Tuesday, November 30, 2010

PM lancar skim AHB RM1b


Najib Tun Razak menerima sijil Amanah Hartanah Bumiputera daripada Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas melancarkan skim tersebut di Kuala Lumpur, semalam. Turut memerhati, Muhyiddin Yassin.


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) hari ini melancarkan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dengan saiz RM1 bilion yang dibuka jualannya kepada para pelabur bumiputera berusia mulai tiga bulan ke atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unit amanah itu memberi peluang kepada bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak memiliki pegangan dalam sektor hartanah komersial bernilai tinggi dengan pelaburan minimum RM500 sehingga RM200,000.

''Dengan pelaburan ini, para pelabur bumiputera mampu mempunyai pegangan hartanah yang sukar mereka miliki secara langsung,'' katanya yang juga Pengerusi Yayasan AHB pada majlis pelancaran AHB hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir dalam majlis itu.

PHB yang ditubuhkan pada Mei 2006 bertujuan mengekalkan pertumbuhan jangka pendek menerusi pengurusan, pelaburan dan peluasan perniagaan syarikat dalam sektor pelaburan hartanah komersial utama.

Najib berkata, unit-unit AHB ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit juga bersandarkan prinsip patuh syariah, sekali gus membantu Malaysia mengembangkan lagi instrumen perbankan dan kewangan Islam.

''Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa,'' ujarnya.

Unit amanah itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tetapi sekali sebulan

Perdana Menteri juga menyarankan unit amanah itu dipertimbangkan supaya dijadikan hadiah kepada pesara-pesara kerana agihan pendapatannya dijangka lebih lumayan berbanding deposit tetap.

''AHB ini akan memberikan pulangan yang lebih besar dan lumayan, dan lebih baik daripada deposit tetap,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Kamalul Arifin Othman dalam sidang akhbar berasingan berkata, skim amanah itu dijangka mampu memberi pulangan tidak kurang daripada enam peratus berdasarkan pasaran semasa hartanah.

Pembayaran dividen akan dibuat dua kali setahun iaitu setiap enam bulan.

Menurutnya, AHB itu mempunyai lima hartanah yang bernilai RM1 bilion iaitu CP Tower di Damansara, Wisma Consplant di Subang Jaya, bangunan Tesco di Setia Alam, Kompleks Industri di Shah Alam dan Menara SPRM dekat Putrajaya.

Dua lagi hartanahnya, bangunan Bumiputera-Commerce di Jalan Raja Laut dan ibu pejabatnya di Saujana Resort tidak dapat dimasukkan dalam unit itu memandangkan ia tidak mematuhi syariah.

PHB akan menambah lebih banyak hartanah miliknya pada masa depan untuk memaksimumkan pulangan kepada pelabur.

PHB menjangka menambah nilai hartanahnya sebanyak RM500 juta melalui beberapa cadangan pembelian hartanah di sekitar Lembah Klang pada tahun depan, tambah beliau.

Ditanya mengenai langganan minimum sebanyak RM500, Kamalul Arifin berkata, kadar itu adalah munasabah kerana ia membabitkan pelaburan hartanah dan sasarannya adalah kepada pelabur yang serius.

Beliau menetapkan sasaran selama setahun untuk menjual AHB.

Semua langganan AHB boleh dibuat di 400 cawangan Mayban seluruh negara.

EH! 20 Yang Anggun Penuh Glamor


EH! 20 Yang Anggun sekali lagi tampil glamor memeriahkan acara kemuncak majalah terkemuka EH! bersama Lancome.

Bersesuaian dengan tema Glitz & Glamour, kelibat artis-artis popular menawan lebih 300 pembaca bertuah yang turut sama hadir.

Tahun ini, EH! 20 Yang Anggun menampilkan :

Aurora Salwa
Adira
Alyah
Ana Rafali
Diana Jalal
Faezah Elai
Juliana Evans
Julie Woon
Lisa Surihani
Liyana Jasmay
Mimie
Nadia Fly FM
Najwa
Raja Ilya
Scah Al-Yahya
Shila OIAM
Siti Saleha
Stacy
Yuna
Zizi


20 selebriti ini dipilih berdasarkan undian pembaca. Parti ekslusif ini juga turut dihadiri 10 Lelaki Disenangi Pembaca EH! seperti Akim, Sharnaaz, Naqib, Nas-T, Iz Sulaini, Ryzal, Black, Nazim, Shaz Jazle dan Gambit.

Kelibat Siti Nurdiana, Nita, Alyah dan Ezlynn turut memeriahkan Party EH! yang berlangsung di Zouk KL.

Dah rezeki Miera Leyana...

Pengarah yang sorang ni tersangatlah kontroversinya. Siapa? Shuhaimi Lua lah, si pengarah Chukang tu. Satu-satu masalah datang menimpanya. Terbaru berdepan dengan artis wanita yang tak ada disiplin dan menyusahkan orang.

Dah elok-elok janji sedia berlakon dalam sebuah drama bersiri, tiba-tiba menghubunginya (melalui abang sebagai wakil) sehari sebelum penggambaran di luar Kuala Lumpur bermula. Katanya tak dapat menerima tawaran tersebut. Boleh macam itu? Siapa pelakon tu? Bekas finalis Pilih Kasih musim pertama rupa-rupanya.

Shuhaimi Lua Abdullah

Macam ini ceritanya. Shuhaimi yang dilantik sebagai pengurus produksi terpaksa mencari seorang pelakon wanita bagi menggantikan tempat Sazzy Falak yang tidak dapat turut serta kerana ada hal tertentu. Setelah ditanya dengan rakan-rakan media yang rapat dengannya, nama pelakon baru itu yang naik.

Pada mulanya dia dah bersetuju. Tapi dek kerana produksi sudah mahu memulakan penggambaran untuk watak lain, maka tak sempat untuk bertemunya untuk menandatangani kontrak dan memberikan bayaran pertama.

"Adakah patut... abang dia mengatakan mereka tak mahu bekerja dengan saya kerana cara saya menguruskan tawaran itu tidak profesional. Saya dah uruskan banyak pelakon popular sebelum ini tapi tak ada masalah pun.

Miera Leyana semakin menyerlah

"Memang kami tak sempat nak menyediakan kontrak sebab sedang sibuk menguruskan penggambaran. Saya dah suruh dia ke pejabat untuk menandatangani kontrak dan menerima bayaran pertama di pejabat. Tapi tiba-tiba saja dia tarik diri. Tak apalah saya tak rugi pun. Apatah lagi saya dapat pengganti yang lebih glamor dan berbakat daripada dia, iaitu Miera Leyana.

"Miera hanya dihubungi melalui telefon setelah saya mandapatkan nombor telefonnya daripada seorang wartawan majalah hiburan dan kebetulan dia tengah free. Dia terus datang ke lokasi untuk penggambaran satu babak sahaja. Selepas ini babak melibatkannya akan dijalankan di tempat lain.

"Di lokasi itulah Miera tandatangani kontrak dan menerima bayaran pertamanya. Sekarang siapa yang rugi? Saya puji cara Miera yang tidak banyak songeh itu walaupun namanya semakin popular," puji Shuhaimi.

AJL25: Tomok Tunggu 10 Tahun

Tomok gembira dengan penghasilan album solo pertamanya.

KUALA LUMPUR: Setelah setahun bergelar Juara One In A Million 3 (OIAM), Tomok atau nama sebenarnya, Shah Inderawan Ismail akhirnya memiliki sebuah album solo yang berjudul Tomok.

Kata Tomok, walaupun setahun menunggu kemunculan album baru, dia gembira kerana sebanyak empat buah lagu daripada albumnya seperti, Berlari, Arjuna, Rindu Terhenti dan Bagaikan Bidadari telahpun diputarkan di radio dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pendengar-pendengar radio.

"Apa yang menggembirakan saya lagi, lagu 'Berlari' telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25). Dan pencapaian ini telah saya idam-idamkan sejak 10 tahun lalu ketika bersama New Boyz.

"Tiga lagu lain juga mendapat tempat di hati peminat-peminat. Mungkin inilah masanya saya mendapat apa yang diinginkan selama ini. Pengorbanan yang dilalui sebelum ini berbaloi.

"Tambah pula dalam penghasilan album solo ini saya juga terbabit sebanyak 90 peratus.Ternyata OIAM3 banyak mengubah jalan hidup dan karier saya.

"Kiranya album ini adalah jiwa saya dan memang saya ingin memberi satu perubahan dalam album ini.

"Selain itu, album ini juga sangat bermakna saya dapat berkerjasama dengan nama-nama besar seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, dan Aidit Alfian," kata Tomok pada pelancaran album 'Tomok', di sini, Jumaat.

Album Tomok kali ini dilihat lebih matang dan berbeza dengan diri Tomok terdahulu. Malah, lagu-lagu yang dibawakan diibaratkan seperti nafas baru Tomok dalam industri muzik tempatan.

Tomok pada pelancaran albumnya yang diadakan di Hard Rock baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tomok menjelaskan bahawa penghasilan album tersebut tidak bermakna dirinya tamat bergelar salah seorang ahli kumpulan new Boyz.

Sebaliknya, ini sebagai permulaan untuk Tomok membero fokus pada nyanyian solonya dan kemudian sebuah projek baru akan dibuat bersama New Boyz pula.

"Sekarang ini saya sibuk dengan promosi album dimana pihak pengurusan Monkeybone akan mengadakan konsert jelajah ke seluruh Malaysia.

"Lagipun, sebelum menyertai OIAM3, Tomok dan ahli-ahli New Boyz telah berbincang dimana saya akan fokus dengan album solo dahulu dan mereka menerimanya. Apapun saya akan muncul dengan New Boyz bila tiba masanya nanti," jelas penyanyi yang turut menyumbang beberapa lirik lagu dalam albumnya itu.

Sementara itu, Tomok telah menimbulkan persoalan kerana dia tidak mengikut seperti yang dikatakannya dimana dia ingin menggunakan nama sebenarnya, Shah Inderawan dan bukan Tomok untuk projek solonya itu.

Bagaimanapun, penyanyi itu menjelaskan dia mempunyai alasan sendiri untuk mengekalkan nama Tomok itu.

"Memang pada mulanya saya nak tukar nama untuk album solo pertama saya ini. Tapi bila difikirkan semula, saya tidak perlu menukar nama Tomok kerana nama itulah yang menaikkan nama saya sebelum ini.

"Walaupun ia dibayangi dengan nama New Boyz, saya tak kisah kerana saya tak pernah malu pun sepanjang saya dan New Boyz bersama," jelasnya yang akan mengadakan konsert jelajah selepas AJL25.

Ayu Raudhah Dapat Layanan Istimewa Di Singapura

Ayu bakal muncul dalam filem Empayar yang akan dimuatkan dalam DVD.

PETALING JAYA: Bukan hendak sebarangan memuji pihak produksi di Singapura, namun itulah hakikatnya yang diluahkan oleh aktres Ayu Raudhah apabila dia mendapat layanan kelas pertama di sana.

Layanan tersebut turut diberikan kepada pelakon Malaysia lain yang menjalani penggambaran filem Empayar yang akan dihasilkan dalam bentuk DVD.

Pelakon Malaysia lain yang turut serta dalam filem terbitan Ace Pictures itu termasuk Liza Abdullah, Riezman Khuzaimi dan Roslan Salleh.

“Cara pihak produksi dari Singapura melayan kami sangat istimewa. Mereka kerap bertanyakan tentang keadaan kami dan apa yang kami perlukan.

“Apabila di lokasi penggambaran, mereka akan meminta kami berada di dalam kereta dahulu sementara latar set disiapkan. Malah hotel penginapan dan makanan yang disediakan juga bagus dan sedap,” kata Ayu kepada mStar Online.

Ayu dan pelakon lain menjalani penggambaran di Singapura selama dua hari bermula 17 hingga 20 November lalu.

Filem ini mengisahkan tentang gangster atau dikenali sebagai pailang di Singapura. Ayu melakonkan watak Melissa, yang bercinta dengan gangster di sana.

“Saya berlakon di samping hero dari Singapura merangkap penerbit filem ini iaitu Osman Sulaiman. Ceritanya berkonsepkan seperti filem Godfather.

“Di depan Melissa, lelaki itu sentiasa berkelakuan baik dan langsung tidak menunjukkan tentang kegiatannya yang sebenar,” cerita Ayu, yang melakonkan watak wanita baik dan manja.

Along Jadi ‘Jakun’ Dalam Filem ‘Hello’

Along berlakon filem Hello di samping dua rakan seperjuangan dari Raja Lawak.

PETALING JAYA: Pelakon komedi, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, perlu melakonkan watak seorang yang ‘jakun’ demi menjayakan wataknya dalam filem Hello.

Hello merupakan filem arahan AR Badul yang turut dilakonkan oleh Angah dan Tauke, rakan seperjuangan Along dari program Raja Lawak.

Menurut Along, filem romantik komedi ini turut menceritakan tentang kisah percintaan yang menggandingkan pelakon Dayana Anak Wayang dan Fizow Omar.

“Saya melakonkan watak Akay, Angah sebagai Ako manakala Tauke sebagai Aki. Kami bertiga merupakan pekerja kepada seorang pemuzik jawa lakonan Herman Tino.

Zila, isteri Along turut melakonkan watak cameo dalam filem Hello.

“Kami datang dari kampung dan apabila datang ke bandar, kami menjadi jakun dengan keadaan sekeliling,” katanya kepada mStar Online.

Mengupas lebih lanjut tentang Hello, Akay, Ako dan Aki meminati anak majikan mereka yang baru pulang dari melanjutkan pelajaran di luar negara.

Lantas, mereka bertiga mengubah penampilan masing-masing. Bagaimanapun, ketiga-tiganya tidak dapat lari dari sikap masing-masing. Akay seorang yang manja, Ako suka membuli manakala Aki suka melawan.

Sementara itu, penyanyi Isma AF7 bergelar Pengarah Urusan dan Penerbit Nusanbakti Corporation Sdn Bhd apabila empunya syarikat, Datuk Kapten Guljar dan Toh Puan Athia memberi sepenuh kepercayaan kepadanya mengemudi syarikat produksi berkenaan.

Pemilik Nusanbakti Corporation Sdn Bhd turut mengemudi Heliza Helmi Productions (HHP) apabila single terbaru Isma, Aku Bukan Pilihanmu adalah terbitan HHP.

Hello turut diilhamkan daripada single terbaru Heliza AF5. Filem ini turut dilakonkan oleh Isma, Nas Adila, Dina Nadzir, Acong Sweet Child dan Zul 2by2.

Hujan Dapat Bas Daripada BSN

Hujan kini tinggal bertiga.

KUALA LUMPUR: Setelah memiliki pencapaian yang memberangsangkan di bidang nyanyian, kumpulan Hujan telah menerima sebuah bas khas yang telah diubah suai oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Hujan yang kini menjadi duta MyBSN berkata mereka gembira menerima kemudahan pengangkutan kerana ia lebih memudahkan perjalanan kumpulan itu bila mengadakan konsert jelajah.

Menurut salah seorang ahlinya, Dimas, bas tersebut telah diubah suai mengikut keperluan dan keselesaan mereka dan mereka tidak sabar untuk berkongsi keselesaan bas itu bersama peminat-peminat mereka.

"Alhamdulillah kemudahan bas yang diberikan ini sangat selesa. Sekurang-kurangnya kami dapat berehat sepanjang konsert jelajah kami yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Bagaimanapun bas tersebut tidak diberikan terus pada kami tetapi kami akan gunakannya sepanjang setahun kontrak kamu bersama BSN.

"Kamu harap para peminat juga dapat merasa menaiki bas ini bersama-sama kami," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat BSN, Emilia Azyyati Abdul Rahman berkata, pemilihan Hujan dibuat berdasarkan pencapaian yang diterima dan Hujan juga memiliki daya tarikan sendiri dalam mengajak para remaja memulakan penyimpanan wang.

Hujan kini lebih selesa dengan kemudahan baru mereka.

Sementara itu, ahli Hujan kini hanya tinggal tiga orang sahaja setelah Ag Coco membuat keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan tersebut kerana ingin memberi fokus kepada kumpulannya, Coco, yang juga disertainya sejak lapan tahun lalu.

Beritahu Dimas, walaupun tanpa AG, gitaris itu tetap akan bersama mereka bila persembahan nyanyian diadakan.

"AG cuma bukan lagi jadi ahli kami, tetapi dia kini menjadi pemain 'sesion' kami. Sama juga seperti pemain drum kami, Am," katanya pada pelancaran album Hujan, Lone Soldier Boy (LSB) di Berjaya Time Square, di sini, Jumaat.

Selepas pelancaran album, Hujan mengadakan mini 'showcase' di sebelah malamnya.

Selepas kejayaan album Mencari Konklusi, Hujan tampil dengan 14 buah lagu pula iaitu Di Kala Bulan Bermain Biola, Muda, Kotak Hati, Bagaikan Matahari, Inspektor Ramos, Bahgia, Kasihan dan Lonely Soldier Boy.

Kata Noh, pembikinan album yang dihasilkan kali ini selama empat bulan itu menelan wang belanja sebanyak RM30,000.

"Apapun, kami berpuas hati dengan hasil lagu yang dibuat dan selain peminat-peminat luar, Raingers merupakan pembakar semangat kami untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Dalam pada itu, salah satu lagu daripada album kali ini, LSB adalah sebuah lagu daripada animasi Jepun, Mospeda. Sebenarnya lagu itu telah lama dihasilkan iaitu pada tahun 2006.

"Tetapi dengan bantuan Warner Music, kami mendapat kebenaran daripada pihak animasi tersebut menggunakan lagu ini. Bagaimanapun, liriknya saya gubah semula dalam bahasa Melayu," ujarnya.

Anita Sarawak Berhenti Menyanyi Demi 'Astana'

Anita hadir ditemani suami juga pengurus Mahathir pada sidang media program Astana di ibu kota, Isnin.

KUALA LUMPUR: Demi komitmennya terhadap tugas pengacaraan program terbaru Astro Ria iaitu Astana, penyanyi serba boleh Anita Sarawak sanggup menghentikan bidang nyanyian seketika bagi memberi tumpuan pada tugas tersebut.

Ujar Anita yang ditemui pada sidang media program Astana di ibu kota, Isnin, sejak pulang daripada bercuti di Eropah bersama suaminya Mahathir, fokusnya hanya tertumpu pada persiapan program yang memaparkan gaya hidup dan kediaman para pemilik rumah mewah di Malaysia itu sahaja.

"Selepas pulang daripada bercuti kira-kira pada selepas Aidilfitri lalu, saya mula sibuk dengan komitmen terbaru terhadap program Astana ini.

"Memang saya terpaksa tolak sebarang tawaran dan kerja lain termasuk bidang nyanyian buat seketika demi komitmen terhadap program ini.

"Pendek kata, segala persiapan mengenai program ini termasuklah menghubungi dan mendekati para pemilik rumah, persiapan skrip program dan proses suntingan dilakukan oleh saya selain daripada tugas pengacaraan," katanya.

Mengulas tentang pemilihan penyanyi yang pernah mengacarakan program Kwek Mambo Anita itu, Pengurus Saluran Astro Ria Azlin Reza Azmi berkata, Anita dipilih berdasarkan pada dua kriteria utama iaitu karisma yang dimilikinya serta hubungan baik penyanyi itu dengan orang-orang berpengaruh di Malaysia.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi

Katanya, sejak saluran itu mula merencanakan idea untuk menerbitkan program berdurasi 30 minit itu, pihak penerbitan berdepan dengan kesulitan ekoran keengganan para pemilik rumah untuk mempamerkan rumah mewah mereka di kaca televisyen.

Justeru, apabila Astro Ria berbincang dengan Anita mengenai projek tersebut, penyanyi itu bukan saja meyakinkan pihak penerbitan untuk menghubungi dan memujuk sendiri kesemua pemilik rumah daripada pelbagai status dan latar belakang itu, malah turut komited dalam proses penerbitan dan rakaman program Astana.

"Pada awalnya, memang pihak kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan rumah mewah bagi tujuan program ini. Rata-rata pemilik-pemilik rumah mewah enggan memaparkan rumah mereka di televisyen kerana mereka bimbang akan disalahanggap ingin menunjuk-nunjuk kemewahan hidup atau riak.

"Namun, semuanya berjalan dengan lancar apabila kami memanjatkan cadangan itu kepada Anita. Karisma Anita yang elegan dan eksklusif selain hubungan baiknya dengan para pemilik rumah agam ini berjaya meyakinkan mereka untuk memaparkan rumah mewah masing-masing dalam program ini.

"Kerjasama dan komitmen yang Anita menjadikan proses rakaman Astana berjalan mengikut perancangan. Kami sememangnya berterima kasih kepada Anita atas bantuannya," katanya.

Menerusi program tersebut, Anita selaku pengacara bakal mengunjungi beberapa rumah mewah yang didiami oleh rakan-rakanya seperti ahli perniagaan, kerabat diraja, anak seni dan chef selebriti.

Antara rumah mewah yang bakal dipaparkan dalam program sebanyak 13 episod itu termasuk rumah penyampai radio Linda Onn, penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam, Chef Wan dan ramai lagi.

Program yang terbahagi kepada tiga segmen itu akan mula bersiaran pada 12 Disember 2010 pada setiap Ahad pukul 7.30 malam di Astro Ria (Saluran 104).

Mariah Carey Mengandung Anak Kembar?

Mariah Carey dan suaminya, aktor Nick Cannon

LONDON: Cerita terbaru mengenai penyanyi Mariah Carey ini pasti mengejutkan peminat bintang R&B ini. Ketika ditemubual oleh Radio Disney, penyanyi itu secara tidak sengaja telah memanggil bayi dalam kandungannya dengan kata ganti nama 'mereka'. Kenyataan tersebut sekaligus memberikan gambaran Carey bakal melahirkan bayi kembar tidak lama lagi.

Jika pada Oktober lalu, Carey dan suaminya Nick Cannon telah membuat pengumuman tergempar mengenai kehamilannya, terbaru penyanyi yang kini tampil dengan album Merry Chrismas II You itu sekali lagi mengejutkan dunia hiburan tentang berita kandungan kembar itu pula.

"Saya cuma berharap agar mereka (bayi dalam kandungan) tidak membenci sambutan Hari Natal apabila dewasa nanti," katanya yang dipetik daripada temuramah bersama stesen radio itu, baru-baru ini.

Usher Sedia Ganti Tempat MJ

Usher

WASHINGTON: Penyanyi yang disebut-sebut bakal menggantikan Michael Jackson iaitu Usher mengakui tertekan dengan jolokan itu. Namun, dia menolak kemungkinan untuk menyahut cabaran tersebut.

Ujar Usher, dia merasai kekosongan yang ditinggalkan dalam dunia muzik hari ini selepas permergian secara mengejut penyanyi lagu Thriller itu pada 25 Jun 2009.

"Kita telah kehilangan Michael Jackson. Kini tekanan yang hebat dibebankan kepada saya untuk menggantikan tempatnya. Namun, saya tidak kisah dan bersedia menyahut cabaran itu," katanya yang dipetik oleh contactmusic.com.

Sebagai salah satu langkah untuk bergelar pengganti penyanyi hebat itu, Usher merancang untuk mengadakan siri konsert jelajah pada tahun depan. Dia percaya perancangan itu mampu membuatkan Raja Pop itu bangga.

"Saya ingin pastikan peminat akan merasai kelainan pada mutu persembahan dan nyanyian saya sehingga orang boleh membandingkan saya dengan penghibur sehebat Michael Jackson.

"Untuk menjadi penghibur sehebat Michael Jackson, saya perlu bekerja keras dalam segenap aspek iaitu emosi dan tenaga dalam persembahan.

"Saya ingin mendekati peminat dan memberi kepuasan kepada mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Michael. Itu impian saya," katanya yang dipetik oleh akhbar Daily Star.

500 wanita usahawan Internet

LEBIH CEKAP...(dari kiri) Samsiah, Florence dan dua usahawan wanita yang memajukan perniagaan mereka menggunakan perniagaan dalam talian.
LEBIH CEKAP...(dari kiri) Samsiah, Florence dan dua usahawan wanita yang memajukan perniagaan mereka menggunakan perniagaan dalam talian.
MUDAH...perniagaan dalam talian kian digemari kerana cekap dan menjimatkan masa.
MUDAH...perniagaan dalam talian kian digemari kerana cekap dan menjimatkan masa.

CEKAP dan lebih menjimatkan masa, dua kriteria utama perniagaan dalam talian kini semakin berkembang pesat di negara ini.

Tambahan pula, faktor pertambahan jumlah pelayar Internet yang semakin meningkat setiap hari turut membuktikan penggunaan medium baru itu mampu menjana pendapatan lebih kepada mereka yang menggunakannya.

Apa jua perniagaan yang dijalankan tidak kira kecil atau besar, semuanya boleh dimajukan dengan penggunaan kedai dalam talian.

Justeru, kewujudan laman web www.1nita.my daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) antara perantara yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin bagi semua peniaga wanita di negara ini untuk memajukan lagi perniagaan masing-masing.Dikendalikan .my Domain Registry, laman web berkenaan memberi peluang kepada usahawan wanita yang berdaftar ruang untuk memajukan lagi perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.


Projek berkenaan membuka ruang kepada apa jenis perniagaan termasuk pakaian, makanan, aksesori dan kraf tangan.

Usahawan manik dari Sarawak, Florence Anak Sujang berkata, dia mengetahui mengenai projek berkenaan daripada pejabat Ketua Menteri Sarawak yang kemudian memilih beberapa syarikat untuk diketengahkan.

Pada awal diperkenalkan dengan projek berkenaan, Florence mengakui terpaksa mempelajari banyak benda baru termasuk menyiapkan laman web sendiri untuk perniagaan manik dan seramik Borneo yang diusahakannya.

Katanya, perniagaan dalam talian sememangnya sangat cekap kerana boleh menguruskan perniagaannya walau di mana saja dia berada.

“Sebelum ini skop pasaran saya hanyalah sekitar Sarawak, tetapi menerusi projek ini, saya berpeluang mendapatkan pelanggan dari seluruh dunia.

“Sejak produk manik seramik yang diusahakan dipaparkan di dalam talian, saya mendapat banyak pertanyaan daripada penggemar aksesori berkenaan termasuk dari Australia.

“Lebih menggembirakan, pendapatan juga semakin meningkat dan saya berpeluang mendapat ramai jaringan pelanggan baru,” katanya.

Bagi pereka grafik, Samsiah Jendol, 38, dia menyertai projek berkenaan selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Selaku pereka grafik bebas, dia perlu rajin mencari pelanggan dan platform yang disediakan .my Domain Registry amat sesuai untuk wanita yang bekerja dari rumah seperti dirinya.

“Bukan mudah untuk bertapak dalam bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki.
“Tetapi saya percaya, ruang yang diberikan untuk memperkenalkan perniagaan di dalam talian sedikit sebanyak dapat membantu untuk mendapatkan pelanggan yang mahu menggunakan khidmat yang diberikan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang memperkenalkan projek 1nita kerana tanpa bantuan mereka, kami mungkin tidak dapat bertapak di alam maya ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek 1Nita, Mohammad Amri Ramli berkata, projek .my Domain Registry yang pada asalnya dikenali sebagai projek W-X adalah organisasi pendaftar dan pentadbir tunggal yang memperkenalkan usaha itu dengan menggabungkan konsep 1Malaysia bagi wanita.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 usahawan wanita yang dilatih di bawah projek 1Nita yang dimulakan di kawasan Lembah Klang.

Untuk menjadi ahli, wanita disaran supaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penganjur akan menyediakan khidmat bimbingan pendaftaran secara dalam talian.

“Had umur yang ditetapkan adalah 18 tahun ke atas dan bakal ahli perlu menjalani kursus penuh serta seminar daripada projek 1Nita sebelum menerima pentauliahan sebagai peniaga projek dalam talian 1Nita.

“1Nita ini menggunakan Internet sebagai medium perantara untuk berurusan dengan pelanggan manakala laman web berfungsi sebagai kedai.

“Pengguna boleh memilih barangan yang dipaparkan dalam laman web dan membayarnya menerusi e-bayaran menggunakan akaun bank,” katanya pada satu majlis yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi .my Domain Registry, Datuk Noraini Ahmad; Pengarah .my Domain Registry, Shariya Haniz Zulkifli serta usahawan wanita berdaftar yang menggunakan laman web berkenaan.

Projek 1Nita itu mendapat sokongan daripada Multimedia Development Corporation (MDec), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita, Pusat Kajian E-Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Radical Box Sdn Bhd.

Badan sokongan lain projek terbabit adalah Jabatan Pembangunan Wanita, SMECorp dan Sirim Berhad.

Farid pegang pesanan sifu

pix_middle

PASTI ramai terkejut melihat penampilan pelakon muda ini yang agak ranggi dengan rambut pendek dan mekap tebal kerana dirinya tidak pernah tampil begini.

Sejak dikenali melalui siri Impian, Nurdiyana Amir Hashim atau Diana Amir, 24, lebih dikenali dengan imej feminin. Malah, gadis kelahiran Birmingham, England pada 22 Jun 1986 ini tidak pernah memotong pendek rambut yang disifatkan mahkota bagi wanita.

  • Foto

  • Foto

    FARID...mahu jadi pelakon versatil dengan kepelbagaian watak.

  • Foto

    DIANA...jadi gadis tomboi dalam 321 Cinta.

  • Foto

  • Foto

    FARID...mahu jadi pelakon versatil dengan kepelbagaian watak.

Namun semua itu terpaksa dikorbankan demi wataknya sebagai Sam dalam filem 321 Cinta.

Dalam filem arahan Azahari Zain ini, Diana berpasangan dengan Farid Kamil dan juga kali pertama memegang watak utama.


Bagi Diana, dia mahu terus melangkah ke depan dalam lakonan dengan memegang watak utama pula selepas diberi kepercayaan menjayakan watak pembantu dalam V3: Samseng Jalanan, Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi.


Katanya, dia mendapat keberanian untuk berterus terang dengan pengarah kerana sangat menginginkan watak itu dan meyakinkan Azahari dia memang layak memegang watak itu. Diana pernah bekerja dengan Azahari melalui drama Jalan Pinang Sebatang dan berjanji akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang.

“Saya suka sangat dengan watak ini dan tidak mahu ia terlepas ke tangan orang lain. Apabila pengarah mengatakan saya perlu memotong pendek rambut saya sesuai dengan watak gadis tomboi, saya terkedu seketika kerana selama ini selesa berambut panjang.

“Tapi demi komitmen saya pada filem ini, saya sedia korbankan rambut. Bagi saya, rambut akan panjang, tapi peluang keemasan tidak datang selalu.

“Saya tidak mahu lepaskan peluang ini,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem itu.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini mengaku menangis apabila melihat rambutnya gugur ke lantai ketika di salon untuk memotong rambutnya.

Apatah lagi sebaik saja selesai dan melihat cermin, hatinya sedih melihat rambutnya yang sangat pendek.

“Apabila pulang ke rumah, ibu mengatakan saya nampak teruk dengan rambut pendek.

“Malah, adik perempuan saya sendiri tidak selesa tidur sebilik dengan saya kerana rasa saya seperti orang asing. Tapi semua itu saya lalui dengan sabar untuk filem ini,

“Saya juga membuat persediaan selama dua minggu untuk menjayakan watak dengan belajar cara berjalan dan bercakap gadis tomboi daripada kawan baik saya.

“Bagaimanapun, saya memotong pendek rambut hanya tiga hari sebelum penggambaran bermula. Ternyata selepas berambut pendek, perasaan itu terus berubah seolah-olah saya kini budak tomboi yang kasar,” katanya.

Kata Diana, penampilannya berskirt dan mekap tebal disesuaikan dengan babak pada hari itu apabila Sam mengikut Nazril (Farid) ke rumahnya untuk satu majlis dan diperkenalkan dengan keluarga Nazril.

“Mereka sama-sama belajar satu kolej. Sam tertarik dengan Nazril dan berazam menjadi teman wanitanya. Nazril pula bukan sebarang lelaki kerana menjadi pujaan ramai pelajar wanita di kolej.

“Untuk menambat hati Nazril, Sam bermekap dan pakai skirt. Tapi dia tidak biasa hingga nampak janggal dan turut ditegur Nazril, tetapi Sam tidak peduli.

“Istimewanya filem ini, kalau biasanya dalam filem romantik komedi lelaki yang memikat gadis idamannya, tetapi kali ini wanita yang cuba memikat lelaki disukainya.

“Namun, dalam mengejar cinta Nazril, Sam tidak tahu ada pemuda lain yang begitu sayang dan setia menemaninya selama ini,” katanya.

Diana yang dikatakan menjalin cinta dengan Zizan Raja Lawak ini mengakui bangga dapat berganding dengan aktor yang begitu laris di pasaran, Farid Kamil dan juga Pierre Andre yang dikaguminya.

Kedua-dua mereka bukan saja pelakon hebat, malah anak muda bergelar pengarah.
Filem ini juga menyaksikan kembalinya Pierre bekerjasama dengan MIG Productions selepas berlaku sedikit masalah tidak lama dulu.

Dalam filem ini, Diana berada dalam persimpangan antara dua jejaka kacak, Farid dan Pierre.

“Saya suka bekerja dengan Farid kerana dia sporting dan tidak lokek ilmu serta nasihat. Pierre pula agak mengejutkan kerana dia nampak serius, tapi sebenarnya apabila di lokasi orangnya kelakar dan suka buat lawak,” katanya.

Selesai penggambaran filem ini, Diana masih tampil rambut pendek kerana perlu memotong semula bahagian bawah rambutnya yang rosak.

Filem terbarunya, Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham akan ditayangkan pada 16 Disember ini.

Filem berkisar kepada isu kerosakan akhlak dan amalan hidup bebas di kalangan remaja hari ini menampilkan Diana menjadi gadis yang terjerumus dalam kancah kehidupan penuh noda ekoran kesukaran hidup yang dilaluinya.

Turut berlakon, Yana Samsudin, Raja Farah, Farid Kamil dan Ashraf Muslim.

Farid mahu jadi versatil

SUDAH bergelar pengarah apabila diberi kepercayaan mengarahkan filem V3: Samseng Jalanan dan Kongsi, waktu sama nama Farid Kamil, 29, tetap laris sebagai hero layar perak.

Buktinya, sepanjang 2010, enam filem lakonannya ditayangkan di pawagam bermula V3: Samseng Jalanan, Evolusi KL Drift 2, Semerah Cinta Stilleto, Lagenda Budak Setan, Cuti-cuti Cinta dan Estet.

Apakah pemegang Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini tidak bimbang peminat jemu dengan lakonannya.

Sepatutnya anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah pada 5 Mei 1981ini bersikap selektif dengan watak dijayakan selepas mula menceburi lakonan pada 2003 melalui filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yakni Mistik, Potret Mistik, Cinta Fotokopi dan 7 Perhentian.

“Saya ingin menjadi pelakon versatil dan mahu mencuba pelbagai watak. Saya sudah mencuba filem aksi dan juga romantik.

“Bagi saya, tidak perlu terlalu selektif dengan skrip kerana berpegang kepada pesanan sifu saya, Ahmad Yatim.

“Katanya, jangan salahkan skrip kalau berlakon tak bagus kerana kalau pelakon memberikan yang terbaik, skrip yang buruk boleh jadikan wataknya bagus.

“Alhamdulillah, buat masa ini tawaran tetap ada untuk saya dan ini memberi peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai watak diberikan dan cuba mewarnainya sebaik mungkin,” katanya.

Pasangannya dalam filem juga cuba dipelbagaikan kini selepas dikatakan sering digandingkan dengan Lisa Surihani bermula dengan I’m Not Single, Semerah Cinta Stilleto dan Lagenda Budak Setan sehingga pernah digosipkan ada hubungan istimewa.

Sebagai percubaan, Farid yang pernah putus cinta dengan pelakon Irma Hasmie dan kini rapat dengan pelakon remaja, Diana Danielle, digandingkan kali pertama dengan Nora Danish melalui filem Cuti-cuti Cinta arahan Ahmad Idham yang ditayangkan di pawagam pada 21 Oktober lalu.

Terbaru, Farid digandingkan pula dengan Diana Amir dalam filem 321 Cinta dan ini juga gandingan pertama mereka sebagai pasangan, tetapi pernah bekerja dengan Diana melalui V3: Samseng Jalanan yang juga arahan Farid serta Aku Masih Dara.

“Saya pernah bekerja dengan Diana dalam V3 dan sebagai pengarah, saya lihat dia pelakon baru yang boleh mencipta nama dalam lakonan seperti Lisa. Dia mudah dibentuk dan cepat tukar karakter,” katanya.

Langkah pertamanya bergelar pengarah juga memberi pencalonan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) baru-baru ini manakala dalam lakonan, pernah dicalonkan Pelakon Lelaki Terbaik melalui Anak Halal dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui Kala Malam Bulan Mengambang.

Ditinju sebelum bersalin

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.


Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.


“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.


“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.

Ibu rentung

REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.

KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.


Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.

Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.


Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.


Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.


“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.

“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.


Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.


“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.


Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lisa lega Wills, Kate bertunang

LISA dan kekasihnya, James Woodsford
LISA dan kekasihnya, James Woodsford
KENANGAN...Lisa dan Wills pada 2007.
KENANGAN...Lisa dan Wills pada 2007.

LONDON: Gadis yang bertanggungjawab terhadap perpisahan Kate Middleton dengan Putera William pada 2007 berkata semalam, dia gembira pasangan itu sudah bertunang.

Lisa Agar, 23, dilihat minum bersama William dan mereka menari bersama di atas podium pada malam kejadian.


Malah, William turut bergambar dengan pengurus pejabat itu, dua minggu sebelum Kate dan putera itu mengumumkan mereka akan berpisah.

Beberapa peminat keluarga diraja Britain berkata, Lisa menjadi punca perpisahan itu dan melancarkan kempen membencinya.


Bagaimanapun, apabila William mengumumkan baru-baru ini bahawa beliau akan berkahwin dengan Kate, tidak ada siapa yang lebih gembira daripada Lisa.


“William dan Kate pernah berkata bagaimana perpisahan menjadikan mereka lebih kuat. “Saya amat gembira mereka akan berkahwin,” katanya kepada akhbar The Sun.William sedang menjalani latihan sebagai pemerintah kereta kebal apabila dia mengunjungi kelab malam diBournemouth, Dorset.


“Saya terkejut apabila menyedari lelaki yang berdiri di sebelah saya. “Saya menari dengan rakannya sebelum itu dan dia yang memperkenalkan saya kepada William.

“Kami minum bersama sebelum beliau naik ke podium untuk menari. Kemudian beliau mengajak saya menyertainya. “Saya menari bersama dengan bakal raja. Saya sungguh teruja.


“Apabila mendengar pasangan itu berpisah beberapa minggu kemudian, saya sungguh terkejut,” kata Lisa mengenai kejadian itu.


Dia mula menerima mesej yang mengecamnya.


“Ada seorang pengirim yang berkata saya sepatutnya mati,” kata gadis itu.


Tekanan yang dihadapinya menyebabkan hubungannya dengan teman lelakinya, James Woodsford, 24, terputus.


Bagaimanapun, seperti William dan Kate, mereka kembali sebagai sepasang kekasih baru-baru ini.

Tiga pengedar dadah tumpas di parkir pusat beli-belah

RAMPAS...Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Dang Wangi, Inspektor Nur Rafida Mustapah menunjukkan dadah yang dirampas.
RAMPAS...Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Dang Wangi, Inspektor Nur Rafida Mustapah menunjukkan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR: Tiga pengedar dadah tidak sempat menyerahkan bekalan dadah dibawa kepada pelanggan apabila kegiatan mereka dihidu sebelum dicekup polis di kawasan letak kereta sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, Khamis lalu.

Kegiatan jenayah itu terbongkar dalam serbuan khas dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Dang Wangi, kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, berkata berdasarkan hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu sebuah Perodua Myvi berwarna hitam di kawasan letak kereta kompleks membeli-belah itu untuk pemeriksaan lanjut.

“Sejurus diserbu, kami menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 40 tahun yang menyatakan mereka hanya melepak di dalam kereta berkenaan.“Hasil pemeriksaan di bahagian penumpang menemui 10,000 pil Eramin 5, 50 pil Ecstasy, tujuh peket syabu seberat sembilan gram dan satu peket ganja seberat satu gram disorokkan dalam kotak bijirin.


“Mengikut harga pasaran, nilai dadah itu kira-kira RM165,000 dan ia dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek terbabit masing-masing bekerja sebagai eksekutif pemasaran, jurujual dan pemandu bas itu direman tujuh hari sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

“Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek dan mendapati mereka positif dadah syabu, malah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mengambil dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pembabitan tiga lelaki berkenaan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

“Polis tidak menolak kemungkinan bekalan dadah berkenaan untuk pasaran pusat hiburan di Lembah Klang,” katanya.

Leslie Nielsen Meninggal Dunia

Leslie Nielsen

FLORIDA: Pelakon komedi Leslie Nielsen, 84, yang popular menerusi filem 'Airplane' dan 'The Naked Gun' telah meninggal dunia di sebuah hospital di Florida, Ahad, pada pukul 5.34 petang.

Menurut agen pelakon yang terkenal dengan panggilan Lt.Frank Drebin dalam The naked Gun, John S.Kelly, Leslie mengalami kompilasi radang paru-paru dan telah dimasukkan ke wad sejak dua minggu lepas di hospital berdekatan dengan rumahnya, Fort Lauderdale, Florida.

"Sudah lebih daripada 60 tahun dia dalam bidang lakonan dan semua orang menyayanginya. Pemergian Leslie membuatkan ramai yang sedih dan tidak menjangka dia pergi begitu cepat.

"Ketika sedang tenat, Leslie dikelilingi oleh isterinya, keluarga dan rakan-rakan yang rapat.

"Kami mendoakan agar dia mendapat ketenangan di atas sana," kata John kepada laman portal Newkerala.

Leslie memegang watak sebagai Lt.Frank Drebin menerusi drama 'The Naked Gun'.

Leslie merupakan anak kelahiran Canada dan telah muncul lebih daripada 100 buah filem serta drama sepanjang karier lakonannya.

Pelakon itu juga pernah berkahwin sebanyak empat kali dan memiliki dua orang anak, Maura dan Thea Nielsen, hasil daripada perkahwinan keduanya itu.

Program Mentor Bantu Atasi Tekanan Pelarian - MSRI

Mas (kiri) dan Fairudz (dua, kiri) kedua-duanya mentor bagi Program Mentor Pelarian Sahabat dalam satu pertemuan bersama keluarga pelarian dari Iraq.

INSTITUT Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil ke hadapan membantu komuniti pelarian merasai keselesaan sepanjang mereka berada di negara ini apabila memperkenalkan inisiatif Program Mentor Pelarian Sahabat.

Pengarah Eksekutifnya, Lia Syed berkata, program itu merupakan pertemuan antara mentor di kalangan sukarelawan dengan pelarian bagi mencapai matlamat khusus.

“Ia bertujuan memecahkan tembok yang menjurangkan antara komuniti pelarian dengan rakyat Malaysia serta menyelesaikan kerumitan yang dihadapi golongan itu.

“Mereka tidak mempunyai komuniti yang besar, sukar berhubung dengan dunia luar dan lebih bersendiri seolah-olah menjalani kehidupan ‘tergantung’,” katanya kepada Mingguan mStar.

Kebanyakan pelarian begitu takut untuk keluar bertemu masyarakat kerana bimbang akan ditahan oleh pihak berkuasa serta tidak mahu menjadi mangsa jenayah.

Pada masa sama, segelintir masyarakat Malaysia masih mempunyai persepsi buruk tentang kedudukan pelarian sedangkan tujuan mereka ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan ekoran masalah atau pergelutan yang berlaku di negara asal.

Lia berkata, Malaysia sebuah negara aman dan terdapat banyak cara untuk memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang menetap sementara di negara ini.

“Sampai ke satu tahap antara mereka pernah berkata; jika saya mati, tiada siapa akan tahu, tiada siapa akan ambil peduli.

Sesi pertemuan mentor dan pelarian-pelarian lelaki.

“Ini menunjukkan bahawa mereka berasa ‘tiada hubungan langsung’ dengan masyarakat mahu pun persekitaran sehingga menyentuh isu kemanusiaan,” ujarnya.

Menerusi program itu, pelarian mampu menjadi manusia normal, belajar banyak perkara mengenai kemanusian dan berasa selamat apabila berada di tempat awamBagi mentor pula, beliau berkata, mereka berperanan sebagai penyumbang kepada penambahbaikan kehidupan orang lain serta kesan positif lain jangka panjang.

“Tidak salah memberikan hak asasi manusia kepada pelarian sepanjang mereka menetap sementara di negara ini sebelum dipindahkan ke negara lain.

“Mereka seharusnya diberikan peluang untuk mendapat pendidikan, perlindungan dan keselamatan serta akses kepada kemudahan perubatan lebih baik,” katanya.

Setakat ini, program berkenaan mempunyai 15 mentor yang berfikiran terbuka, memahami situasi pelarian dan ikhlas memberi sumbangan kepada kehidupan orang lain.

Lia berkata, cabaran yang dihadapai adalah untuk menyesuaipadan antara mentor dan pelarian kerana masing-masing daripada latar belakang yang berbeza.

“Bagaimanapun, saya percaya mentor-mentor ini dapat mengatasi perkara itu sekiranya mereka komited, bersabar dan bersedia menjadi pendengar yang baik,” katanya.

“Kami mahu berkawan seperti manusia lain”

KHALID, 49, tiba di Malaysia pada tahun 2007 apabila mengambil keputusan untuk berhijrah menyelamatkan diri daripada kemelut peperangan di Iraq.

Mohamed Fairudz Mohd Hanif.

Namun ia bukan negara pertama dijejakinya bersama lapan ahli keluarga lain untuk mendapatkan perlindungan kerana sebelum itu mereka telah pun menetap di Syria selama enam bulan.

Malaysia dijadikan negara ketiga apabila dia mendapati Syria terlalu padat dengan pelarian senegaranya yang dianggarkan seramai 2.5 juta orang.

“Seorang rakan menasihatkan saya supaya berhijrah ke Malaysia kerana negara itu lebih baik dan selamat untuk penempatan pelarian,” katanya.

Hari ini, Khalid menetap di Ampang bersama isteri, ibu dan lima anaknya serta seorang cucu dalam satu kehidupan lebih baik berbanding lima tahun dahulu.

Malangnya, kedatangannya ke negara ini tidak semudah seperti yang digambarkan kerana banyak dugaan, cabaran dan masalah terpaksa dihadapi sepanjang tempoh itu.

“Apabila kali pertama tiba ke sini, bagaikan satu kejutan besar kerana sukar untuk mencari tempat untuk berteduh dan mendapatkan pekerjaan kerana tiada dokumen lengkap.

“Lebih menyedihkan apabila saya sekeluarga pada awalnya begitu terasing daripada masyarakat sedangkan perhubungan antara satu sama lain sepatutnya menjadi ubat paling mujarab untuk kami sebagai pelarian,” katanya.

Sehingga ke satu tahap, isteri Khalid iaitu Fatin, 42, ‘memberontak’ disebabkan tertekan akibat terlalu bosan dan nekad mahu merasai kehidupan seperti rakyat Malaysia lain.

Suatu hari, Fatin mengambil keputusan untuk mengetuk pintu rumah jirannya dan memberi hadiah kemudian memperkenalkan diri.

Mas Ayu Mohd Yusof.

Ternyata tindakan tersebut membuahkan hasil apabila suri rumah sepenuh masa itu diterima baik oleh jirannya dan masing-masing menjalinkan hubungan rapat bagaikan sebuah keluarga.

“Saya akui amat memerlukan teman untuk berkongsi cerita tetapi persepsi buruk segelintir masyarakat terhadap pelarian seperti kami memisahkan antara kedua-duanya.

“Namun selepas kami dan jiran mengenali antara satu sama lain, barulah mereka faham tentang keadaan kami dan kenapa kami berada di negara ini,” katanya.

Walaupun Fatin tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris namun dia sanggup menggunakan apa saja cara untuk berkomunikasi dengan jirannya meskipun menggunakan bahasa isyarat.

“Bagi saya, kefasihan untuk berbahasa itu soal kedua. Saya sanggup belajar satu persatu. Paling penting adalah keinginan saya untuk berkawan seperti manusia lain.

“Saya tidak mahukan wang. Apa yang saya mahu adalah sokongan rakyat Malaysia supaya menerima kami pelarian sebagai tetamu, itulah paling berharga,” katanya.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi warga Afghanistan, Ali, 36 kerana sehingga ke hari ini kehidupannya sekeluarga hanya dikelilingi komuniti senegara.

Bekerja sebagai sukarelawan bagi penjagaan kesihatan untuk pelarian Afghanistan di Kuala Lumpur telah membataskan pergaulannya dengan rakyat tempatan.

Namun Ali menjelaskan, apa yang dibimbangi apabila isterinya mengalami kemurungn apabila terpaksa meninggalkan ibu bapanya sejak dua tahun lalu.

“Pada awal ketibaan kami di Malaysia pada tahun 2008, dia sering bersedih kerana sentiasa merindui ibu bapanya yang masih berada di Afghanistan.

“Kehidupan kami begitu terasing dengan masyarakat luar memburukkan lagi keadaan. Kerja saya sebagai sukarelawan membataskan waktu untuk bersamanya di rumah.

“Sudah tiba masanya untuk kami mencari kawan rakyat Malaysia bagi merasai kehidupan seperti manusia lain. Tetapi adakah yang mahu berkawan dengan kami?,” ujarnya yang merupakan antara 520 pelarian Afghanistan yang berada di negara ini.

Bagi pelarian dari Baghdad, Hamad, 34, kesukaran masyarakat setempat untuk menerima pelarian sepertinya membuatkan kehidupannya di Malaysia terbatas.

Apa yang paling dikhuatirinya sejak tiga tahun lalu tiba di Malaysia adalah tahap keselamatan bagi isteri dan dua anaknya.

Hamad yang mengambil upah membaiki penyaman udara berkata, anaknya berusia lima tahun tidak boleh berbahasa Melayu menyukarkannya untuk bersekolah di negara ini.

“Tak kan saya hendak dia menghabiskan masa di rumah sahaja. Sudah tentu membosankannya. Dia juga perlu belajar dan bermain seperti kanak-kanak lain.

“Saya pula agak keberatan untuk membiarkannya merasai dunia luar seperti kanak-kanak lain kerana bimbang dengan keselamatannya apabila berada di tempat awam.

“Saya lebih mengutamakan keadaan isteri dan anak-anak. Bagaimana dengan nasib mereka? Mereka memerlukan kawan dan perkara itu pastinya bukan mudah bagi kami yang sekadar pelarian dan hanya menetap sementara di negara ini,” katanya.

Apa kata mentor?

“Program ini melibatkan hak asasi manusia bagi memastikan pelarian diterima di negara ini sekali gus mengubah persepsi buruk mengenai golongan itu. Ia memberi sinar harapan kepada mereka yang disisihkan daripada dunia luar dan masyarakat.” - Mohamad Fairudz Mohd Hanif, 26, Peguam

“Kami mendengar masalah pelarian. Masalah utama adalah komunikasi yang membataskan hubungan mereka dengan masyarakat. Ini adalah proses pembelajaran sebagai persediaan mereka untuk lebih berdikari apabila dihantar ke negara ketiga.” - Mas Ayu Mohd Yusof, 30, Peguam

“Mentor dan pelarian akan membina persahabatan bagi mencapai matlamat khusus berdasarkan keperluan dan kehendak. Kaedah tersebut membantu memberi keselesaan dan kehidupan lebih baik kepada pelarian yang menetap sementara di negara ini.” - Henry Martinus, 60, Sukarelawan