KUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran akan dibuat terhadap kawalan imigresen di semua pintu keluar-masuk negara, termasuk menukar kakitangannya dari semasa ke semasa bagi mengelak rasuah dan salah guna kuasa.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata langkah drastik itu perlu diambil bagi memelihara imej dan moral anggota serta pegawainya berikutan pendedahan Berita Harian berlaku rasuah dan salah guna kuasa di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, minggu lalu.
“Sebaik saya mendapat laporan penuh mengenai kejadian di Jeti Pulau Ketam... rombakan akan dilakukan besar-besaran. Kami sudah mengenal pasti pintu keluar dan masuk yang dianggap sensitif dengan memberi fokus untuk memastikan operasi imigresen berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan eksklusif Berita Harian, minggu lalu, mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di jeti itu menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Setiap anggota penguat kuasa itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk ‘peranan’ mereka memudahkan urusan keluar-masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan langsung.
Kelmarin, mengulas isu sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera pendedahan itu dan mengambil tindakan susulan terhadap kakitangan awam yang terbabit dalam rasuah.
Abdul Rahman berkata, Jabatan Imigresen juga akan bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan pelaksanaan tugas anggota dan pegawainya di semua pintu keluar-masuk berkesan.
Beliau berkata, bagi memastikan pemantauan lebih rapi di semua pintu keluar-masuk, jumlah pegawai dari ibu pejabat imigresen yang ditempatkan di situ juga akan ditambah sehingga lapan orang, berbanding hanya empat atau lima orang ketika ini.
“Saya yakin urusan di pintu masuk dan keluar negara tidak akan berdepan sebarang masalah jika semua anggota dan pegawai mematuhi garis panduan dan prosedur ditetapkan.
“Dalam hal ini (rasuah dan salah guna kuasa) berlaku kerana ada anggota dan pegawai yang ingkar perintah,” katanya.
Malah, Abdul Rahman berkata, anggota dan pegawainya juga sudah dilatih untuk mengenal pasti dan mengesan gerak geri pendatang tanpa izin atau sesiapa melanggar undang-undang dan cuba membolosi pintu masuk negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: