SUDAH 
tiga tahun berlalu, namun Piala Dunia 2014 masih meninggalkan kenangan yang cukup manis dan sukar dilupakan bagi penduduk Kampung Parit Jerman.
Mana tidaknya secara tiba-tiba nama Kampung Parit Jerman menjadi sebutan apabila ramai yang mengaitkan nama kampung itu dengan kejayaan pasukan Jerman melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia.
Nama kampung yang mula mendapat perhatian meluas di media-media sosial, secara tidak langsung membawa kepada sejarah asal usul nama Parit Jerman yang ada kaitan dengan askar dari Jerman suatu masa dahulu.
Kesan peninggalan sejarah seperti batu bata dan tangga batu yang dipercayai penduduk tempatan terutamanya generasi tua peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua, masih utuh berdiri.
Biarpun tiada sebarang kajian sejarah dilakukan, bagi kebanyakan penduduk kampung di sini, mereka percaya adanya kehadiran askar Jerman di situ.
Lokman Talib, 82, berkata, berdasarkan cerita yang disampaikan generasi terdahulu, sekumpulan tentera Jerman telah datang ke situ untuk mengusahakan kegiatan perdagangan.

Lebih 50 tangga batu
Katanya, kewujudan beberapa tangga batu di kawasan Sungai Peradin mengukuhkan lagi cerita tersebut.
“Tangga batu di sini dapat dilihat ketika air sungai surut dan terdapat empat tangga batu di kawasan sekitar Peradin.
“Tangga batu ini dipercayai menjadi bukti adanya aktiviti perdagangan dijalankan di sini, kerana kedudukan Sungai Peradin berhadapan dengan Singapura,” katanya.
Ketiadaan jalan darat ketika itu memungkinkan pelabuhan di Sungai Peradin digunakan bagi tujuan membawa hasil nanas dan kelapa ke Singapura.
“Dahulu tanaman nanas dan kelapa merupakan hasil utama ekonomi penduduk di sini,” katanya.
Jelasnya, sekiranya air Sungai Peradin surut terdapat banyak tangga batu yang boleh dilihat dengan jelas.
“Lebih banyak tangga batu dapat dilihat ketika air surut, mungkin bilangan 50 atau lebih.
“Keadaan air sungai yang semakin tinggi, menyukarkan untuk melihat bilangan sebenar tangga batu,” katanya.

Pernah jadi pelabuhan
Menurut Lokman, Allahyarham ibunya sempat menceritakan kegemilangan Sungai Peradin sebagai pelabuhan bagi laluan kapal ke Singapura.
“Arwah ibu, Kenik Sunang perlu menaiki kapal bernama 'Stella' untuk ke Singapura sekitar 1940.
“Zaman dahulu tiada jalan seperti sekarang, hanya jalan sungai dan laut menjadi nadi perhubungan penduduk,” katanya.
Jelasnya, penggunaan perkataan Selat dan Temasik digunakan penduduk zaman dahulu yang menggunakan pelabuhan di Sungai Peradin.
“Jika hendak ke Johor, mereka akan cakap mahu ke Selat dan Singapura masih digelar Temasik ketika itu.
“Kedudukan Sungai Peradin yang berdekatan dengan Temasik menjadikannya lokasi strategik bagi kapal-kapal dagang untuk berlabuh,” katanya.

Tempat penyimpanan harta karun
Lokman turut menunjukkan sebuah binaan yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan harta di Sungai Belokok.
“Binaan batu yang berbentuk 'H' dengan setiap satunya mempunyai lubang besar, dipercayai digunakan untuk penyimpanan harta.
“Jika diamati, kedudukannya yang terletak di tengah-tengah sungai tidak mungkin dibina oleh orang biasa," katanya.
Menurutnya, bentuk binaan batu 'H' berkenaan masih lagi misteri namun seorang jurutera pernah menyatakan binaan seperti itu hanya terdapat ketika zaman perang.
Justeru, dia amat berharap agar ada mana-mana persatuan sejarah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan kajian mengenai kehadiran orang Jerman di situ.
“Sayang sekiranya sejarah penting seumpama ini dibiarkan begitu sahaja,” katanya
.