Tuesday, August 31, 2010

Maizawati Hanya Menang Anugerah Fotogenik

Sheela Arumugam (tengah) memenangi gelaran Mrs Beauty Malaysia 2010.

SELEBRITI Maizawati Zainal, 35, telah memenangi Anugerah Fotogenik dalam pertandingan Mrs Beauty Malaysia 2010 yang berlangsung di Dewan Seri Endon Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya, Ahad.

Bagaimanapun dia akur apabila kalah kepada Sheela Arumugam, 27, dari Negeri Sembilan yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

Kata Maizawati, mungkin dia kalah kerana persembahannya yang tidak lancar pada majlis yang dihoskan oleh pelakon Bollywood terkenal, Shakti Kapoor itu.

“Saya memakai tumit tinggi yang tidak selesa sehingga tumit kasut itu termasuk dalam lubang dan menyebabkan saya hampir terjatuh. Jadi, saya reda dengan kekalahan ini,” katanya yang mewakili negeri Sabah, negeri suaminya, Mohd Yassin Ben@Abd. Rahim, 23, dalam pertandingan itu.

Maizawati.

Maizawati atau mesra disapa Maiza membawa pulang hadiah berupa mahkota dan trofi.

Sementara Sheela yang merangkul gelaran Mrs Beauty Malaysia 2010 membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, pakaian, kasut, trofi dan mahkota serta berpeluang mara ke pertandingan Mrs Beauty World 2010 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Pertandingan anjuran MBQ World Sdn Bhd itu bertujuan mencungkil bakat dan model baru untuk menyerlah potensi mereka secara menyeluruh dalam bidang fesyen dan kecantikan, televisyen komersial dan radio, medium pengiklanan, termasuk lakonan dan nyanyian.

Pertandingan itu terbuka kepada wanita yang telah berkahwin, berusia 21 tahun ke atas dan berwarganegara Malaysia. Mereka perlu mewakili negeri sendiri atau negeri suami masing-masing.

Yang membezakan pertandingan ini dengan pertandingan ratu cantik yang lain, Presiden MBQ World, Datuk Molly Malakias Yoshioka berkata, penganjur menetapkan para peserta tidak memakai bikini, pakaian renang atau kostum yang jarang.

Seramai 14 peserta bertanding dalam pertandingan tersebut yang disertai pelbagai golongan seperti Melayu, Cina dan India.

Para pemenang yang lain adalah:

Naib juara dan Anugerah Personaliti Terbaik-Junaida (Selangor)

Tempat ketiga dan Anugerah Kulit Cantik- Shariah Ahmad (Perlis)

Tempat keempat dan Anugerah Wajah Cantik- Ruzaina Mat Nasir (Kelantan)

Tempat kelima- Tengku Putri Nor Azilina Tengku Ahmad Shah (Kuala Lumpur)Anugerah Model Terbaik- Nooraini Harun (Johor)

Anugerah Temubual Terbaik- Vimleswary K Rajan (Pahang)

Anugerah Pakaian Terbaik- Siti Raihan Mohd Radzi (Terengganu)

Anugerah Senyuman Terbaik- Vickneswary (Kedah)

Anugerah Bakat- Rubah Rajoo (Perak)

Pakaian Negeri Terbaik- Rohani Lee Simpan (Sarawak)

Anugerah Congeniality- Sheela Nagamah Miniasphirn (Pulau Pinang)

1 comment:

  1. walaupun anugerah yg diimpikan tdk beliau dpt, setidknya beliau berani mencuba.. tahniah

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: