SELEPAS empat tahun menyepi dari industri hiburan, bekas vokalis utama kumpulan Exists, Ezad (gambar) atau nama penuhnya Mohd Rohaizad bin Mohd Lazim kini giat menjalankan perniagaan produk wangian.
Produk tersebut diberi nama Ezad Aroma Bertemu Cintaku sempena dengan singlenya berjudul Bertemu Cintaku ciptaan komposer Ajai.
"Sekotak wangian berharga RM25 untuk lelaki dan wanita. Saya pun baru mendapat stok produk pada hari ini," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Ramadan Era TV 1Malaysia di Hotel Renaissance, Jumaat lalu.
Ezad telah menyertai Exists pada tahun 1995 selepas keluarnya Mamat.
Bagaimanapun, dia mengambil pendirian meninggalkan kumpulan tersebut setelah dikatakan memberikan masalah disiplin.
Sejak bergerak solo, Ezad memberitahu, dia telah berjinak-jinak dengan perniagaan Direct Selling atau Multi-Level Marketing untuk mencari nafkah.
Sekarang dia mengambil langkah mempromosikan produknya sendiri iaitu Ezad Aroma Bertemu Cintaku.
"Saya berharap ia mendapat maklum balas positif," katanya yang berasa lebih bebas apabila bergerak solo dari kumpulan Exists.
Sedar dia pernah lalai suatu ketika dulu ketika masih merupakan vokalis Exists, Ezad berkata, dia kini bersedia menanggung apa-apa kesudahan kerjaya solo dan risiko perniagaannya.
"Jika dulu saya lalai, sekarang saya telah menjadi lebih matang," ujarnya.
Ezad menyifatkan dirinya seperti "dilahirkan semula" sejak bergerak solo dan menceburi perniagaan.
Mengenai hubungannya dengan bekas ahli-ahli Exists, dia berkata, masih berhubungan dengan Ujang dan Along menerusi Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: