Tuesday, February 28, 2017

Ezad Lazim Terpaksa Pilih Kawan Bimbang Terjebak Dadah



Ezad Lazim mengakui bersikap memilih kawan kerana bimbang kembali terjerabak dalam penggunaan dadah. 
PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim memberitahu dia kini lebih berhati-hati memilih kawan kerana bimbang akan terjebak kembali dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Ezad berkata, dia tidak mahu mengulangi kesilapan sekiranya salah memilih kawan yang pada akhirnya akan mensia-siakan kepercayaan diberikan keluarga dan peminat terhadapnya.

"Alhamdulillah selepas kejadian saya ditangkap kerana dadah dua tahun lalu kehidupan saya semakin positif malah sokongan daripada rakan-rakan, keluarga dan peminat sangat hebat.

"Sejak itu juga saya memang berhati-hati dalam memilih kawan kerana bimbang akan kembali terjebak.

"Saya tidak mahu lagi terjerumus dengan najis dadah dan cara paling baik adalah jauhi 'kawan' yang masih mengambil dadah," katanya.

Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 38, bagaimanapun tidak menafikan sejak diserang penyakit usus pada Jun tahun lalu dia pernah terfikir untuk kembali dengan tabiat lamanya itu.

Ezad kini semakin sihat sejak diserang penyakit usus sejak Jun tahun lalu.
Jelasnya, ketika itu dia berfikir penyakit itu boleh diubati sekiranya dia kembali mengambil dadah.

"Ketika itu semua tahu bagaimana penyakit usus yang saya alami sangat teruk sehingga berulang kali keluar masuk hospital.

"Sehinggakan saya sering menangis dan bercakap seorang diri sampai terfikir cara untuk baik adalah dengan kembali mengambil dadah.

"Tetapi itu semua permainan psikologi, Alhamdulillah apabila fikir keluarga, peminat dan rakan-rakan saya kuatkan semangat," ujarnya.

Bercakap mengenai kesihatannya, Ezad berkata, dia semakin beransur pulih namun perlu menjaga pemakanannya agar penyakit sama tidak berulang.

Katanya lagi, selain tidak boleh mengambil makanan pedas dia juga tidak boleh makan lewat untuk mengelakkan perutnya berasid yang menyebabkan dia mengalami muntah-muntah.

"Sejak sakit berat badan saya yang dahulunya 62 kilogram kini tinggal 56 kilogram sahaja namun Alhamdulillah keadaan bertambah baik.

"Paling penting sekarang saya perlu jaga pemakanan kalau tak memang penyakit itu akan kembali," jelasnya.

Sementara itu, Ezad berkata, dia sudah bersedia untuk kembali merancakkan karier seninya selepas beberapa bulan berehat.

"Sebelum ini saya banyak tolak undangan nyanyian kerana tidak sihat tetapi sekarang keadaan pun dah bertambah baik saya sedia untuk kembali menyanyi.

"Malah saya sedang dalam proses merakamkan single terbaharu saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: