MERLIMAU - Sekitar tahun 1990, sebuah perigi sedalam tiga meter di sini pernah menjadi sumber air terpenting bagi penduduk setempat khususnya di Kampung Pulai, di sini, berikutan krisis kegawatan air yang berlaku di negeri ini.
Pembinaan perigi itu dilaksanakan seorang penduduk bernama Haji Md Johan Limat yang memerlukan sumber air bersih bagi memastikan perniagaan ayam diusahakannya tidak terjejas.
Menurut anak Allahyarham Haji Md Johan, Noraishah, 55, perigi diberi nama Perigi Haji Md Johan yang dibina 27 tahun lalu masih digunakan sehingga hari ini.
Setakat ini, katanya, air perigi berkenaan tidak pernah kering, malah dia dan adik-beradiknya sentiasa menjaga kebersihan sumber air berkenaan.
“Kalau turun pun sedikit sahaja dan dalam masa 20 minit, ia kembali penuh.
“Bagi kami, amanah arwah ayah sangat besar dan berharga bukan sahaja kepada kami sebaliknya orang-orang kampung serta sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya,” katanya.
Noraishah yang mesra disapa Kak Long berkata, arwah ayahnya pernah berpesan supaya tidak sesekali menjual air tersebut kepada sesiapa.
“Memang ada yang ingin komersialkan air perigi ini kerana kata mereka ia kaya dengan sumber mineral semula jadi.
“Tapi saya bertegas untuk tidak menjalankan perniagaan berunsurkan air perigi ini demi janji kepada arwah ayah,” katanya.
Menariknya, air perigi berkenaan menjadi rebutan orang ramai khususnya penduduk kampung yang menggunakan sebagai bekalan air bersih.
Penduduk berbilang bangsa nikmati manfaat
Kak Long berkata, bukan sahaja orang Melayu, sebaliknya Cina dan India turut memanfaatkan air perigi ini.
Katanya, ini kerana rasa airnya yang manis berbeza dengan air paip dan air penapis mineral.
“Kerana itu, tempat ini sering dikunjungi orang ramai tak mengira masa. Tapi waktu-waktu tertentu seperti subuh, petang dan malam adalah waktu puncak orang ramai ambil air perigi ini,” katanya.
Kak Long turut menyatakan ramai yang berkongsi cerita mengenai kebaikan air perigi Haji Johan.
“Kalau nak ikutkan, memang banyak yang berkongsi dengan saya hikmah meminum air perigi ini, ada yang kata sihat tubuh badan, makanan atau minuman tahan lama dan sebagainya.
“Ada juga yang kata boleh sembuhkan penyakit, tetapi saya kata, jangan terlalu mengagungkannya, apa yang baik kita memanfaatkan dan lain-lain serahkan kepada ALLAH SWT,” katanya,
Sementara itu, menurut Kak Long pembinaan bumbung telah dijalankan bagi menjaga kebersihan air perigi itu.
“Niat arwah ayah pelihara perigi ini untuk sedekah kepada orang ramai. Jadi, ada segelintir pihak yang ingin bersedekah membina atap (bumbung) tersebut bagi menjaga air perigi tersebut.
“Saya dan keluarga bersyukur kerana individu itu sanggup keluarkan belanja membinanya, sekurang-kurangnya orang ramai boleh ambil air tersebut lebih mudah lebih-lebih lagi ketika hujan.
"Selain itu, ada juga yang sumbang pam air, tapis dan bekas-bekas yang digunakan untuk mengisi air,” katanya.
Malah, katanya, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah turut menyumbang lampu bagi kegunaan orang ramai yang mengambil air tersebut pada waktu malam.
Kak Long turut berpesan, kepada sesiapa yang mengambil air tersebut, eloklah diminum secara mentah bagi mengekalkan mineral terkandung di dalamnya.
“Jika tidak menyusahkan, sedekahkanlah Al-Fatihah kepada pemilih perigi ini, Haji Md Johan setiap kali mengambil air tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk mahu dikenali sebagai Chan, 50, berkata, setiap minggu dia pasti akan datang mengambil air perigi tersebut.
“Rasanya sangat segar dan sedap diminum, jadi saya ambilnya dalam kuantiti banyak untuk kegunaan minuman dan memasak,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: