KEHADIRAN bulan Ramadan bukan sahaja memberi peluang kepada semua umat Islam untuk bermuhasabah diri dan meningkatkan amal ibadat tetapi juga telah membuka ruang rezeki.
Di situlah hadirnya kemeriahan dengan bazar Ramadan dibuka di merata-rata tempat dan telah membuka peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk mencari rezeki tambahan pada bulan yang mulia ini.
mStar Online berkesempatan mengikuti seorang peniaga bazar untuk mengetahui aktiviti hariannya sebagai seorang peniaga di bazar Ramadan.
Menurut Tatan Majid, 38, dia mula melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan sejak awal tahun ini setelah kehilangan kerja ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 2008.
“Selepas merasai tempias kegawatan ekonomi pada ketika itu, saya banyak melakukan kerja-kerja bebas dan biasalah ada ketikanya peluang kerja yang datang agak terhad.
“Awal tahun ini baru saya tergerak hati untuk melakukan perniagaan roti john setelah memikirkan saya perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki taraf hidup dan tidak bergantung harap kepada kerja bebas,” katanya ketika menuju ke Pasar Borong Klang untuk membeli barang keperluan gerainya.
Memulakan perniagaan dengan menyewa gerai di sebuah restoran milik rakannya, In Auto Bistro, Tatan turut mendapat galakan penuh daripada isterinya, Nurhayati Ali Pekri, 38, dengan niat murni suaminya itu.
Bagaimanapun, menurut lelaki peramah ini, walaupun isterinya berkeras untuk membantu dalam menjalankan perniagaan itu bersama-samanya, dia lebih senang membiarkan isterinya menguruskan rumah tangga dan anak-anak.
“Mencari rezeki adalah tanggungjawab suami dan saya tidak mahu membebankan isteri. Biarlah dia tumpukan perhatian kepada anak-anak.
“Tetapi kadang-kala jika bosan,dia akan menolong juga saya di gerai dan bazar Ramadan,” katanya yang membuka gerai di bazar Ramadan Puncak Alam Fasa 3, Shah Alam.
Rutin bermula seawal 10 pagi
Rancak bercerita mengenai aktiviti hariannya, Tatan berkata, pada bulan Ramadan dia memulakan rutin seawal pukul 10 pagi setiap hari untuk pergi ke pasar bagi membeli bahan-bahan untuk menyediakan roti john istimewa buatannya.
Pada kebiasaanya, Tatan memberitahu dia mendapatkan semua bahan-bahan mentah untuk membuat roti john di Kompleks Pasar Borong Klang dan pasar raya.
“Sebagai peniaga, perbandingan harga adalah penting untuk menjimatkan kos sedari kebanyakan harga barang pada hari ini telah meningkat naik,” katanya.
Menurut Tatan, urusan membeli bahan mentah biasanya dilakukan dua hari sekali mengikut keperluan dan kebiasaanya dia tidak akan membeli bahan mentah dalam kuantiti yang terlalu banyak bagi menjaga kualiti roti john yang dihasilkan.
“Kalau beli daging kisar sebagai contoh, terlalu banyak pun tidak elok juga kerana jika disimpan lama, dikhuatiri daging tidak lagi segar,” katanya yang mengambil masa dua ke tiga jam untuk membuat tinjauan dan pembelian.
Hanya selepas itu, dia akan kembali ke kedainya di In Auto Bistro untuk memproses semua bahan-bahan yang dibeli di pasar untuk di bawa ke tapak bazar Ramadan.
“Memandangkan semua kelengkapan saya simpan di sini, jadi lebih senang saya memproses semua bahan-bahan yang dibeli tadi di sini,” katanya yang mengakui aktiviti penyediaan bahan untuk roti john seperti memotong cendawan, mengisar bawang dan sebagainya agak memenatkan tetapi cukup menyeronokkan.
Setelah selesai, lebih kurang pukul 4 petang baru Tatan akan bergerak ke tapak bazar Ramadan untuk memulakan perniagaan sehinggalah masuk waktu berbuka puasa sebelum menyambung perniagaan di gerainya di restoran In Auto Bistro.
Bukan chef
Tidak mudah mengalah dan sanggup mencuba apa sahaja, bapa kepada lima cahaya mata ini memberitahu, pada awalnya dia ragu-ragu dengan keputusan untuk berniaga kerana tidak yakin dengan kebolehan memasak. Tatan memberitahu dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang chef yang tahu mengenai serba serbi mengenai dunia masakan tetapi belajar melalui pengalaman dan pemerhatian.
“Bertitik tolak daripada itu saya cuba memperbaiki dan menambah beberapa bahan terhadap resepi roti john sedia ada dalam mencipta kelainan,” katanya.
Antara roti john yang dijual adalah seperti roti john biasa, cendawan dan keju, Keju dan nenas dan sebagainya. turut dijual di gerainya di In Auto Bistro pada sebelah malam adalah seperti oblong shroom, oblong steak, mini john pizza dan pelbagai jenis roti john.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: