Tuesday, August 31, 2010

Ragam Manusia Dalam ESTET

Bukan senang dapat melihat pelakon kacak, Farid Kamil menari dan menyanyi lagu Tamil dan kini anda berpeluang melihatnya sendiri dalam filem ESTET.

Kali terakhir kita dapat melihat babak nyanyian dan tarian begini mungkin pada zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Namun Mamat Khalid cuba menyuntik perubahan ke dalam industri perfileman tanah air.

"Banyak objektif yang mahu ditonjolkan dan saya harap penonton gembira melihat keakraban yang dipersembahkan antara watak dalam Estet. Saya mahu tonjolkan budaya masyarakat Malaysia yang masih ramai tidak mahu mengambil tahu mengenainya.

"Manusia memang banyak ragamnya tapi hubungan kita sebenarnya sangat rapat secara semulajadi. Cara kita dibesarkan selalunya akan mempengaruhi cara kehidupan dan itulah yang dipaparkan dalam Estet. Banyak metafora dan sinikal dan anda orang yang lebih layak memberi nilai kepada hasil karya saya.

"Saya sengaja tonjolkan secara slapstik kerana sememangnya cara itu yang dapat menghiburkan. Seboleh-bolehnya saya elakkan jalan cerita yang klise kerana nilai filem itu terlalu artistik. Sebab itu saya lebih menitikberatkan hasil kerja yang diperlukan, bukan mengikut selera penonton. Sebab itu harapan saya untuk filem ini sangat tinggi," ujar Mamat Khalid terhadap filem yang menelan belanja RM1.9 juta ini.

Estet memaparkan kehidupan Estet Cinta Manis yang didiami penduduk berbilang kaum dan hidup aman harmoni. Penindasan Pooniah dan Junna (Shoffi Jikan) menimbulkan kemarahan Farid (Farid Kamil) dan Sashi (Shashi Tharan) lantas kedua-duanya telah bersetuju untuk bertarung dalam perlawanan bola sepak dengan Estet Red Cobra.

Banyak sindiran dan isu semasa yang cuba dibangkitkan melalui filem ini antaranya industri hiburan, prestasi bola sepak yang semakin merudum, jenayah dan banyak lagi. Tidak kurang juga aksi lawak pecah perut yang pastinya satu kewajiban dalam setiap filem arahan Mamat Khalid.



"Harapan saya tinggi dan saya benar-benar yakin dengan Estet. Bukan untuk mendabik dada namun saya harus banggakan hasil kerja seni sendiri. Estet dibuat bukan untuk dihantar ke festival filem, namun ianya dibuat untuk citarasa Malaysia.

"Banyak teladan yang tidak ditunjukkan secara langsung dalam filem ini dan saya benar-benar berharap agar penonton faham isi tersirat yang cuba disampaikan. Setelah menyempurnakan filem ini, saya dapat menyimpulkan walau sejahat mana pun seseorang itu, tetap akan ada kasih sayang yang tertanam dalam dirinya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Estet di Brem's Mall, Kepong.

Filem ini dibintangi Farid Kamil, Shashi Tharan, Shoffi Jikan, Jasmin, Gandii Nathen, Kamarul. Mislina Mustaffa dan penampilan istimewa Datuk David Arumugam dan Rosyam Nor. Saksikan filem terbitan Naga VXS Sdn Bhd ini bermula 4 November 2010 ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: