NAMA-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan tidak asing dalam perjuangan kemerdekaan sehingga pembentukan Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, masyarakat sering mengenali pemimpin besar di barisan hadapan.
Namun katanya, mereka lupa di sebalik perjuangan itu adalah sokongan tokoh-tokoh kecil yang turut memberi sumbangan besar kepada negara.
“Ada antara wira tak dicanang ini membakar semangat perjuangan menerusi penulisan, menjaga keamanan dan pembangunan sosial.
“Peranan mereka juga begitu penting dalam sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia,” katanya kepada mStar Online.
Konteks pembangunan sosial itu meliputi persatuan dan parti politik, kesihatan dan perubatan serta penulisan, masing-masing mempunyai pengaruh.
Sehubungan itu, jabatan itu mengadakan ‘Pameran Wira Tak Dicanang’ di Muzium Negara dari 17 Ogos sehingga 19 September 2010.
Pameran tersebut menyenaraikan seramai 69 tokoh pelbagai bangsa yang banyak berjasa memberi sumbangan ke arah kemerdekaan negara.
Mengenai senarai tokoh itu, Ibrahim menjelaskan bilangan yang banyak berjasa ketika itu sebenarnya terlalu ramai dan sebahagiannya sudah meninggal dunia.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan perancangan setahun lalu dan penyelidikan selama tiga bulan, 69 nama tokoh disenarai pendek.
“Sebenarnya penceritaan mengenai mereka sudah ada, pernah pun tertulis di dalam buku-buku sejarah tetapi tak ramai yang tahu mengenainya.
“Jika kita baca kisah wira-wira yang tidak dicanang ini sudah pasti menitiskan air mata tentang pengorbanan dan sumbangan mereka,” ujarnya.
Pendedahan tokoh-tokoh yang kurang diberikan perhatian sebelum ini menunjukkan usaha Jabatan Muzium memupuk kesedaran generasi selepas negara mencapai kemerdekaan.
Menurut Ibrahim, rakyat Malaysia perlu mengingati dan menghargai setiap jasa mereka terbabit sama ada di barisan hadapan atau bersama berjuang demi negara.
“Kita lihat keadaan yang dikecapi sekarang. Nikmat yang ada pada hari ini adalah hasil daripada mereka yang berjuang memerdekakan negara.
“Nikmat itu seharusnya dijaga. Kita semua ada tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara terus membangun dan aman,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: