TANGKAK - Majlis persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan, Bukit Gambir, di sini, disambut meriah apabila pihak sekolah menyediakan sebuah beca berhias untuk dinaiki guru besar mereka yang bersara itu sebagai simbolik perpisahan.
Sahardin Yusof, 60, diraikan dengan dibawa berarak menaiki beca khas sejauh satu kilometer sebagai  tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanannya menerajui SK Parit Kasan selama hampir tiga tahun.
Lebih mengharukan, sepanjang perjalanan menaiki beca, Sahardin turut diiringi guru dan murid-murid, seolah-olah memberikan lambaian terakhir sebelum beliau menamatkan perkhidmatan dengan bersara wajib selepas lebih tiga dekad bergelumang dalam dunia pendidikan.
Sahardin mengakui, majlis persaraan itu menyentuh hatinya kerana berasa cukup dihargai oleh para guru, murid dan kakitangan sekolah serta AJK Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sepanjang 37 tahun berkhidmat dalam profesion perguruan, saya telah ditempatkan di sepuluh sekolah di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai, Pasir Gudang, Segamat, Muar dan Tangkak.
“SK Taman Rinting 3, Pasir Gudang merupakan sekolah pertama saya menjawat jawatan Guru Besar pada tahun 2004 sebelum ditukarkan ke lima sekolah lain dan terakhir di sekolah ini,” katanya dalam majlis Bakti Disanjung, Budi Dijunjung, baru-baru ini, di dewan sekolah berkenaan.
Majlis disambut sebagai meraikan persaraan beliau bermula 15 Disember nanti. Hadir sama Yang Dipertua PIBG, Keliwon Mohamed.
Sahardin dalam pada itu turut menyeru agar pihak guru dan ibu bapa untuk sentiasa menjalinkan kesepakatan dalam membangunkan kecemerlangan murid.
“Kita mahu murid-murid boleh menguasai semua bidang sama ada akademik atau kokurikulum. Selain itu, ibu bapa dan guru juga harus menerapkan nilai sahsiah diri yang baik agar murid ini boleh tampil cemerlang dalam semua perkara. Perlu diingat bahawa kecemerlangan seseorang pelajar bukan bergantung kepada didikan guru semata-mata namun ia juga memerlukan kerjasama padu ibu bapa dan masyarakat untuk membentuk modal insan yang gemilang.
“Walaupun saya sudah bersara dan tidak lagi berkhidmat dalam dunia pendidikan namun jalinan erat antara saya dan warga SK Parit Kasan serta ibu bapa akan diteruskan sampai bila-bila kerana banyak kenangan pahit manis sepanjang saya berkhidmat di sini,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata, minatnya dalam bidang perguruan berjaya dipenuhi apabila diterima masuk mengikuti kursus di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada 1977 hingga 1979 dan ditempatkan di SK Semanggar Kota Tinggi sebagai tempat tugas pertamanya.
Sepanjang karier, Sahardin banyak memberikan sumbangan dalam aktiviti luar berkaitan pendidikan antaranya Pengerusi Panel Perunding Mata Pelajaran Bahasa Melayu Negeri Johor (2006 – 2016), Pengerusi Panitia Bahasa Melayu Pejabat Pendidikan Daerah Muar/Tangkak (2012 - 2016) dan fasilitator Motivasi Bahasa Melayu UPSR Daerah-daerah Negeri Johor (1990 – 2015).
Kecemerlangannya dalam bidang pendidikan terus terserlah apabila beliau pernah menerima anugerah Guru Aktif sempena Hari Guru Peringkat Daerah Kulai tahun 1993 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1994 dan 2003.
Anak kelahiran Kampung Serom 1 ini telah dibesarkan di Felda Seri Jaya, Bukit Serampang di sini sebelum mendapat pendidikan awal di SK Seri Jaya pada 1963 – 1968 dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung Ahmad, Kundang Ulu, SMK Tun Sri Lanang dan SMK Dato’ Seri Amar Diraja, Muar dari 1969 – 1976.
Sahardin dalam pada itu turut menyampaikan nasihat agar pelajar berusaha dan rajin mendekati guru mereka untuk bertanya sesuatu yang tidak difahami selain belajar dengan tekun.