Thursday, April 2, 2015

18 Peserta Tunjuk Hebat Dalam Rancangan Realiti Dewi Remaja


Antara peserta rancangan realiti Dewi Remaja.
KUALA LUMPUR: Pencarian bakat Dewi Remaja 2014/2015 yang berkonsepkan program realiti dilihat mampu memberi impak kepada para peserta terutamanya dalam mewujudkan pengaruh di kalangan penonton.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, menerusi program realiti itu peserta dapat menunjukkan daya kreativiti dan menyerlahkan bakat terpendam kepada penonton.

"Legasi penganjuran Dewi Remaja tidak dapat disangkal kerana terbukti ramai nama-nama besar dilahirkan menerusi pertandingan ini.

"Sudah tiba masanya Astro bekerjasama dengan Majalah Remaja intuk membawa jenama pertandingan itu ke peringkat lebih besar," katanya kepada mStar Online.
Raqim ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta akhir Dewi Remaja 2014/2015 di Restoran ROA di sini, Rabu.

18 peserta terpilih adalah Syamin Farid, 23, Farah Ibrahim 20, Qish Maarif 25, Tya Shahid 19, Natrah Khalid 21, Zamrina Zamrin 20, Mawar Rashid 19, Ely Dura, 21, Fify Azmi, 24.
Raqim Ahmad

Turut bertanding Kate Davies, 24, Deja Eshrina, 22, Deeba Halil, 24, Anness Sofea, 18, Puteri Aishah, 20, Nana Gomez, 22, Fatin Amira, 23, Nia Hanem, 23, dan Raysha Rizrose, 18.

Dewi Remaja 2014/2015 bakal bersiaran setiap hari Sabtu, pukul 8.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135) bermula 4 April ini.

Dalam pada itu, Raqim berkata, pihaknya yakin program itu nanti mampu memikat hati penonton sekali gus peserta dapat mengumpul kelompok peminat.

Menerusi program realiti itu juga dapat membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar tempelan tetapi hadir dengan pakej lengkap.

"Kami bukan ingin menonjolkan kecantikan semata-mata tetapi lebih daripada itu kerana Dewi Remaja melihat kepada pakej lengkap termasuk bakat dan kebijaksanaan.

"Ini adalah peluang mereka untuk menonjolkan diri dengan kelebihan masing-masing dalam memikat hati penonton," jelasnya.

Sementara itu, Raqim berkata, selain program Dewi Remaja 2014/2015, pihaknya turut menerbitkan beberapa program khas seperti Reunion Dewi Remaja dan Kapsul Profil Dewi Remaja.

Bekas juara Hero Remaja 2008 iaitu Kamal Adli dan hos Hlive!, She Nabilla akan bertindak sebagai pengacara program berkenaan.

Manakala selebriti terkenal Erra Fazira dan Edry Abdul Halim dilantik sebagai juri tetap dan seorang juri jemputan akan mengadili peserta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: