Tuesday, February 28, 2017

'Jihan Show' Bakal Kupas Isu Wanita



Jihan dan Amy Mastura bakal mengendalikan program bual bicara santai berkaitan isu wanita. 
KUALA LUMPUR: Tampil dengan konsep gabungan sitkom dan bual bicara, program Jihan Show bakal membincangkan mengenai topik hangat berkaitan wanita dalam bentuk santai dan bersahaja.
Menerusi rancangan terbaharu terbitan Astro ini, buat pertama kali pelakon dan pelawak Jihan Muse diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program bual bicaranya sendiri.

Bagaimanapun Jihan akan dibantu oleh Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras sebagai pengacara bersama.
Impian Jihan untuk mengendalikan program bual bicaranya sendiri terlaksana.
Ketua Saluran Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Jihan Show merupakan program khas untuk wanita bagi saluran Astro Warna.
"Kami bukan sahaja melihat program ini sebagai medium untuk menyuarakan pendapat serta suara wanita tetapi platform untuk menyebarkan mesej positif dan membuka minda kaum hawa.

"Pertukaran pendapat yang berlaku semasa bual bicara berlangsung akan memberi perspektif kepada penonton terhadap isu-isu yang dibincangkan," katanya.

Raqim ditemui pada majlis pelancaran program Jihan Show di Pavilion di sini, Rabu.

Jihan Show
 turut mengundang selebriti popular bagi setiap episod antaranya ialah Datuk Rosyam Nor, Fahrin Ahmad, Hairul Azreen, Amar Baharin, Tomok, Kamal Adli, Mark Adam, Ajak Shiro serta Aiman Tino.

Sementara itu Jihan ketika ditemui pada majlis itu mengakui gementar menanti maklum balas penonton mengenai buah tangan terbaharunya itu.

Katanya, impian untuk mengendalikan program bual bicara sendiri akhirnya tercapai apabila Astro memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Jihan Show.

"Apabila nama saya sendiri digunakan sebagai nama program, ia semestinya menjadi tanggungjawab yang cukup besar kepada saya sebagai pengacara.

"Bagi saya Jihan Show adalah langkah pertama saya untuk berjinak-jinak mengendalikan program bual bicara yang lebih serius dengan topik yang berat jika diberi peluang pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: