Tuesday, August 31, 2010

Allah rahsiakan Lailatul Qadar


Antara amalan bagi mengisi malam al-qadar adalah memperbanyakkan membaca al-Quran selain qiamullail. – Gambar hiasan


RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman.

Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia.

Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.

Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: