PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamaruddin berazam untuk kembali merancakkan karier seninya selepas namanya dilihat semakin tenggelam sejak kebelakangan ini.
Dazrin, 29, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah merasakan namanya tenggelam sebaliknya memilih untuk menyepikan diri bagi mempersiapkan diri sebelum membuat kemunculan semula dalam industri hiburan.
"Tahun 2017 saya memang berazam untuk bangkit semula dan tonjolkan diri sebagai pelakon.
"Saya menyepi kerana merancang strategi untuk kembali merancakkan bidang seni dan tidak mahu kemunculan semula saya itu tanpa ada apa-apa persediaan.
"Biarlah orang kata senyap tetapi ada isi," katanya.
Dalam pada itu, Dazrin berkata, dia tidak pernah menyimpan rasa iri hati terhadap rakan seangkatannya yang kini sedang meniti populariti.
Sebaliknya kata Dazrin dia gembira melihat pencapaian rakan-rakannya yang ada di antara mereka adalah pendatang baharu ketika namanya di puncak.
Dazrin bakal kembali memasuki set penggambaran drama terbaharunya dalam masa terdekat.
"Pada saya buat apa hendak cemburu atau iri hati kerana itu rezeki masing-masing dan sebagai rakan dan senior saya gembira melihat pencapaian mereka.
"Populariti itu memang penting dalam karier seorang artis tetapi pada tahap sekarang saya tidak mahu memberi tumpuan kepada perkara itu sebaliknya ingin memantapkan kembali kedudukan saya.
"Saya yakin jika kita tampil dengan produk berkualiti dan ikhlas dalam apa kita lakukan, populariti itu akan datang dengan sendirinya," ujarnya.
Sementara itu, Dazrin berkata, kehilangannya daripada radar seni sebelum ini sebenarnya kerana dia sibuk dengan beberapa bidang perniagaan termasuk hartanah, produk kecantikan dan makanan.
Pun begitu kata Dazrin, dia bakal memasuki dua set penggambaran drama bersiri terbitan TV3 tidak lama lagi selain sedang sibuk sebagai pengacara program Travelog iaitu Jom Muzium untuk siaran TV3.
Ditanya mengenai soal pasangan hidup, Dazrin memberitahu dia kini lebih selesa dengan kehidupan solo tambahan pula baharu sahaja ingin merancakkan kembali kerjaya seninya.
"Buat masa sekarang saya masih solo dan tak terfikir soal cari teman wanita atau berkahwin.
"Biarlah saya tumpu kepada bidang seni terlebih dahulu memandangkan saya baharu sahaja ingin memulakan kembali karier saya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: