Tuesday, August 31, 2010

Zaiton beraya dengan keluarga angkat


TAHUN ini Zaiton Sameon beraya di rumah keluarga angkatnya di Beranang, Selangor.


TAHUN 1990 menyaksikan tragedi dalam hidup penyanyi popular Zaiton Sameon apabila dia terbabit dalam nahas jalanraya sehingga meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun.

Sejak saat itu, setiap kali tibanya Syawal penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu meraikan hari mulia itu dengan ibu bapa dan sanak keluarganya biarpun peristiwa tersebut sukar dilupakannya sehingga kini.

Bagaimanapun selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun selepas itu dan diikuti bapanya, Sameon Yusuf yang kembali ke rahmatullah pada 2003 jiwa Zaiton seakan-akan bertambah pilu setiap kali tibanya Hari Lebaran.

Mujurlah kata Zaiton, dia mempunyai sebuah keluarga angkat yang menganggapnya sebagai ahli keluarga sendiri dan sudi meraikan Hari Raya Aidilfitri dengannya pada setiap tahun selepas ibu, bapa dan anaknya pergi menemui Illahi.

“Saya sudah tidak ada lagi orang-orang yang tersayang dalam dunia ini. Mujurlah saya ada keluarga angkat yang tinggal di Beranang, Selangor. Anak keluarga angkat saya itu, Rahim Adam juga merupakan pengurus saya.

“Dulu setiap kali raya saya mesti balik rumah ibu bapa saya di Kampung Tanjung Sena Hilir, Rembau, Negeri Sembilan. Adik-beradik saya sudah berkeluarga. Kini dengan keluarga angkat sayalah tempat saya mengadu nasib,” katanya.

Menurut Zaiton, sejak kematian anaknya 20 tahun lalu dia hanya membuat persiapan ala kadar setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuklah dengan membeli kuih muih dan pakaian raya untuk keperluannya sahaja.

Kata Zaiton, istilah beraya sakan atau membuat persiapan raya paling meriah hanya dilalui semasa anaknya masih hidup apatah lagi ketika itu dia sedang berada di zaman kemuncaknya sebagai penyanyi dalam persada seni suara tanah air.

“Saya masih ingat lagi pada ketika itu adakalanya sebelum menyambut raya, saya dan arwah anak saya akan pergi hingga ke Singapura untuk membeli-belah. Ketika itu Singapura terkenal dengan fesyen-fesyen pakaian terkini.

“Apatah lagi, anak saya pula suka fesyen-fesyen pakaian yang terkini. Saya pula setiap kali bulan puasa akan berehat sekejap daripada menerima undangan menyanyi. Kalau adapun tawaran yang diterima untuk majlis-majlis anjuran VIP.

“Sebab itu dulu semasa anak saya masih ada saya ada banyak masa untuk membeli-belah atau membuat persiapan raya bersama-samanya. Tetapi sekarang ini saya seorang dan ia hanya tinggal kenangan sahaja,” ujarnya.

Mujurlah katanya, keluarga angkatnya itu bukan sahaja sudi menerimanya tetapi pada masa sama terus memberi galakan kepadanya bagi meneruskan karier sebagai penyanyi dan juga pelakon sejak kebelakangan ini.

Zaiton Ceritaku merupakan filem terbaru yang menyelitkan Zaiton sebagai pelakon dalam filem arahan Fauziah Nawi itu yang memaparkan tentang perjalanan hidupnya selepas tragedi yang menimpanya dua dekad lalu.

“Saya masih menyanyi kalau ada tawaran pada majlis makan malam atau kenduri kahwin. Zaiton Ceritaku adalah filem terbaru saya. Walaupun watak saya kecil dalam filem itu tetapi jalan ceritanya adalah tentang diri saya.

“Ini bukan kali pertama saya berlakon tetapi sebelum ini iaitu pada 1989 saya juga pernah berlakon dalam filem Hati Bukan Kristal.

“Saya akan terus berlakon kalau ada tawaran tetapi keutamaan lebih kepada menyanyi,” katanya.

Pada pertemuan dengan Hits pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Karyawan Malaysia itu, Zaiton telah diundang menghiburkan para tetamu yang cukup terhibur dengan persembahannya yang mengimbas nostalgia zaman lampaunya.

Biarpun adakalanya terlupa lirik tetapi gaya persembahan dan suara Zaiton masih utuh semasa dia menyanyikan lagu popularnya berjudul Menaruh Harapan yang terus diminati ramai termasuklah kalangan generasi baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: