Tuesday, February 28, 2017

‘Moonlight’ Tewaskan ‘La La Land’ Dalam Pengumuman Penuh Dramatik



Filem Moonlight diumum Filem Terbaik Oskar 89.
LOS ANGELES: Karyawan filem La La Land hanya sempat merasai kemenangan sementara mereka apabila gelaran Filem Terbaik bukan menjadi milik mutlak mereka meskipun diramal sejak awal untuk menjulang gelaran tertinggi itu pada Anugerah Akademi ke-89 atau Oskar yang berlangsung di Teater Dolby, di sini malam Ahad (waktu tempatan).

Sebaliknya, kesilapan terletak kepada pihak penganjur yang telah memberikan sampul pemenang yang salah kepada penyampai Warren Beatty dan Faye Dunway sehinggakan aktor dan pengarah legenda itu kelihatan terpinga-pinga dan menyemak sampul berkenaan berulang kali sebelum mengumumkan pemenang bagi kategori Filem Terbaik.

Sebaik sahaja La La Land diumumkan sebagai Filem Terbaik, kelihatan salah seorang krew produksi dengan pantas menuju ke pentas dan mula menyemak sampul keputusan yang ada di tangan salah seorang karyawan La La Land.
Emma Stone rangkul Pelakon Wanita Terbaik.
Lalu, kemenangan La La Land ditarik dan kemudiannya diperbetulkan dengan pengumuman filem Moonlight sebagai pemenang mutlak untuk Filem Terbaik pada edisi kali ini.
Selain menewaskan 
La La Land, Moonlight turut menewaskan tujuh filem lain dalam kategori itu iaitu Arrival, Fences, Hacksaw Ridge, Hell or High Water, Hidden Figures, Lion dan Manchester By The Sea.
Sedari awal, filem 
Moonlight memang disebut-sebut bakal memberikan saingan sengit kepada La La Land dan pada malam bersejarah itu juga menyaksikan filem berbajet kecil itu turut memenangi dua kategori utama iaitu Lakon Layar Adaptasi Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Mahershala Ali.
Meskipun gelaran Filem Terbaik bukan menjadi milik mereka dan terpaksa berputih mata untuk menang besar, 
La La Land masih lagi boleh tersenyum bangga walaupun pahit apabila mengungguli majlis kali ini dengan enam trofi termasuk Pengarah Terbaik (Damien Chazelle) dan Pelakon Wanita Terbaik (Emma Stone).
Bagi kategori Pengarah Terbaik, Chazelle yang merupakan calon utama sejak musim anugerah di Hollywood bermula telah mencipta rekod baharu Oscar apabila menjadi pengarah paling muda memenangi kategori itu pada usia 32 tahun dan 38 hari.

Ia sekali gus memadamkan rekod 86 tahun yang sebelum ini
 dipegang oleh mendiang Norman Taurog yang memenangi trofi tersebut menerusi filem Skippy pada tahun 1931 ketika berusia 32 tahun dan 260 hari.

Antara pemenang di Anugerah Oskar 89.
Untuk kategori berkenaan, Chazelle telah menewaskan calon terdekatnya, Barry Jenkins yang dicalonkan untuk Moonlight, Mel Gibson (Hacksaw Ridge), Kenneth Lonergen (Manchester By The Sea) dan Denis Villeneuve (Arrival).
Selain Pengarah dan Pelakon Wanita Terbaik, filem muzikal kontemporari itu turut cemerlang dalam empat kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik (City of Stars).
Untuk edisi Oskar ke-89 ini, La La Land menerima pencalonan terbanyak iaitu 14 pencalonan dalam 13 kategori dan menyamai rekod dua filem yang pernah mencatatkan sejarah serupa iaitu Titanic (1997) dan All About Eve (1950).

Pun begitu, La La Land itu tidak berupaya untuk memadamkan atau menyamai rekod yang pernah dicatatkan oleh filem The Lord of the Rings: The Return of The King (2003), Titanic (1997) dan Ben-Hur (1959) yang masing-masing memenangi 11 kategori lalu menjadi pemenang terbanyak dalam satu malam.

Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang turut menyaksikan persaingan sengit menjadi milik Casey Affleck yang memberikan lakonan hebat dan penuh beremosi dalam filem Manchester By The Sea arahan Kenneth Lonergen sekali gus menewaskan pesaing terdekatnya, Denzel Washington bagi filem Fences.
Tuah juga berpihak kepada Lonergen apabila memenangi Oskar pertamanya untuk kategori Lakon Layar Asal Terbaik selepas dua kali dicalonkan untuk kategori yang sama sebelum ini bagi filem Gangs of New York (2002) dan You Can Count On Me (2000).

Kehebatan lakonannya membawakan watak seorang ibu dan isteri dalam filem Fences turut menghadiahkan Viola Davis dengan Oskar sulungnya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dengan membenamkan harapan empat calon lain iaitu Naomie Harris (Moonlight), Nicole Kidman (Lion), Octavia Spencer (Hidden Figures) dan Michelle Williams (Manchester By The Sea).
Penerbit dan pengarah kelahiran Iran, Asghar Farhadi membuat kejutan apabila mengulangi kejayaannya lima tahun lalu dengan memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik menerusi filem The Salesman.
Ia merupakan kemenangan kedua beliau dalam kategori itu selepas memenanginya kali pertama bagi filem A Separation pada tahun 2012.

Namun, Asghar tidak hadir pada majlis berkenaan sebaliknya menghantar wakil sebagai tanda protes terhadap bantahan kemasukan pendatang dari negara Islam yang dikuat kuasakan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-45, Donald Trump, dua bulan lalu.

Anugerah Academy ke-89 yang dihoskan oleh pengacara terkenal, Jimmy Kimmel itu turut diserikan dengan persembahan oleh Justin Timberlake, John Legend, Lin-Manuel Miranda, Sara Baraeilles dan penghibur legenda, Sting.

Nama-nama besar dan popular seperti Leonardo Di Caprio, Brie Larson, Salma Hayek, Chris Evans, Alicia Vikander, Charlize Theron, Dev Patel, Jamie Dornan, Matt Damon, Ben Affleck, Felicity Jones, Meryl Streep dan Javier Bardem pula menjadi penyampai anugerah.
SENARAI PENUH PEMENANG ANUGERAH AKADEMI KE-89
Filem Terbaik: Moonlight
Pengarah Terbaik: Damien Chazelle – La La Land
Pelakon Lelaki Terbaik: Casey Affleck – Manchester By The Sea
Pelakon Wanita Terbaik: Emma Stone – La La Land
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Mahershala Ali – Moonlight
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Viola Davis – Fences
Lakon Layar Asal Terbaik: Kenneth Lonergen – Manchester By The Sea
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Barry Jenkins dan Tarell Alvin McCraney – Moonlight
Filem Animasi Terbaik: Zootopia
Filem Bahasa Asing Terbaik: The Salesman (Iran)
Skor Muzik Asal Terbaik: Justin Hurwitz – La La Land
Lagu Tema Asal Terbaik: City of Stars (La La Land)
Suntingan Bunyi Terbaik: Arrival
Adunan Bunyi Terbaik: Hacksaw Ridge
Suntingan Terbaik: Hacksaw Ridge
Rekaan Produksi Terbaik: La La Land
Sinematografi Terbaik: La La Land
Solekan dan Penggayaan Rambut Terbaik: Suicide Squad
Rekaan Kostum Terbaik: Fantastic Beasts and Where to Find Them
Efek Visual Terbaik: The Jungle Book
Filem Dokumentari Terbaik: O.J.: Made In America
Filem Dokumentari Pendek Terbaik: The White Helmets
Filem Pendek Terbaik: Sing
Filem Animasi Pendek Terbaik: Piper

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: