Monday, August 30, 2010

Bahagia bersuami muda



Jarak usia 26 tahun bukanlah penghalang bagi wanita yang berusia seperti Rosnah Mat Aris, 55, untuk menikmati kebahagiaan bersama suami tercinta, Thaj Afendi, 29.

Bahkan, pelakon veteran mengaku, perkahwinannya yang masuk tahun kedua tidak pernah dilanda badai, sebaliknya semakin mekar dengan perasaan cinta dan kasih sayang.

“Secara jujurnya, kami tak pernah bergaduh. Malah, suami pernah tanya saya ‘kenapa kita tak pernah gaduh sejak kahwin? Tapi saya kata jangan mintak, nantikan gaduh besar pula.

“Orang mungkin nampak saya macam ni, kecoh dan ‘cengih’ (garang), tapi saya sebenarnya sangat menghormati suami. Malah, hubungan kami sangat romantis dan saling memanjakan antara satu sama lain.

“Dia pula, walaupun masih muda, tapi sangat matang dan tahu tanggungjawab. Sebab itulah hubungan kami masih bertahan hingga ke hari ini,” kata Rosnah yang pernah merahsiakan perkahwinannya itu dari pengetahuan umum dan juga pihak media.

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan lelaki muda, apatah lagi yang boleh dianggap seperti anaknya sendiri. Namun, itulah yang dikatakan jodoh, dan dia tidak mampu menolaknya.

“Saya dah berkawan dengan dia lima tahun dan saya tak pernah fikir akan sampai ke tahap ini kerana saya menganggapnya sebagai kawan biasa saja.

“Tapi dia sebenarnya menyimpan perasaan terhadap saya dan begitu bersungguh-sungguh mahu mengahwini saya. Dan syukurlah hubungan kami tidak pula mendapat tentangan orang tuanya,” katanya yang menjalinkan hubungan baik dengan keluarga mentuanya.

Ketika ditanya tentang zuriat, Rosnah berkata, suaminya akur yang dia tidak lagi mampu memberikan zuriat.

“Sebelum kahwin lagi saya dah bincang perkara ini dengannya. Tapi, dia sedia terima dan berkata, dia ingin berkahwin dengan saya bukannya sebab zuriat, tapi dia ingin buat saya bahagia dan gembira selagi masih ada hayat kami berdua,” katanya yang turut memanjatkan kesyukuran pada Allah kerana mengurniakan suami yang baik untuknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: