KALI pertama melihatnya, warna dan rupanya saling tidak tumpah seperti kopi, minuman yang menjadi kegemaran ramai.
Namun setelah diteliti, ia bukanlah kopi sebenar, sebaliknya sejenis sabun menyerupai biji kopi, yang dipanggil sabun kopi dan menggunakan kopi sebagai antara bahan utamanya.
Sejak hujung tahun lalu, sabun kopi dilihat mendominasi pasaran bagi produk kosmetik, sehingga menjadi trend dan tular di media sosial.
Mereka tertarik dengan fungsi sabun kopi itu yang sama seperti skrub, dikatakan membantu mengurangkan jerawat dan jeragat, memutihkan kulit, selain menghilangkan daki pada badan.
Bantu masalah kulit
Pelajar, Nor Fazira Rokman berkata, dia tertarik untuk membeli dan mencuba selepas melihat sabun kopi tular di media sosial.
“Saya pantang lihat produk tular di pasaran. Saya pasti tidak melepaskan peluang untuk membelinya. Jika ia sesuai dengan saya, saya akan terus membeli, tetapi kalau tidak sesuai, saya tidak akan pakai lagi.
“Alhamdulillah, selepas mencubanya, sabun kopi ini membantu mengurangkan jerawat dan parutnya, kesan penggunaan produk penjagaan kulit yang saya pakai sebelum ini,” katanya.
Sehingga kini, Nor Fazira sudah menggunakan lima ketul sabun kopi sejak Oktober tahun lalu.
“Namun, saya amat berwaspada ketika hendak beli sabun kopi ini kerana sudah ada sabun kopi tiruan di pasaran. Jika tersalah membeli, buruk padahnya kerana ia akan menyebabkan kulit mengelupas dan sakit,” katanya.
Bagi kakitangan swasta, Nur Atiqah Mohd Yusoff, dia tertarik untuk menggunakan sabun kopi kerana reka bentuknya yang menarik dan menjadi trend, sejak hujung tahun lalu.
“Saya suka gunakan sabun kopi ini di tapak kaki dan hasilnya, ia membantu melembutkan tapak kaki yang kasar. Selepas tiga ketul sabun kopi digunakan, saya kemudian mula menjualnya kepada teman sepejabat, rakan-rakan dan jiran tetangga.
“Jualannya juga sangat memberangsangkan. Saya pernah jual sabun kopi 100 unit dalam masa dua minggu,” katanya.
Perancang kekayaan, Rosyatimah Rajali berkata, reka bentuk unik yang menyerupai biji kopi dan aroma kopi yang menyenangkan, menarik minatnya untuk membeli sabun kopi, sejak ia tular di media sosial, pada tahun lalu.
“Bila saya beli dan mula gunakannya di muka dan badan, lama kelamaan ia semakin serasi dengan kulit saya.
“Sabun kopi ini berfungsi sebagai detoks untuk kulit, selain membantu membersihkan sel-sel kulit mati dan memberi keseimbangan kelembapan pada kulit serta menghilangkan daki jika digunakan di seluruh badan,” katanya.
800 unit terjual sehari
Sementara itu, peniaga sabun kopi, Nor Asrina Rokman berkata, dia mula berniaga sabun itu dalam Oktober tahun lalu kerana melihat permintaannya yang tinggi, berbanding produk kosmetik lain.
“Tambahan pula, tidak ramai yang menjual sabun kopi pada masa itu. Sabun ini juga murah dan berkualiti.
“Pada awalnya, saya hanya ambil 50 unit sahaja untuk memulakan jualan. Disebabkan permintaan yang tinggi, saya ambil stok sehingga 2,000 unit, yang mampu dijual dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja,” katanya yang menjual sabun kopi
secara borong, menerusi platform atas talian (online), Rina Borong Kosmetik Klang.
Jualan paling tinggi pernah dibuat Nor Asrina adalah 800 unit sabun kopi sehari, yang kebanyakannya dibeli individu dan peniaga kedai kosmetik.
“Saya jual sabun kopi dengan harga RM2 seunit bagi setiap pembelian borong 50 ketul sabun kopi dan RM1.50 untuk 100 unit sabun. Saya jual pada harga rendah kerana stok produk diambil terus daripada pembekal tempatan di utara tanah air.
“Khidmat penghantaran turut disediakan di sekitar Lembah Klang, cuma untuk penghantaran di Klang dan Shah Alam, ia adalah percuma,” katanya.
Nor Asrina berkata, sabun kopi yang dijualnya terdiri daripada gred A, yang mempunyai berat lebih 25 gram (g).
Dalam pada itu, Nor Asrina turut mengingatkan orang ramai supaya membeli sabun kopi yang benar-benar original.
“Pada masa ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mahu mengaut keuntungan lebih dengan menjual sabun kopi tiruan kerana permintaannya yang tinggi. Rupa sabun tiruan ini sama seperti sabun kopi yang original.
“Ia dapat dibezakan ketika ia digunakan. Sabun kopi original mengandungi banyak skrub dan buihnya pula berwarna coklat perang, manakala sabun kopi tiruan pula tidak banyak skrub dan buihnya berwarna putih,” katanya.