PASIR MAS - Ribuan anak ikan kecil membanjiri kawasan pintu air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berhampiran Kampung Batu Hampar, Tok Uban di sini, sejak tiga hari lalu.
Fenomena itu menyebabkan kawasan berkenaan menjadi riuh dengan kehadiran penduduk kampung untuk menangkap anak ikan tersebut.
Bagaimanapun, ada juga yang datang untuk melihat dan membelinya.
Penduduk, Muhammad Zul Hafizam Ismail, 25, berkata, dia mula menangkap ikan tersebut sejak tiga hari lalu dengan bantuan rakannya, Amir Irwan Roslan, 22.
“Anak-anak ikan ini timbul lepas banjir yang melanda kawasan Tok Uban mulai surut sepenuhnya sejak minggu lalu,” katanya.
Menurutnya, anak ikan yang timbul berhampiran kawasan pintu air Kada tersebut ditangkap menggunakan kelambu.
Katanya, kaedah menangkap anak ikan menggunakan kelambu merupakan cara tradisional yang sering menjadi pilihan penduduk setempat sejak dulu lagi.
Dia berkata, aktiviti menangkap anak ikan itu merupakan pendapatan sampingan bagi membantu menambah pendapatan keluarga.
“Alhamdulillah dengan hasil ini dapatlah saya gunakan untuk menampung pendapatan keluarga lepas lama tak kerja sebab banjir,” katanya.
Menurutnya, hari biasa dia bekerja sebagai buruh kasar yang menjadi sumber utama pendapatannya.
Muncul lepas tiga tahun
Pentadbir Mukim Chetok, Che Shamsuddin Yusoff berkata, ribuan anak ikan muncul semula selepas tiga tahun menghilang sejak bah kuning penghujung 2014 lalu.
“Sejak itu, anak-anak ikan ini seolah-olah ‘hilang’. Alhamdulillah ia muncul semula.
“Kemunculan semula anak-anak ikan ini memberi rezeki terpijak kepada penduduk setempat,” katanya.
Che Shamsudin berkata, anak ikan itu mendapat permintaan tinggi bukan sahaja penduduk setempat malah ada yang dari luar Tok Uban sanggup datang mendapatkannya.
Katanya, anak ikan itu diletakkan di atas daun pisang atau kunyit dan diperap dengan garam serta kunyit sebelum dibakar.
“Proses ini dinamakan ‘paih’ dan ia cukup popular dalam kalangan penduduk di sekitar Tok Uban.
“Kebanyakan anak-anak ikan ini terdiri daripada spesies ikan air tawar seperti lampam, seluang, toman dan terbul,” katanya.
Sementara itu, Azizah Yusoff, 61, berkata, sejak tiga hari lalu, dia menghabiskan masanya menjual anak ikan tersebut dengan harga RM5 bagi tiga gelas.
“Sudah lama anak ikan ini tak timbul, Alhamdulillah lepas banjir kali ini ia menjadi rezeki tambahan makcik dan penduduk lain.
“Ia juga mengubat kerinduan kami kepada keenakan anak-anak ikan ini yang sangat manis dan lemak ketika dimakan,” katanya
.