BANDA HILIR - Seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah dekat sini, cedera di bahagian perut selepas menjadi mangsa mercun yang dilemparkan individu tidak bertanggungjawab ketika pulang dari sekolah.
Lebih mengejutkan, mercun yang dipercayai dibaling budak-budak ‘nakal’ itu dikatakan termasuk ke dalam pakaian seragam sekolahnya sebelum meletup.
Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana mercun berkenaan tidak meletup kuat tetapi menyebabkan bahagian perutnya melecur, manakala pakaian seragam sekolahnya terbakar sedikit.
Mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kelmarin beberapa meter daripada kawasan sekolahnya.
“Saya dan seorang lagi rakan berjalan ke luar sekolah untuk mencari bahan-bahan tugasan kumpulan sebaik sekolah tamat pada pukul 12.35 tengah hari.
“Sewaktu berjalan, saya sedar sebuah bas sekolah lalu dan seorang murid sekolah rendah membaling sesuatu ke arah kami. Tiba-tiba rakan saya menjerit mengatakan baju saya terbakar,” katanya.
Menurut mangsa, pada mulanya dia tidak menyangka objek yang dibaling itu adalah mercun, tetapi dia sedar selepas terasa panas dan pedih di bahagian perut, sebelum bertindak berlari masuk semula ke dalam kawasan sekolah.
“Saya dapat bayangkan jika mercun tersebut meletup kuat, tidak tahulah apa akan berlaku pada saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.
Dia kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada gurunya dan guru tersebut menghubungi ibunya yang semasa itu sedang bekerja, sebelum ibunya membawanya ke klinik untuk mendapat rawatan.
“Ini pengalaman teruk bagi saya. Walaupun tidak mendapat kecederaan serius, tetapi saya selalu membayangkan jika mercun yang dibalingnya jenis meletup kuat," katanya.
Dia bagaimanapun tidak berniat melaporkan kejadian kepada polis kerana tidak pasti individu yang membaling mercun itu, termasuk nombor pendaftaran bas sekolah terbabit.
“Mungkin dia tak berniat membalingnya pada saya, tetapi nasib saya kurang baik apabila ianya masuk ke dalam baju saya.
“Saya harap sesiapa pun lebih berhati-hati jika mahu bermain mercun atau bunga api," katanya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk menyimpan pakaian sekolah yang rosak itu sebagai kenangan dan menyifatkan pakaian tersebut menyelamatkan dia dari cedera lebih teruk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: