UJIAN selalunya datang tanpa diduga. Kadangkala, ujian juga menjadikan seseorang itu lebih matang dan bersemangat dalam melewati hari-hari yang mendatang.
Situasi tersebut jelas menggambarkan warna kehidupan pengacara dan pelakon, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Dynas Mokhtar.
Walaupun pernah melalui fasa hidup yang pahit selepas berpisah dengan bekas suaminya, Mohd. Hafizy Hafiz pada Februari tahun lalu, namun hati dan jiwa pelakon filem Impak Maksima itu tidak pernah tertutup untuk menerima cinta baharu.
Buktinya, Dynas, 32, kini dilihat lebih terbuka berkongsi tentang hubungan mesra yang terjalin bersama seorang jejaka menerusi gambar-gambar yang dimuat naik di Instagramnya.
Ibu kepada Khyra Khalyssa, 5, dan Mohamed Haqaish, 3, itu turut mengaku sedang menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang telah memberi nafas baharu buat dirinya.
Berkesempatan berbual dengannya menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Dynas memberitahu, dia dan kekasihnya itu masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain.
Bagaimanapun, ujar Dynas, dia enggan terburu-buru untuk meletakkan sebarang label terhadap hubungan tersebut dan hanya menyerahkan soal jodoh bersama lelaki yang enggan didedahkan identitinya itu kepada takdir.
KOSMO!: Menerusi wawancara yang dilakukan oleh sebuah rancangan hiburan, Dynas mengaku sedang bercinta dengan seorang lelaki. Boleh ceritakan sedikit mengenai hubungan kalian berdua?
DYNAS: Sebenarnya, saya tidak mahu meletakkan sebarang label terhadap hubungan kami berdua. Jika ditanya sama ada saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengannya, saya lebih selesa mengaku sedang mengenalinya dengan lebih dalam.
Bagaimanakah anda berdua berkenalan?
Saya mengenalinya sejak zaman sekolah menerusi teman-teman rapat. Pada waktu itu, saya berada di tingkatan lima dan dia sedang belajar di sebuah kolej. Hubungan kami memang akrab sejak dahulu lagi.
Sudah berfikir untuk mendirikan rumah tangga bersama?
Belum lagi. Buat masa ini, saya tidak mahu fikir soal kahwin. Seperti yang diberitahu, saya dan dia masih mengenali hati budi masing-masing. Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Saya serahkan semua kepada takdir.
Mengapakah anda mengambil masa untuk mengenalinya walhal dia merupakan kawan anda sejak zaman sekolah?
Benar, dia merupakan kawan lama tetapi saya mahu mengenalinya dengan lebih baik. Ini merupakan hubungan baharu yang saya jalin selepas bercerai, jadi jika ditakdirkan kami hidup bersama, saya mahu ia menjadi yang terbaik buat saya.
Apakah perkara yang paling anda gusarkan sebelum membuat keputusan untuk kembali menerima cinta daripada seorang lelaki?
Kegagalan. Sebab siapa yang mahu gagal dalam perhubungan? Namun, gagal itu tidak bermakna saya akan terus kecundang dalam percintaan. Saya jadikan kegagalan dulu sebagai pelajaran untuk meneruskan hubungan dengannya.
Jika ditakdirkan bersama, apakah perkara paling penting untuk mengekalkan hubungan anda berdua?
Bagi saya, keikhlasan merupakan perkara yang sangat penting dalam mana-mana hubungan. Saya tidak bermaksud hubungan lalu terjalin tanpa keikhlasan, tetapi itulah perkara yang saya cari dalam sesebuah hubungan. Selain itu, setiap individu perlu bijak menyesuaikan diri dan belajar untuk menerima perkara baik serta buruk daripada pasangan masing-masing.
Apakah keistimewaan yang ada pada teman lelaki anda sehingga anda jatuh hati padanya?
Dia merupakan seorang lelaki yang sangat penyabar. Selain itu, dia juga sangat menghormati orang tua.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak anda terhadap teman lelaki anda?
Khyra dan Haqaish memang rapat dengan rakan-rakan saya. Jadi, disebabkan telah lama kenal, hubungan mereka memang baik.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?
Buat masa ini, saya sedang sibuk menguruskan perniagaan secara online di Instagram iaitu Maroon.Red (pakaian untuk wanita) dan DNA by Dynas (busana untuk ibu mengandung).
Selain itu, saya juga dalam proses perbincangan untuk mengacarakan sebuah program berbentuk kemasyarakatan tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: