Saturday, April 11, 2015

Kemelut Keluarga Jins Shamsuddin, Adik Kesali Sikap Abang


Hang Nadim meminta abangnya Hang Tuah supaya datang ke rumah untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam keluarga mereka. 
KUALA LUMPUR: Anak bongsu kepada Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Nadim kesal apabila abangnya (berlainan ibu), Hang Tuah @ Shazrin mendedahkan kemelut keluarga mereka dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel PNB Darby Park di sini pada Jumaat.

Hang Nadim, 24, berkata, Hang Tuah sepatutnya bersemuka dengan keluarganya tanpa melibatkan pihak luar dalam apa juga isu berbangkit untuk berbincang secara baik.

"Saya tidak faham mengapa perlu melibatkan orang lain dalam hal keluarga? Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk menerima kunjungannya biarpun sudah empat tahun dia tidak datang menjenguk ayah.

"Hendak kata kami pernah menghalaunya sebelum ini tiada pula. Sepatutnya isu ini diselesaikan di antara kami sahaja," katanya.

"SAYA ANAK JINS SHAMSUDDIN YANG SAH" - HANG TUAH

Hang Nadim mengulas mengenai sidang media yang diadakan oleh Hang Tuah, 41, bagi memperbetulkan fakta dikeluarkan ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar harian 5 Februari lalu.

Halijah dikatakan membuat kenyataan dengan mendakwa bekas Ahli Dewan Negara itu hanya mempunyai tiga orang anak menerusi dua perkahwinan.
Hang Nadim menjadi tumpuan media selepas dia turut hadir pada sidang media yang diadakan abangnya di Hotel PNB Darby Park pada Jumaat.
Bagaimanapun Hang Tuah menegaskan dia adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan kedua bapanya dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973.

Hang Nadim turut hadir pada sidang media berkenaan bersama beberapa ahli keluarga lain tanpa pengetahuan Hang Tuah.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hang Nadim menyifatkan kenyataan ibunya lebih kepada sindiran selain apa yang diucapkannya itu kerana hatinya terluka dengan sikap Hang Tuah.

"Bayangkan perasaan orang tua sepertinya apabila seorang anak tidak datang menjenguk keluarga selama empat tahun selain senyap tanpa sebarang khabar berita.

"Apa yang dilafazkan ibu saya adalah semata-mata kerana terkilan dan tidak sepatutnya Hang Tuah meminta ibu saya memohon maaf kepadanya," ujar Hang Nadim.

Diminta mengulas mengenai penjelasan Hang Tuah mengenai dia adalah anak kandung Jins Shamsuddin, Hang Nadim berkata, dia tidak perlu menjawab perkara itu secara terbuka kepada media namun menganggap individu itu sebagai ahli keluarganya.
Hang Tuah menegaskan dia anak kandung Jins Shamsuddin.
"Apa yang boleh saya katakan saya tahu semua cerita sebenar kerana ketika ayah masih sihat, ayah pernah menceritakan kepada saya termasuk perkara dibangkitkan Hang Tuah dalam sidang media ini.

"Malah saya mempunyai semua bukti yang turut saya bawa bersama dalam sidang media ini dan berharap dia akan datang ke rumah sekiranya ingin mengetahui cerita sebenar," jelasnya.

Dalam pada itu, Hang Nadim berkata, dia tidak berpuas hati dengan alasan 'isu peribadi' menjadi punca Hang Tuah tidak datang menjenguk bapa mereka selama empat tahun.

"Soalan saya mudah, mengapa tidak menjenguk ayah selama empat tahun atau bertanya khabar? Apa kesalahan yang telah ayah atau kami lakukan sehingga dia bertindak sedemikian?

"Bukannya dia tidak tahu di mana kami tinggal malah sebelum ini ada beberapa kali dia bermalam di rumah kami.
Jins Shamsuddin kini berada dalam keadaan uzur akibat penyakit Alzheimer.
"Biarpun kami bukanlah terlalu rapat tetapi seingat saya hubungan kami sebelum ini baik malah saya memanggilnya dengan panggilan 'Abang Wah'," ujarnya.

Sementara itu, Hang Nadim berkata, dia berasa kasihan kepada bapanya apabila kemelut itu berlaku kerana ayahnya itu tidak dapat berbuat apa-apa bagi mempertahankan dirinya kerana ingatannya yang semakin lemah akibat penyakit Alzheimer.

Katanya lagi, tindakan Hang Tuah mengadakan sidang media hanya akan mencalarkan nama baik bapa mereka di mata masyarakat yang tidak mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

"Perkara ini cukup memalukan dan mencalarkan nama ayah kerana selama bertahun-tahun dia membina namanya dengan reputasi baik tetapi akhirnya jadi begini," katanya.

"Tiada Asas Tuduh Saya Tanggung Suami" - Yana Samsudin


Yana menyangkal dakwaan kononnya dia menanggung kehidupan suaminya sejak berkahwin.
PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin menjelaskan tuduhan kononnya dia menanggung kehidupan suaminya, Fadzil Zahari sejak berkahwin adalah salah faham dan tuduhan yang tidak mempunyai asas kukuh.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, perkara itu timbul mungkin disebabkan latar belakang sebenar suaminya tidak pernah didedahkan selain Fadzil lebih dikenali sebagai adik kepada aktor Farid Kamil.

"Dakwaan itu tidak benar kerana dia mempunyai pendapatannya sendiri dan dia sebenarnya seorang yang bijak dalam perniagaan.

"Pada saya salah faham itu timbul kerana dia jarang menonjolkan latar belakangnya selain orang mengenali dia sebagai adik kepada Farid Kamil," ujarnya kepada mStar Online.
Yana ditemui pada majlis sidang media pelancaran program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang di Hotel Empire di sini pada Khamis lalu.

Pelakon itu bakal bertindak sebagai hos program yang bakal bersiaran bermula Ahad ini pada pukul 9 malam di TV3 bersama AG (Hot FM).

Dalam pada itu, Yana berkata, Fadzil mempunyai sebuah syarikat iaitu Prokuya Studios, sebuah agensi pengiklanan dan pengurusan bakat yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
Yana kini bahagia bersama Fadzil.

Jelas Yana, sikap merendah diri Fadzil membuatkan segelintir pihak salah faham dengan peranan sebenar dia yang dilihat kerap bersamanya di majlis-majlis hiburan.

"Saya faham apabila orang selalu nampak dia bersama saya pasti mereka akan tertanya-tanya apakah pekerjaan sebenar Fadzil?

"Tetapi dia seorang yang merendah diri dan tidak terlalu menonjol. Pada masa sama, dia sebenarnya sentiasa sibuk menguruskan syarikatnya itu," kata Yana.

Sementara itu, Yana berkata, dia tidak berhasrat untuk bernaung di bawah syarikat suami bagi menguruskan kerjaya seninya kerana enggan mencampur-adukkan hal profesional dan peribadi yang mungkin akan memberi kesan kepada ikatan suami-isteri di antara mereka.

Jelas Yana, biarpun Fadzil ada membuat cadangan itu tetapi dia menolak dengan baik selain lebih selesa menguruskan kerjayanya sendiri.

"Biarlah dia hanya menjadi suami saya dan bukannya terlibat secara profesional dalam kerjaya kerana saya bimbang ia akan memberi kesan kepada hubungan kami nanti.

"Saya juga kini selesa menguruskan sendiri karier saya namun saya terbuka dalam menerima pendapat daripada suami berhubung kerjaya saya," katanya.

Yana dan Fadzil bernikah pada 13 Februari lalu.

Caliph Buskers Di Stesen LRT Dang Wangi Hari Ini


Caliph Buskers bakal menghiburkan pengguna LRT.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Caliph Buskers mengadakan sesi khas bertemu peminat di stesen transit aliran ringan (LRT) Dang Wangi pada Sabtu (hari ini) bermula pukul 2 petang.

Kumpulan yang dianggotai Golongan Kelainan Upaya (OKU) itu menjanjikan satu persembahan hebat dan bakal mendendangkan lagu dari album sulung mereka termasuk lagu hit, Hanya Nama Mu.

Program yang dianjurkan oleh Prasana Malaysia Berhad (Prasarana) turut menampilkan kumpulan Forteen dan #Tag.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Prasarana, Lim Jin Aun berkata, program itu diadakan sebagai satu pra acara mempromosikan program 'Busking in Transit' disamping menceriakan perjalanan para pelanggan.

"Program terbabit kini dalam fasa akhir perancangan dan akan dilancarkan pertengahan tahun ini dengan Caliph Buskers sebagai antara artis utama," katanya.

Tambah beliau, Prasarana sedang mengenal pasti stesen LRT dan monorel serta hab bas tertentu bagi kumpulan busker membuat persembahan sebagai langkah meningkatkan keceriaan di stesen terbabit.

"Prasarana sedang mengatur pelbagai program dan aktiviti selaras dengan aspirasi untuk membina gaya hidup baharu dalam kalangan rakyat di negara ini berkisarkan kehidupan di sekitar stesen," katanya.

Lim berkata, konsep yang dibangunkan adalah melalui penekanan baharu untuk projek Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan (TOD) dengan membuka lebih banyak ruang komersil dan penempatan berhampiran stesen.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Prasarana melalui e-mel busking@rapidkl.com.my.

"Saya Anak Jins Shamsuddin Yang Sah" - Hang Tuah


Hang Tuah tampil membuat penjelasan bagi memperbetulkan fakta dikeluarkan oleh ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah yang mendakwa Tan Sri Jins Shamsuddin hanya mempunyai tiga cahaya mata. 
KUALA LUMPUR: Anak kedua Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah @ Shazrin menegaskan dia adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan kedua bapanya dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973.

Hang Tuah, 41, berkata, dia tampil membuat penjelasan itu kerana ingin memperbetulkan fakta dikeluarkan ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar harian 5 Februari lalu yang mendakwa bekas Ahli Dewan Negara itu hanya mempunyai tiga orang anak menerusi dua perkahwinan.

"Sidang media ini saya adakan kerana ingin memperbetulkan fakta dan menjelaskan kepada umum bahawa kenyataan Puan Sri Halijah Abdullah  bahawa bapa saya hanya mempunyai tiga anak menerusi dua perkahwinan adalah tidak tepat.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anak kandung beliau yang sah malah saya turut membawa beberapa bukti untuk mengesahkan perkara itu kepada semua," katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri mStar Online  di PNB Darby Park di sini pada Jumaat.

Pada sidang media berkenaan Hang Tuah turut ditemani oleh dua peguamnya, Abdul Malek Mokhtar dan Saiful Adli Mohd Arshad.
Hang Tuah (tengah) bersama dua peguamnya iaitu Abdul Malek (kanan) dan Saiful Adli menunjukkan bukti bahawa dia adalah anak kepada seniman veteran itu.
Adik bongsu Hang Tuah iaitu Putera Hang Nadim, 24, turut berada pada sidang media itu bersama beberapa ahli keluarga lain.

Menerusi laporan artikel berkenaan, Halijah mendakwa Jins Shamsuddin mempunyai dua orang anak bersamanya iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim manakala seorang hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Allahyarham Rahmah Rahmat iaitu Mohamad Jefri.

Halijah dalam artikel sama memberitahu dia membuat penjelasan itu selepas terdapat dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab konon suaminya mempunyai seorang lagi anak.

Dalam pada itu, Hang Tuah berkata, dia memanggil pihak media untuk membuat penjelasan itu kerana tidak mahu masyarakat terkeliru mengenai status sebenarnya biarpun berat untuknya mendedahkan perihal peribadi keluarga kepada umum.

Bagaimanapun katanya, pendedahan sebenar itu perlu dibuat bagi memastikan nama ibunya terpelihara daripada sebarang andaian negatif selepas artikel berkenaan diterbitkan.
Hang Tuah menjelaskan dia tidak berniat untuk memanjangkan isu berkenaan cuma ingin menjelaskan fakta sebenar.
Malah dia juga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu tirinya gara-gara perkara itu dan hanya ingin menjernihkan suasana.

"Saya buat sidang media ini bukan hanya untuk diri saya tetapi kerana ibu saya yang agak terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Halijah dan hanya ingin menjernihkan suasana.

"Tetapi tidaklah sampai saya ingin membawa kes ini ke mahkamah dan sekiranya beliau sedar ia satu kesilapan dia hanya boleh memohon maaf.

"Saya juga bukan mahu menuntut harta bapa dan tidak akan berkecil hati sekiranya tidak mendapat apa-apa pada masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, Hang Tuah berkata, bukti paling nyata dia adalah anak kandung Jins adalah menerusi buku biografi bapanya hasil tulisan Mohd Zamberi A. Malek berjudul Suria Kencana diterbitkan pada tahun 1998 yang menyebut pelakon itu pernah berkahwin dengan Jamilah pada tahun 1973 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu dirinya.
Anak bongsu Jins, Putera Hang Nadim turut hadir ke sidang media berkenaan.
Jelasnya, fakta menerusi buku berkenaan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak malah meminta pengesahan dibuat dengan penulis berkenaan yang kini menetap di Taiping, Perak untuk sebarang kepastian.

"Selain buku berkenaan status saya sebagai anak kepada Jins adalah sah di sisi undang-undang malah pengenalan diri bapa atau nama lainnya Mohamed Jin Samsudin atau Mohd Zain Samsudin adalah orang yang sama.

"Ia disahkan sendiri oleh pihak Ketua Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Negara  dan paling penting ia mengesahkan saya adalah anak kandung Jins Shamsudin," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hang Tuah berkata, dia tidak pasti mengapa ibu tirinya itu mengeluarkan kenyataan sedemikian dan tidak dapat mengesahkan sama ada wanita berkenaan mengetahui cerita sebenar tentang siapa dirinya.

Bagaimanapun Hang Tuah yang juga bekas juruterbang syarikat Air Asia X menjelaskan dia tidak menolak perkara itu berlaku berpunca daripada rasa kecewa ibu tirinya apabila dia tidak datang menjenguk bapa sejak empat tahun lalu.
Hang Tuah menunjukkan sijil kelahirannya. 
Hang Tuah jua tidak mahu mendedahkan punca sebenar mengapa dia enggan melawat bapanya dan hanya memberitahu ia berkaitan isu peribadi.

"Kali terakhir saya berjumpa ayah ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan saudara di Taiping dan sejak itu saya tidak pernah lagi menemuinya kerana alasan peribadi dan tidak boleh saya ceritakan di sini.

"Pun begitu, saya boleh katakan hubungan saya dengan ibu tiri dan adik-beradik lain sebagai 'biasa' dan tidak pernah bergaduh sebelum ini.

"Malah setiap kali Hari Raya kami pasti berkumpul bersama-sama di kampung dan kehadiran saya memang diketahui," jelasnya.

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai dirinya, Hang Tuah berkata, sejak dilahirkan dia dibesarkan oleh ibu saudaranya yang juga kakak kepada Jins iaitu Hazizan Samsudin di Taiping, Perak.
Jins Shamsuddin
Jins Shamsuddin kini berada dalam keadaan uzur.

Namun kata Hang Tuah, bapanya sering melawatnya di kampung dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepadanya biarpun hubungan mereka tidak rapat.

"Saya hanya mengenali secara dekat ibu kandung saya sejak 10 tahun lepas kerana sejak kecil saya dibesarkan oleh ibu saudara di kampung malah saya memanggilnya dengan gelaran 'mak'.

"Ayah ada melawat saya dari masa ke semasa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa namun hubungan kami tidaklah terlalu akrab," ujarnya.

Jins Shamsuddin yang kini berusia 80 tahun tinggal bersama Halijah di Hulu Klang dekat sini dan keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer.

Pengurus Kesal, Peguam & Keluarga Larang Jumpa Zamani


Zamani (kiri) bersama peguamnya Ahmad Zahari Muhaiyar (kanan) di mahkamah Majistret, Ampang pada 10 Mac lalu.
PETALING JAYA: Pengurusan Zamani (Slam) mendedahkan pihaknya dilarang keras berjumpa penyanyi itu sejak dia mendapat rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah di ibu negara.

Pengurusnya Johan Aziz, 49, berkata, pihaknya pelik apabila keluarga dan peguam Zamani iaitu Ahmad Zaharil Muhaiyar bertindak sedemikian selain menganggap larangan tersebut sebagai tidak adil.

"Sejak Zamani menerima rawatan kami tidak dibenarkan untuk berjumpa dengannya melainkan keluarga dan peguamnya sahaja.

"Bagi saya tindakan itu tidak adil kerana sebagai wakil pengurusannya banyak perkara tentang kerjayanya termasuk urusan persembahan yang dipersetujui lebih awal perlu diselesaikan bagi mengelakkan masalah lain pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Terdahulu, abang kepada Zamani iaitu Zulfazil Ibrahim bersama Ahmad Zaharil dalam satu sidang media mendakwa penyanyi itu mengalami masalah kewangan serius selain memerlukan RM50,000 untuk melakukan pembedahan tulang belakang yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.

Dakwa Zulfazil, adiknya itu mengalami masalah kewangan kerana tidak mempunyai akaun bank peribadi selain sejumlah wang penyanyi itu disimpan oleh pihak yang menguruskan kerjaya seni Zamani.

Johan Aziz

Dalam pada itu, Johan menegaskan semua wang hasil persembahan pentas penyanyi akan dimasukkan terus ke akaun peribadinya dan Zamani mengetahui perkara itu.

Jelas Johan, perkara berkenaan sepatutnya boleh diselesaikan secara baik menerusi perbincangan namun dia malangnya pihak peguam enggan berbuat demikian.

”Benda ini sebenarnya tidak perlu dihebohkan kepada media kerana pihak peguam dan keluarga boleh berjumpa terus dengan saya untuk mendapatkan kepastian tentang isu tersebut. Saya tidak lari ke mana pun.

"Apa yang mereka buat sekarang hanya akan menambah malu bukan kepada pihak pengurusan tetapi Zamani sendiri dan sebab itu saya tidak berhasrat untuk menjelaskan secara lanjut berhubung dakwaan itu.

"Abang Zamani sepatutnya lebih tahu ke mana perginya semua wang Zamani," katanya.

Sementara itu, Johan berkata, pihaknya masih terbuka dengan sebarang bentuk perbincangan dengan wakil keluarga dan peguam bagi menyelesaikan kekeliruan tersebut.

Terdahulu, Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim bersama seorang wanita ditahan polis pada 21 Januari lalu kerana didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram selepas polis membuat serbuan di kediamannya di Taman Keramat, dekat sini.

Dia ditahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Filem 'Fast & Furious' Pecah Rekod Box-Office Di Malaysia


Dwayne Johnson sebagai ejen Hobbs dalam Fast & Furious 7
PETALING JAYA: Francais filem Fast & Furious  berjaya memecahkan rekod baharu box-office di Malaysia.

United International Pictures Malaysia (UIP) dalam satu kenyataan berkata, filem itu berada di tempat pertama dengan menewaskan 'Transformers: Age Of Extinction' dan 'Iron Man 3'sebagai filem terlaris dalam sejarah tayangan Malaysia.

Sebuah portal hiburan dalam talian melaporkan bahawa Fast & Furious  telah memperolehi AS$392.2 juta (RM1.4 bilion) selepas tujuh minggu ditayangkan di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat sahaja, filem tersebut berjaya meraih ASS$143.6 juta (RM520 juta) selepas ditayangkan di 4,004 lokasi.

Sejak filem pertama ditayangkan pada tahun 2001, francais telah berjaya memperolehi lebih daripada AS$2 bilion (RM7.2 bilion) hasil kutipan di seluruh dunia.

Pengarah Urusan UIP, Nicholas Yong berkata: "Kami sedar bahawa ramai peminat di negara ini tidak sabar untuk menyaksikan Fast & Furious dan dan kami amat kagum dengan keputusan yang luar biasa tersebut.

"Aksi lasak serta adingan yang menarik itulah yang di sifatkan oleh orang ramai mengenai filem yang penuh dengan nilai kekeluargaan  dan unsur lucu ini.

"Filem ini diarahkan oleh pengarah kelahiran Malaysia, James Wan, dan ini merupakan filem terakhir Paul Walker," katanya.

Paul Walker meninggal dunia pada 30 November 2013, selepas terlibat dalam kemalangan kereta pada usia 40 tahun dan tidak sempat menghabiskan penggambaran filem itu.

Adik Paul Walker Caleb dan Cody menggantikan tempatnya untuk menghabiskan baki adegan dalam filem tersebut.

Dalam satu temubual dengan Los Angeles Times, Wan berkata, ia adalah sukar untuk kembali bekerja tanpa Walker dan semua pelakon serta pihak produksi mahu filem ini diteruskan kerana ingin memberi perhormatan kepada beliau.

Wan juga turut mengulas mengenai pengalamannya bekerja bersama adik Paul Walker untuk meneruskan watak tersebut.

"Mereka memberi kerjasama untuk saya meneruskan pengambaran ini sehingga tamat kerana ia merupakan sebagai penghargaan kepada Paul Walker," jelasnya.

Fast & Furious 7 dibintangi oleh Vin Diesel, Jason Statham, Dwayne Johnson, Kurt Russel, Michelle Rodriguez and Jordana Brewste.

Khadijah Ibrahim Buka Cawangan Baru Khadijah's Kitchen


Khadijah Ibrahim di depan cawangan ketiga restorannya Khadijah's Kitchen yang terletak di Shah Alam, Selangor.
SHAH ALAM: Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim meluaskan cabang perniagaan restorannya Khadijah's Kitchen apabila bakal membuka lapan lagi cawangan selepas menerima respons positif daripada pelanggan mengenai masakan Melayu yang disediakan.

Khadijah atau lebih selesa dipanggil Khaty berkata, perancangan untuk meluaskan cawangan Khadijah's Kitchen ke seluruh Malaysia dilakukan sekepas pihaknya berhasrat menjadikan restoran berkenaan sebagai francais.

"Francais ini dilakukan untuk memudahkan para pelanggan menikmati makanan di restoran saya kerana kebanyakan mereka datang dari pelbagai negeri.

"Kita akan mengekalkan konsep 'Kopitiam' seperti cawangan ke-3 ini pada masa hadapan  kerana konsep seperti ini lebih santai dan sesuai untuk orang ramai menjamu selera," katanya kepada mStar Online.
Khaty berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pembukaan cawangan baru Khadijah’s Kitchen di Plaza Shah Alam, Selangor, di sini Khamis.

Khadijah menjual makanan tradisional Melayu.

Selepas cawanagn pertama beroperasi di Petaling Jaya, dekat sini lima tahun lalu, Khaty telah meluaskan sayapnya dengan membuka cawangan kedua di PV 128, Danau Kota, Setapak dan kini membuka cawangan ketiganya di Plaza Shah Alam.

Dia juga turut mengekalkan menu yang sama serta memastikan kualiti makanan yang disediakan akan terjaga selain mengambil kira kehendak pelanggan di kawasan tersebut.

"Kita akan mengekalkan konsep makanan autentik Malaysia seperti goreng pisang, lempeng, roti jala dan laksa Johor untuk menyelaraskan menu setiap cawangan.

"Dengan menu yang sama disediakan, ia dapat memudahkan orang ramai untuk datang kerana mereka sudah mengetahui di mana mendapatkan makanan  autentik Malaysia ini," jelasnya lagi.

Tambah Khaty dia merancang meluaskan perniagaanya di pasaran antarabangsa pada tahun hadapan dengan mengekalkan konsep makanan autentik Malaysia.

Dalam perkembangan lain Khaty sedang membuat persediaan untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar di Istana Budaya pada 22 hingga 23 Januari tahun depan.

"Saya membahagikan masa untuk menguruskan perniagaan Khadijah's Kitchen dan dalam masa yang sama akan fokus kepada acara konsert pula," katanya yang bakal muncul dengan “single” lagu baru  berjudul Kurnia Baiduri. 

Anil Kapoor & Bipasha Basu Teruja Ke Malaysia Selepas 13 Tahun

Anil Kapoor (kanan) dan Bipasha Basu.
KUALA LUMPUR: Selepas 13 tahun, anugerah penghargaan terbesar Bollywood iaitu Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) edisi ke 16 kembali dianjurkan buat kali kedua di negara ini.

Ia akan diadakan pada 7 Jun depan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Wakil bintang Bollywood iaitu pelakon Anil Kapoor berkata, acara ini merupakan salah satu pengiktirafan yang paling dinanti-nantikan setiap tahun oleh pengiat-pengiat filem Hindi.

Malah dia begitu gembira apabila Malaysia sekali lagi menjadi lokasi majlis yang bakal menghimpunkan nama-nama besar dalam industri filem Hindi.

"Sebagai salah seorang ahli yang bergiat aktif dalam industri perfileman India dan wakil IIFA, saya merupakan antara yang menyaksikan perkembangan IIFA sejak ia diperkenalkan.

"Sehingga kini IIFA dilihat menjadi medan dan platform kepada pengiat seni Bollywood untuk berkembang ke seluruh dunia. Saya juga gembira apabila acara ini sekali lagi dianjurkan di negara ini," ujarnya.

Bipasha (dua dari kiri) dan Anil Kapoor (dua dari kanan) hadir dalam sidang media mengenai anugerah IIFA. 
Anil Kapoor dan Bipasha Basu ditemui pada majlis mengumumkan penganjuran Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India edisi ke-13 di Hotel The Ritz Carlton, di sini, Rabu.

Acara kemuncak anugerah IIFA akan berlangsung pada 7 Jun depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sempena penganugerahan tersebut, dua acara turut berlangsung iaitu konsert Rock IIFA pada 5 Jun di Istana Budaya manakala, pada 6 Jun pula tayangan filem berjudul Dil Dhadakne Do lakonan Ranveer Singh dan Priyanka Chopra akan diadakan di GSC, Pavilion.

Dalam pada itu, Bipasha Basu berkata, negara ini menyimpan kenangan manis buatnya kerana dia pertama kali memenangi kategori Wajah Baru di IIFA pada tahun 2002.

Katanya, seperti pelancong lain, dia juga mahu menikmati makanan tradisional negara ini dan menghabiskan masa dengan membeli-belah.

"Sudah tentu negara ini menyimpan kenangan paling manis buat saya apabila buat pertama kali saya memenangi anugerah sebagai Wajah Baru pada tahun tersebut.

"Kali ini saya sangat teruja untuk mencari makanan-makanan istimewa dan tradisional di Malaysia. Selain itu, saya juga ingin melihat beberapa pusat beli-belah terkenal di negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu lebih 10 selebriti popular sudah mengesahkan kehadiran mereka bagi meraikan malam kemuncak IIFA pada 7 Jun nanti.

Antaranya Prinyka Chopra, Arjun Kapoor, Dia Mirza, Boney Kapoor, Fawed Khan, Alia Bhatt dan Farhan Akhtar.

Sebelum ini IIFA pernah dianjurkan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Afrika Selatan, Sri Langka, dan Kanada.

Sementara itu, penjualan tiket untuk acara tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

18 tahun Rabbani


  • Rabbani

PEMERGIAN vokalis nasyid, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri pada 2009 dikatakan menjadi punca kumpulan nasyid Rabbani kini kian tenggelam dari dunia hiburan tempatan.

Dakwaan itu pastinya tidak menyenangkan, apatah lagi dikaitkan dengan insan yang telah tiada. Realitinya, walaupun terpaksa berjuang tanpa kehadiran pemimpin utama kumpulan itu, Rabbani masih wujud dan terus bertahan dalam industri muzik tanah air hari ini.

Bahkan, Rabbani kini yang menginjak usia ke-18 tahun masih lagi meneruskan usaha menyampaikan dakwah melalui lagu-lagu nyanyian mereka.

Ekoran itu, sempena ulang tahun tersebut, Rabbani berbesar hati meraikan peminat mereka dengan mengadakan beberapa siri jelajah ke beberapa negeri melalui kelab peminatnya, Rabbani Fan Club (RFC).

Ketua kumpulannya, Azadan Abdul Aziz memberitahu, siri jelajah itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli RFC dan peminat di seluruh negara.

"Kami sedar, RFC dan peminat adalah kekuatan kami yang sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua aktiviti yang dijalankan oleh kami.

"Setakat ini, kami baharu saja pulang dari Perak dan Pulau Pinang. Bahkan, sempena cuti sekolah lalu, kami berkesempatan mengadakan persembahan di Bukit Bendera, Pulau Pinang," katanya kepada Zass.

Tidak terhenti setakat itu, Azadan memberitahu, siri jelajah itu akan diteruskan di kawasan Pantai Timur hujung April ini.

"Kami akan mengadakan Majlis Makan Malam Mahabbah Rabbani di Hotel Prinzpark, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 17 April ini.

"Melalui program itu, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan selain peminat dapat menikmati jamuan makan malam dan persembahan istimewa dari Rabbani," katanya sambil memberitahu ia terhad kepada 200 peserta sahaja. Pada masa sama, kata Azadan, Rabbani turut terlibat dalam menjayakan beberapa program dalaman bersama-sama Pusat Tahfiz Darul Ulama yang dimiliki oleh Ustaz Abdul Kadir Che Mat dan Ustaz Adnan.

"Alhamdulillah, tahun ini, kami terpanggil untuk bekerjasama ekoran rasa tersentuh selepas melihat sendiri kedaifan madrasah tahfiz itu yang terletak di Kampung Melayu, Kundang, Sungai Buloh.

"Kami mendapati hampir 200 pelajar belajar dalam keadaan serba kekurangan biarpun mempunyai keperluan asas yang cukup.

"Oleh itu, sebagai membantu membangunkan madrasah tersebut, kami baharu saja selesai mengadakan majlis makan malam dan dapat mengumpul lebih RM200,000," katanya.


Kembara Bakti Tahfiz Darul Ulama

Sejajar dengan usaha yang dilakukan itu, Rabbani tidak lupa mengajak semuanya peminatnya agar sama-sama berbakti membantu golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, tertubuhlah pakej Kembara Bakti Tahfiz Darul Ulama Bersama Rabbani yang bertujuan untuk mengajak peminat bukan saja melancong tetapi juga beramal.

"Kami baharu saja pulang dari Kemboja pada 24 Mac lalu yang melibatkan 50 peserta.

"Ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna buat kami dan peminat. Melihat kesusahan dan kedaifan masyarakat Islam di perkampungan perahu dan kawasan pendalaman seperti di Kampung Jiah dan Kampung Cham sekali gus mengajar erti bersyukur dengan nikmat yang dikecap di negara sendiri.

"Bukan itu saja, setiap peserta turut diraikan dengan persembahan istimewa dari Rabbani," katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Azadan memberitahu, pakej kembara ini akan diteruskan ke Pattani, Thailand pada 29 Mei hingga 1 Jun ini.

"Kami berhasrat untuk meneruskan pakej kembara ini ke beberapa negara jiran. Insya-ALLAH, selepas Pattani, Thailand kami akan ke Aceh pula.

"Oleh itu. kami ingin sama-sama mengajak untuk berbakti kepada semua saudara kita yang memerlukan. Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma terus sendiri kepada tangan yang sangat memerlukan.

"Biarpun konsepnya adalah kembara bakti yang mana kami mengajak peminat pergi melancong sambil berbakti tetapi kami juga menggalakkan mereka memberi sumbangan kepada mereka yang sangat daif," katanya.

Bagi mereka yang ingin mengikuti pakej kembara dan majlis makan malam amal bersama Rabbani, bolehlah menghubungi Rabbani menerusi e-mel azadan_rabbani@yahoo.com.

Koleksi Emas

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan ulang tahun ke-18, Rabbani juga menghasilkan sebuah album kompilasi berjudul Koleksi Emas Rabbani.

Album yang berharga RM27.90 itu dilancarkan pada awal Mac lalu dan dihasilkan oleh Rabbani Productions serta diedarkan oleh Inteam Records.

"Album itu menampilkan koleksi lagu dari album pertama sehinggalah yang terkini.

"Lebih istimewa, ia turut mengandungi lagu Mawar Berdarah yang telah memenangi Lagu Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2013," katanya.

Kata Azadan, album itu menghimpunkan 28 lagu terbaik Rabbani sepanjang zaman termasuklah Intifada, Pergi Tak Kembali, Subuh Yang Terakhir, Insaf, Sifat 20, Teman Sejati, Mahabbah, Maulana, Kerlipan Cinta, Musafir Kelana dan Berpaut Pada SabdaMu.

"Setiap lagu ini merupakan lagu-lagu hits daripada album-album sebelum ini.

"Lagu ini turut menjadi pilihan berikutan menerima maklum balas positif daripada peminat.

"Jadi, kami memilihnya atas permintaan daripada peminat kami," katanya.

Pada masa sama, kumpulan nasyid yang memiliki lapan ahli itu turut sedang merangka album baharu yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya tahun ini.

Oh La La: Filem animasi muzikal pertama Malaysia


  • Oh La La: Filem animasi muzikal pertama Malaysia

JIKA sebelum ini, nama Datuk Abdul Rahman Sallehudin, lebih sinonim dalam dunia penerbitan siri televisyen, namun untuk tahun ini, beliau tampil mempertaruhkan karya dalam industri perfileman tempatan.

Menerusi syarikat penerbitan, Infinite Motion Sdn Bhd, penerbit dan pengarah ini bakal mempersembahkan sebuah filem animasi muzikal pertama Malaysia, Oh La La. Bakal ditayangkan di pawagam mulai 28 Mei 2015, filem animasi ini mengisahkan dua pemuzik jalanan yang ingin berjaya dalam kehidupan dan seorang guru vokal yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal, tetapi dugaan dan cabaran menjadi halangan.
Namun, demi muzik, persahabatan dan impian mereka bersatu dan bersama mengejar keajaiban untuk menjadi juara. Bertanya mengenai idea asal untuk menghasilkan filem animasi yang menarik ini, Abdul Rahman memberitahu bahawa perjalanan Dompok, Ana dan Rok telah bermain di fikirannya sejak enam tahun lalu.
"Saya banyak menonton filem-filem animasi dari luar negara, antaranya Show White, Toy Story dan Brave. Walaupun diterbitkan dalam bentuk animasi, namun ia sangat menarik.
"Saya turut merantau untuk menonton filem animasi dunia dan dari situ saya mula membuat perbandingan. Mengapa kita tidak boleh menghasilkan sesuatu yang hebat seperti itu?
"Setelah membuat kajian, saya mendapati rakyat Malaysia menyukai muzik dan sukan. Jadi, saya memilih muzik untuk diterjemahkan menerusi, Oh La La," katanya.
Memilih tajuk Oh La La, Abdul Rahman memberitahu, ianya merujuk kepada nama kota yang dibina menerusi filem ini.

"Oh La La, mungkin lebih dekat dengan gambaran sesuatu perkara yang hebat dan 'wow. Namun, menerusi filem animasi ini, kami namakan kota yang mereka diami itu sebagai Oh La La," katanya yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri animasi.

Peluang untuk bekas graduasi

Menariknya, filem animasi muzikal ini menggunakan sepenuh tenaga kerja daripada anak-anak muda tempatan, yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Menurut Abdul Rahman, menyedari anak-anak muda yang berkelulusan dalam bidang ini tidak mempunyai peluang yang luas dalam kerjaya, beliau mewujudkan Infinite Motion Sdn. Bhd sebagai sebuah studio animasi yang menggunakan 100 peratus kepakaran tenaga seni kreatif anak-anak muda tempatan.

"Untuk pelakon suara, saya mengadakan uji bakat peringkat demi peringkat untuk proses pemilihan. Dalam uji bakat berkenaan, saya dapati ramai dalam kalangan anak muda yang berbakat namun, kurang diberikan peluang.

"Kami memilih anak muda yang betul-betul berbakat dan mempunyai kebolehan untuk menyanyi serta berlakon. Malah, ada di kalangan pekerja tetap kami yang mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan, nyanyian dan muzik yang menyertai pembikinan filem ini.
"Untuk proses lakon suara, kami mengambil masa selama enam bulan dan keseluruhan masa yang diambil untuk menyiapkan filem ini dari segi skrip, idea dan suntingan adalah dua tahun," katanya lagi.

Menelan kos produksi RM4 juta, filem animasi yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini  turut mendapat bantuan dana kerajaan menerusi geran daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Kami mendapat dana kerajaan sebanyak RM2 juta dan selebihnya adalah dana sendiri. Sejujurnya, kos penghasilan filem animasi adalah melebihi filem biasa.

"Namun, jika dinilai dari segi kos produksi untuk menghasilkan filem animasi, ia memerlukan kos yang lebih besar. Sebagai contoh penghasilan filem animasi luar negara, mereka membelanjakan sehingga RM400 juta (USD).

"Namun, kita agak terikat dengan kos produksi namun itu bukanlah halangan untuk menghasilkan filem yang kurang berkualiti. Kita akan tetap memastikan ianya setanding dengan filem luar," jelasnya.

Cabaran dunia animasi
Ditanya mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh produksi tempatan sepertinya dalam menghasilkan filem animasi, beliau memberitahu beberapa kekangan yang melibatkan kos dan tenaga kerja.

Katanya, selain kekangan bajet, produksi tempatan perlu berdepan dengan kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman dalam bidang animasi.

"Saya nampak, industri perfileman tempatan sangat 'miskin' dengan karya animasi. Sebagai pemain industri, saya terpanggil untuk menyemarakkan pembikinan filem ini, namun perlu berdepan dengan beberapa perkara.

"Saya akui, kita kekurangan tenaga kerja dan sekiranya kita ingin mengambil 'orang luar' untuk membantu, berapa banyak yang perlu kita bayar? Lagipun, ia tidak memberi kebanggaan kepada kita sendiri sebagai produk tempatan.

"Begitu juga dengan penggunaan perisian software 3D. Untuk mendapatkan software berkenaan, kita perlu membelanjakan RM1.5 juta, ia adalah satu nilai yang besar.
"Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkannya dan saya bersyukur kerana kami mampu membawa satu mercu tanda kebanggaan kepada negara dengan penghasilan filem animasi muzikal pertama ini," katanya lagi.
Tambah Abdul Rahman, kekangan masa amat mencemburui mereka kerana proses pembikinan ini lebih rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Walaupun nampak mudah, tapi ia amat mencabar. Dalam filem ini, saya juga mencipta 14 buah lagu dan tiga daripadanya adalah dalam bentuk keroncong termasuk lagu, Keroncong Kuala Lumpur, yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee, namun dirakam semula dalam filem ini.
"Lagu-lagu yang saya cipta dalam filem ini adalah Harmoni, Oh La La,  Di Malam Ini, Aku Tak Tahu,  Matahari, Mengapa Tak Bagitahu, Kita, Oh Kasih, Crazy About You, Inilah Kehidupan, Blues Dari Kami, Misteri, Girlfriend Baru, Yang Maha Pengasih Dan Penyayang, Tampal Poster, Keroncong Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran.
"Filem ini bukanlah filem animasi untuk hiburan semata-mata, namun saya  menyelitkan identiti, budaya dan warisan Melayu Nusantara," katanya.
Jelajah pertama di Perancis
Walaupun filem ini menerapkan elemen-elemen patriotik, namun ia bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja kerana filem animasi ini akan turut menjelajah ke luar negara.

Bermula dengan promosi di Cannes pada tahun lalu, filem ini bakal diterbangkan ke persada dunia melalui promosi di Pasaran TV dan Filem di MIPCOM, Cannes, Perancis pada Oktober 2015 nanti.

"Insya-ALLAH, selepas ini Oh La La akan diperluaskan ke beberapa negara luar termasuk Spain, Istanbul dan Australia. Sebagai persediaan, kami telah menyediakan terjemahan suara dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran dunia.

"Sekiranya pasaran itu diperluaskan, kami akan menyediakan proses alih suara kerana ada beberapa negara yang tidak begitu 'dekat' dengan Bahasa Inggeris," katanya yang memberitahu filem ini lulus tanpa pindaan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Seperti penerbit dan produksi lain, Abdul Rahman juga mengharapkan sambutan yang baik dalam kalangan penonton tempatan.

"Saya berharap, percaturan pertama saya dalam bidang perfileman ini diterima ramai. Sokongan daripada masyarakat kita adalah amat diharapkan.

"Begitu juga untuk bidang filem animasi. Walaupun tidak diperluaskan di negara kita, saya harap, suatu hari nanti, ada kelompok penggerak di masa akan datang," katanya yang akan turut menyediakan proses The Making Of Oh La La, untuk tayangan di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara percuma.

KWSP timbang selaras umur pengeluaran

  • kwsp

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
  
Beliau berkata, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
  
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
    
"Secara kasarnya kira-kira 70 peratus orang yang mengeluarkan simpanan persaraan mereka sepenuhnya akan pada dasarnya menghabiskan wang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
    
"Orang Malaysia kini membuat pengeluaran pertama (pada usia 55 tahun) sebelum bersara penuh (pada usia 60 tahun), dan kami sedang mengkaji isu ini bagi maklum balas dasar yang tepat," kata Shahril pada taklimat media di sini, hari ini, sempena dengan pengeluaran Laporan Tahunan 2014 KWSP.
 
Beliau berkata, walaupun KWSP mencadangkan jumlah sekurang-kurangnya RM196,800 selepas persaraan, perangkaan menunjukkan hanya 22 peratus penyumbang aktif berusia 54 tahun memenuhi minimum ini tahun lepas.
  
Malahan lebih membimbangkan, 68 peratus daripada ahli KWSP pada usia yang sama memiliki kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, katanya.
  
Maklumat daripada laporan KWSP menunjukkan simpanan asas ditetapkan pada RM196,800 bagi memberikan pendapatan bulanan RM820 untuk tempoh 20 tahun sehingga usia 75 tahun.
    
Ia juga menyatakan berdasarkan usia persaraan bagi rakyat Malaysia iaitu 60 tahun, dan jangka hayat 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita, jumlah simpanan (RM196,800) akan memerlukan seorang pesara untuk terus hidup pada hanya RM700 sebulan sepanjang hayatnya.
  
Ini malahan kurang daripada had kemiskinan iaitu RM830 sebulan pada 2012 seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Perangkaan.
  
"Adalah penting untuk mula merancang persaraan seawal mungkin kerana memupuk tabiat menabung memerlukan disiplin dan masa yang mencukupi," demikian menurut laporan itu.
  
Perancangan yang baik memastikan gaya hidup yang dihajati dapat dicapai selepas persaraan disokong oleh pendapatan yang mencukupi, tetapi ketika ini satu-satunya bentuk simpanan utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah jumlah yang mereka simpan dalam KWSP.
     
KWSP berkata ia merancang satu projek perintis yang bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan asas dan perancangan persaraan dengan menawarkan khidmat nasihat persaraan di dua cawangannya di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. 

Luahan Norman buat Memey...

  • Luahan Norman buat Memey

MENDIRIKAN rumah tangga pada 2011, tiada apa yang membahagiakan pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, setelah melihat dua wajah kesayangan mereka sepanjang tempoh hampir empat tahun bersama.

Dikurniakan cahaya mata pertama, Mohamed Darwisz Hakim, 2, pada awal Februari 2013, kini keluarga bahagia ini bertambah lengkap dengan kehadiran putera kedua mereka.

Tepat jam 9.57 malam kelmarin (Rabu), Memey selamat melahirkan bayi kedua mereka dengan berat 3.45 kilogram di hospital swasta di ibu kota.

Walaupun ia bukanlah kandungan pertama buat Memey, namun sesuatu yang ditulis Norman buat isteri tercintanya di laman sosial, Instagram (IG), miliknya, amat menyentuh hati.

Memberi penghargaan yang tidak terhingga buat isterinya, Norman mengakui bahawa kaum Hawa diberikan kekuatan luar biasa yang sangat hebat untuk menghadapi situasi itu.

Antara tulisan Norman yang mampu menitiskan air mata peminat yang membacanya ialah "Maha Kuasa Allah dicipta ‘suatu kekuatan’ yang sangat hebat buat kaum Hawa dalam situasi yang kaum Adam tak pernah dapat rasa dan bayangkan!.

"Seminggu sebelum tarikh ini (8/4/15), sayalah manusia yang paling tak keruan! Tidur malam tak lena asyik tersentak, mengadap muka dan perut isteri sepanjang malam risau bila la nak bersalin. Sekarang ke? Pagi nanti ke? Tapi 'wifey' tetap relax." tulis Norman di sekeping gambar yang dikongsi bersama sebelum dan selepas isterinya bersalin.

Malah, bapa kepada tiga anak bersama bekas isterinya, Abby Abadi ini juga turut mengakui bahawa dia antara saksi 'perjuangan' isterinya. Paling menyentuh perasaan, apabila Norman mengakui sangat takut sekiranya kehilangan isterinya yang tercinta itu.

"Aku takut sangat ni Ya ALLAH kalau aku hilang dia. Tolong aku Ya ALLAH dan Alhamdulillah ALLAH dengar dan segalanya selamat. Terima kasih ALLAH, terima kasih para malaikat, terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan. Terima kasih," tulisnya.

Hasil perkahwinan terdahulu, Norman turut mempunyai tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim, 7.

Dynas tidak mahu terburu-buru


WALAUPUN gambar teman lelakinya telah tersebar (kiri), Dynas belum bersedia mendedahkan nama dan latar belakang lelaki berkenaan.


UJIAN selalunya datang tanpa diduga. Kadangkala, ujian juga menjadikan seseorang itu lebih matang dan bersemangat dalam melewati hari-hari yang mendatang.
Situasi tersebut jelas menggambarkan warna kehidupan pengacara dan pelakon, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Dynas Mokhtar.
Walaupun pernah melalui fasa hidup yang pahit selepas berpisah dengan bekas suaminya, Mohd. Hafizy Hafiz pada Februari tahun lalu, namun hati dan jiwa pelakon filem Impak Maksima itu tidak pernah tertutup untuk menerima cinta baharu.
Buktinya, Dynas, 32, kini dilihat lebih terbuka berkongsi tentang hubungan mesra yang terjalin bersama seorang jejaka menerusi gambar-gambar yang dimuat naik di Instagramnya.
Ibu kepada Khyra Khalyssa, 5, dan Mohamed Haqaish, 3, itu turut mengaku sedang menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang telah memberi nafas baharu buat dirinya.
Berkesempatan berbual dengannya menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Dynas memberitahu, dia dan kekasihnya itu masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain.
Bagaimanapun, ujar Dynas, dia enggan terburu-buru untuk meletakkan sebarang label terhadap hubungan tersebut dan hanya menyerahkan soal jodoh bersama lelaki yang enggan didedahkan identitinya itu kepada takdir.
KOSMO!: Menerusi wawancara yang dilakukan oleh sebuah rancangan hiburan, Dynas mengaku sedang bercinta dengan seorang lelaki. Boleh ceritakan sedikit mengenai hubungan kalian berdua?
DYNAS: Sebenarnya, saya tidak mahu meletakkan sebarang label terhadap hubungan kami berdua. Jika ditanya sama ada saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengannya, saya lebih selesa mengaku sedang mengenalinya dengan lebih dalam.
Bagaimanakah anda berdua berkenalan?
Saya mengenalinya sejak zaman sekolah menerusi teman-teman rapat. Pada waktu itu, saya berada di tingkatan lima dan dia sedang belajar di sebuah kolej. Hubungan kami memang akrab sejak dahulu lagi.
Sudah berfikir untuk mendirikan rumah tangga bersama?
Belum lagi. Buat masa ini, saya tidak mahu fikir soal kahwin. Seperti yang diberitahu, saya dan dia masih mengenali hati budi masing-masing. Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Saya serahkan semua kepada takdir.
Mengapakah anda mengambil masa untuk mengenalinya walhal dia merupakan kawan anda sejak zaman sekolah?
Benar, dia merupakan kawan lama tetapi saya mahu mengenalinya dengan lebih baik. Ini merupakan hubungan baharu yang saya jalin selepas bercerai, jadi jika ditakdirkan kami hidup bersama, saya mahu ia menjadi yang terbaik buat saya.
Apakah perkara yang paling anda gusarkan sebelum membuat keputusan untuk kembali menerima cinta daripada seorang lelaki?
Kegagalan. Sebab siapa yang mahu gagal dalam perhubungan? Namun, gagal itu tidak bermakna saya akan terus kecundang dalam percintaan. Saya jadikan kegagalan dulu sebagai pelajaran untuk meneruskan hubungan dengannya.
Jika ditakdirkan bersama, apakah perkara paling penting untuk mengekalkan hubungan anda berdua?
Bagi saya, keikhlasan merupakan perkara yang sangat penting dalam mana-mana hubungan. Saya tidak bermaksud hubungan lalu terjalin tanpa keikhlasan, tetapi itulah perkara yang saya cari dalam sesebuah hubungan. Selain itu, setiap individu perlu bijak menyesuaikan diri dan belajar untuk menerima perkara baik serta buruk daripada pasangan masing-masing.
Apakah keistimewaan yang ada pada teman lelaki anda sehingga anda jatuh hati padanya?
Dia merupakan seorang lelaki yang sangat penyabar. Selain itu, dia juga sangat menghormati orang tua.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak anda terhadap teman lelaki anda?
Khyra dan Haqaish memang rapat dengan rakan-rakan saya. Jadi, disebabkan telah lama kenal, hubungan mereka memang baik.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?
Buat masa ini, saya sedang sibuk menguruskan perniagaan secara online di Instagram iaitu Maroon.Red (pakaian untuk wanita) dan DNA by Dynas (busana untuk ibu mengandung).
Selain itu, saya juga dalam proses perbincangan untuk mengacarakan sebuah program berbentuk kemasyarakatan tidak lama lagi.

Thursday, April 2, 2015

Syarul Ridzuan, Mia Ahmad Bimbang Hilang Populariti Di Slot Akasia


Syarul Ridzuan dan Mia Ahmad
PUTRAJAYA: Pelakon drama Hati Perempuan menaruh harapan tinggi terhadap karya itu selain menggangap ia sebagai batu loncatan untuk menaikan populariti mereka.

Kedua-dua pelakon utamanya iaitu Syarul Ridzuan dan Mia Ahmad merasakan drama yang disiarkan menerusi slot Akasia, TV3 itu dapat melonjakkan nama mereka agar lebih dikenali.

Syarul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, pada awalnya dia harus berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan untuk memegang watak utama dalam drama itu kerana populariti slot berkenaan.

Ini kerana kata Syarul, sebagai pendatang baru, ada kalanya kemunculan mereka di slot utama membantu meraih sokongan peminat dan jika nasib kurang baik, ia akan memusnahkan kerjaya seseorang.
Antara adegan dalam Hati Perempuan.

"Saya mengambil risiko untuk berlakon dalam slot ini bersama pelakon baharu supaya saya dapat berdikari sendiri kerana sebelum ini saya banyak dibantu oleh pelakon berpengalaman dalam sesebuah drama," katanya kepada mStar Online.
Syarul berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran di sebalik tabir drama slot Akasia 'Hati Perempuan' di Taman Ekuestrian Putrajaya, di sini, Rabu.

Hati Perempuan yang merupakan drama adaptasi novel itu akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam bermula 30 Mac menerusi slot Akasia di TV3.

Selain Syarul Ridzwan, drama 28 episod arahan Kas Roshan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mia Ahmad, Hafreez Adam, Aidil Aziz, Bella Nazari, Hafeez Mikail dan Nazmi Adhwa.

Sementara itu heroin drama berkenaan Mia Ahmad atau Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, pada awalnya dia takut untuk menerima tawaran itu kerana risau dengan penerimaan peminat mengenai lakonannya itu.

Syarul Ridzuan.

"Slot ini boleh menaikkan seseorang artis itu atau menjatuhkan mereka tetapi bila difikirkan kembali peluang ini bukan datang selalu, takkan saya nak orang kenal saya menerusi watak pembantu sahaja.

"Saya mengambil ini sebagai satu cabaran dan banyak membuat kajian mengenai novel tersebut untuk menghayati watak yang diberikan supaya dapat memberi yang terbaik dan diterima oleh penonton," katanya.

Drama ini mengisahkan mengenai Yuhanis (Mia Ahmad), seorang gadis tegas dan berdikari yang bekerja sebagai arkitek di syarikat Izzudin & Co manakala Tengku Zaril (Syarul Ridzwan), adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paradigma Holding, mempunyai rangkaian perniagaan seluruh dunia.

Bagi Yuhanis, Tengku Zaril ialah lelaki kaya yang sinis dan menjengkelkan. Tetapi entah mengapa Tengku Zaril tiba-tiba melamar Yuhanis sedangkan sering sahaja mereka berselisihan faham sewaktu berurusan. 

GST: Danny Nyaris Jadi Mangsa Ditipu Peniaga


Danny (X-Factor).
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Danny (X-Factor) terkilan apabila ada peniaga cuba mengambil kesempatan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu dengan mengenakan bayaran tidak munasabah.

Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa, 35, berkata, dia nyaris menjadi mangsa penipuan ketika membeli sehelai tuala pelbagai guna apabila peniaga sebuah kedai runcit gagal memberikan resit dan nombor pendaftaran cukai tersebut sedangkan barangan berkenaan dikenakan caj.

"Saya bukannya menentang pelaksanaan GST tetapi peniaga juga harus telus dan bukannya cuba menipu pembeli dengan mengenakan cukai tersebut wahal mereka masih belum mendaftarkan perniagaan mereka kepada pihak Kastam.

"Apabila saya minta resit, peniaga berkenaan memberi pelbagai alasan yang nyata dia cuba menipu pelanggan dan tindakannya itu sudah salah dari segi undang-undang," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Danny mengulas mengenai status Facebook miliknya yang tidak berpuas hati dengan seorang peniaga apabila cuba menipunya ketika membuat pembelian pada hari pertama pelaksanaan GST di seluruh negara pada Rabu.
Luahan Danny mengenai kejadian dia hampir ditipu peniaga.
Dalam pada itu, Danny berkata, dia bukan sengaja mahu memperbesar-besarkan hal tersebut sebaliknya ingin menyuarakan secara terbuka agar pengguna lain lebih berhati-hati dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun kata Danny, dia tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan berharap agar peniaga berkenaan tidak mengulangi taktik sama untuk memperdaya pembeli.

"Dalam peringkat awal pelaksanaan GST pasti akan timbul pelbagai masalah dan kekeliruan dan contoh paling dekat apa yang terjadi kepada saya.

"Sebab itu saya suarakan di Facebook agar tiada orang lain akan terkena seperti saya," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Danny berkata, dia baharu sahaja membuka sebuah restoran iaitu Kafe Tamada di Kolam Memancing Taman U, Seri Kembangan dekat sini sejak dua bulan lalu.

Kata Danny, kafenya itu menyediakan pelbagai jenis juadah untuk pengunjung yang datang memancing di kawasan tersebut dan memberitahu sambutan diterimanya sangat baik.

"Alhamdulillah sudah dua bulan saya buka kafe berkenaan dan respons daripada pelanggan juga cukup baik terutamanya pengunjung pusat memancing itu," katanya.

18 Peserta Tunjuk Hebat Dalam Rancangan Realiti Dewi Remaja


Antara peserta rancangan realiti Dewi Remaja.
KUALA LUMPUR: Pencarian bakat Dewi Remaja 2014/2015 yang berkonsepkan program realiti dilihat mampu memberi impak kepada para peserta terutamanya dalam mewujudkan pengaruh di kalangan penonton.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, menerusi program realiti itu peserta dapat menunjukkan daya kreativiti dan menyerlahkan bakat terpendam kepada penonton.

"Legasi penganjuran Dewi Remaja tidak dapat disangkal kerana terbukti ramai nama-nama besar dilahirkan menerusi pertandingan ini.

"Sudah tiba masanya Astro bekerjasama dengan Majalah Remaja intuk membawa jenama pertandingan itu ke peringkat lebih besar," katanya kepada mStar Online.
Raqim ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta akhir Dewi Remaja 2014/2015 di Restoran ROA di sini, Rabu.

18 peserta terpilih adalah Syamin Farid, 23, Farah Ibrahim 20, Qish Maarif 25, Tya Shahid 19, Natrah Khalid 21, Zamrina Zamrin 20, Mawar Rashid 19, Ely Dura, 21, Fify Azmi, 24.
Raqim Ahmad

Turut bertanding Kate Davies, 24, Deja Eshrina, 22, Deeba Halil, 24, Anness Sofea, 18, Puteri Aishah, 20, Nana Gomez, 22, Fatin Amira, 23, Nia Hanem, 23, dan Raysha Rizrose, 18.

Dewi Remaja 2014/2015 bakal bersiaran setiap hari Sabtu, pukul 8.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135) bermula 4 April ini.

Dalam pada itu, Raqim berkata, pihaknya yakin program itu nanti mampu memikat hati penonton sekali gus peserta dapat mengumpul kelompok peminat.

Menerusi program realiti itu juga dapat membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar tempelan tetapi hadir dengan pakej lengkap.

"Kami bukan ingin menonjolkan kecantikan semata-mata tetapi lebih daripada itu kerana Dewi Remaja melihat kepada pakej lengkap termasuk bakat dan kebijaksanaan.

"Ini adalah peluang mereka untuk menonjolkan diri dengan kelebihan masing-masing dalam memikat hati penonton," jelasnya.

Sementara itu, Raqim berkata, selain program Dewi Remaja 2014/2015, pihaknya turut menerbitkan beberapa program khas seperti Reunion Dewi Remaja dan Kapsul Profil Dewi Remaja.

Bekas juara Hero Remaja 2008 iaitu Kamal Adli dan hos Hlive!, She Nabilla akan bertindak sebagai pengacara program berkenaan.

Manakala selebriti terkenal Erra Fazira dan Edry Abdul Halim dilantik sebagai juri tetap dan seorang juri jemputan akan mengadili peserta.