Tuesday, August 31, 2010

Tunku moyang penyayang


SHARYN (kanan) bersama ibu tersayang, Sharifah Intan yang merupakan cucu sulung Almarhum Tunku Abdul Rahman.


DILAHIRKAN sebagai cicit kedua kepada seorang tokoh kemerdekaan negara, Sharyn Lisa Shufiyan, 25, kurang mengenali moyangnya itu sewaktu dia kecil. Malah, dia hanya mengetahui profil Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama ketika memasuki alam persekolahan.

Kelewatan mengenali moyangnya itu bukan disengajakan. Ini kerana Sharyn hanya lahir ke dunia 15 tahun selepas Tunku melepaskan jawatan No. 1 negara selaku Perdana Menteri.

Namun, kelewatan mengenali Tunku Abdul Rahman bukan penghalang untuk Sharyn berasa bangga dengan pencapaian moyangnya yang bertanggungjawab memerdekakan Tanah Melayu dan menyatukan Malaysia bersama pemimpin-pemimpin lain.

Menurut cicit kedua Tunku Abdul Rahman itu, dia cuma berpeluang bersama Tunku sehingga berusia lima tahun sebelum Almarhum meninggal dunia pada tahun 1990. Sepanjang tempoh itu, kenangan bersama Tunku masih segar dalam ingatannya walaupun tidak berapa jelas.

“Saya ingat dulu jika Tok Tam (panggilan buat Almarhum Tunku) mempunyai tetamu, beliau akan memanggil abang dan saya untuk memperkenalkan kami kepada tetamu. Kemudian dia akan bagi kami duit poket.

“Setiap kali hari raya, kami akan berkumpul di rumahnya di Pulau Pinang dan pada masa itu suasana cukup meriah. Kami dulu selalu disuruh oleh nenek untuk ‘pun’ (adat sembah hormat) dan mencium tangan moyang.

“Ia (pun) dilakukan kerana kami masih mengamalkan adat istiadat diraja. Kami juga kena bersopan apabila mendampingi Almarhum kerana keluarga saya agak tegas dan mereka tak suka budak-budak kecil berlari ke sana ke mari,” imbas Sharyn yang kini bertugas sebagai Koordinator Program di sebuah organisasi alam sekitar.

Anak bongsu kepada Sharifah Intan dan Shufiyan Shukur itu menjelaskan, Almarhum moyangnya seorang yang penyayang dengan anak dan cucu. Apabila bertemunya, mereka pasti akan dipeluk dan dicium.


KENANGAN Sharyn bersama moyangnya, Tunku Abdul Rahman dan nendanya, Tunku Khadijah.


“Tetapi, di sebalik sifat penyayang Tunku, beliau tidak teragak-agak untuk mengetuk kepala kami dengan tongkatnya jika kami agak nakal. Ketukan itu tidaklah terlalu kuat, sebaliknya hanya untuk menegur perbuatan cicitnya,” tutur anak bongsu kepada cucu sulung Tunku, Sharifah Intan.

Tambah Sharyn, ibu dan neneknya selalu bercerita tentang Tunku, tapi bukan mengenai pencapaian, visi atau perjuangan Almarhum, sebaliknya hanya bercakap tentang diri Almarhum.

“Dalam perbualan itu ibu bercerita tentang atuknya, jadi takkan nak cerita pasal kerja. Sebab itulah saya tak tahu siapa moyang saya sehingga saya belajar sejarah di sekolah.

“Sekarang, untuk lebih mengenali cara pemikiran dan pandangan Almarhum, saya banyak membaca buku tentang Tunku dan buku-buku yang pernah ditulisnya dahulu,” jelas Sharyn.

Adakah Sharyn mewarisi sifat Tunku? Menurut Sharyn, dia lebih mengikuti jejak langkah Tunku berbanding mewarisi sifat beliau.

“Saya mengakui mempunyai ideologi dan sifat-sifat yang berlainan dengan Tunku. Ini mungkin kerana kami hidup pada zaman yang berbeza.

“Tapi saya amat kagum dengan sifat Tunku yang tidak hipokrit dan jujur. Moyang saya mempunyai hati yang baik, mempunyai pandangan dan visi yang menginginkan semua rakyat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi tanpa mengira kaum.

“Sayangnya, visi Almarhum tidak kesampaian. Sehubungan itu, saya mempunyai pendirian dan berani bersuara untuk meneruskan visi moyang saya dengan mengikut jejak langkah Tunku dalam aspek yang merangkumi kepercayaan terhadap demokrasi dan peluang yang adil untuk semua,” luah hati Sharyn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: