumpulan mereka sudah terkubur.

“Persembahan malam ini bagi kami adalah satu platform kerana mungkin sebelum ini ramai yang anggap kami sudah tidak aktif dan dianggap tua untuk buat persembahan seperti ini.

“Jadi untuk malam ini kami buktikan bahawa 6ixth Sense masih lagi aktif dan bertenaga dalam persembahan walaupun jarang tampil untuk membuat persembahan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, 6ixth Sense yang kini sibuk mengumpulkan baka-bakat baharu untuk diketengahkan, mereka juga sibuk mengumpul material untuk menghasilkan album penuh yang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

Persembahan bertenaga

Persembahan yang dihadiri lebih kurang 500 peminat itu, mula membuka tirai dengan aksi bertenaga daripada kumpulan anak muda yang menggelar diri sebagai Cherpen Band tepat jam 9.15 malam.

Kumpulan yang bernaung di bawah Luna Suara Records yang juga merupakan anak didik 6ixth Sense menghangatkan malam showcase dengan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Sumpah Merindui, Sumpah Menyintai, Selalu Denganmu dan termasuk lagu cover daripada Once berjudul Hilang Naluri.

Showcase itu terus diserikan lagi dengan penampilan sebuah lagi band didikan 6ixth Sense iaitu Sakura Band yang turut menyampaikan tiga buah lagu iaitu I Love It dari Icona Pop, Melepaskanmu dan Pelarian yang turut dijadikan sebagai runut bunyi drama popular Aku Isterinya.

Vokal mantap yang dilontarkan vokalis kumpulan ini menghangatkan lagi ruang kafe yang dipenuhi peminat yang menantikan kumpulan kesayangan mereka.

Tepat jam 10 malam, persembahan yang dinanti-nantikan peminat yang hadir bermula.

6ixth Sense mula membuat persembahan dengan lagu Cinta Mati sebelum menyampaikan Semanis Cinta  yang popular sebagai runut bunyi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.

Kelincahan Adi selaku vokalis dan persembahan bertenaga yang diberikan oleh Wan (drum), Gjie (bass), Atan (gitar) dan Ayoy (gitar) nyata berjaya menghiburkan peminat yang hadir.

Tidak hanya menyampaikan lagu-lagu terbaharu, kumpulan yang terdiri daripada lima anggota ini berjaya mengimbas semula nostalgia peminat yang hadir dengan seleksi lagu-lagu yang pernah mereka popularkan sebelum ini.

Ruang kafe menjadi lebih gamat apabila peminat turut sama menyanyikan lagu-lagu yang dekat dengan halwa telinga seperti Hari Ini Dan Semalam, Tanpa, Menyesal, Dari Hati, Tak Bisa Memilihmu dan Khatimah Cinta.

Sebagai penutup, 6ixth Sense memilih lagu terbaharu 7 Kali Malam Minggu yang kini mula mendapat tempat teratas di beberapa carta radio tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: