|
|
BUDAYA berkunjung ke spa di kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi pilihan terutama untuk merawat masalah berkaitan stres dan ketegangan.
Bagi yang masih tercari-cari spa yang jauh dari kesibukan kota, Spa Escape yang terletak Golden Palm Tree atau juga dikenali sebagai Sepang Gold Coast, di Pantai Bagan Lalang, Sepang mungkin antara destinasi yang wajib dikunjungi.
Berkonsepkan dengan gaya Bali klasik dan kontemporari membuatkan si pengunjung seolah-olah tidak mahu pulang kerana seronok dibelai dengan suasana yang merehatkan.
Wangian aroma terapi menusuk hidung sebaik memasuki ruang pusat kecantikan ini seolah-olah menyambut kedatangan kami.
Sebaik memperkenalkan diri, seorang pekerja wanita pantas membawa penulis menjelajah ke seluruh kawasan spa dan menunjukkan pelbagai rawatan kecantikan yang disediakan.
“Menarik, tenang dan mendamaikan,” getus hati sebaik selesai melawat spa yang indah dibina di atas air ini.
Ternyata gaya Bali yang diterapkan dalam penataan dekorasi spa tersebut berjaya membangkitkan ketenangan dalam jiwa setiap individu yang berkunjung ke sana.
Alunan muzik perlahan, bunyi kicauan burung dan aliran air di salah satu sudut istirehat seolah-olah membawa anda menikmati suasana alam semula jadi di tengah-tengah belantara.
Menawarkan pelbagai rawatan menarik bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seperti urutan badan yang menggunakan minyak aromatik, urutan tradisional Bali untuk mengurangkan kesakitan bahagian tulang belakang, otot-otot dan melegakan kepenatan.
Selain itu, terdapat juga urutan tisu otot, urutan tekanan dan urutan tapak kaki.
Lebih menarik, urutan batu juga turut disediakan kepada pengunjung bagi melegakan stres.
Memiliki bilik untuk pasangan dan sebuah bilik yang dilengkapi dengan jakuzi dan alat pemanas istimewa menjadikan spa tersebut lain daripada yang biasa.
Malah ruangan yang besar dan eksklusif juga menjadikan spa ini seperti menduduki di ruang rumah sendiri.
Ternyata, dekorasi spa yang terdapat di Escape spa ini mampu memberikan ketenangan kepada pengunjung yang datang.
Spa itu juga menyediakan bilik rawatan yang dilengkapi dengan bilik air selain perkhidmatan jakuzi, mandi wap dan sauna.
Menariknya, jakuzi yang tersedia berkonsepkan zaman batu dan kelihatan begitu unik sekali. Sekali pandang air terjun buatan yang disediakan di satu sudut jakuzi itu seperti semula jadi.
Apa yang pasti, kunjungan ke Spa Escape mampu memberikan seribu satu kepuasan dalam diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: