REMAJA awal milenia pasti tidak akan melupakan Avril Lavigne. Lagu Complicated sangat popular pada waktu itu membuatkan Avril menjadi fenomena di seluruh dunia, sekali gus mendapat jolokan puteri punk rock.
Bakat penyanyi yang lahir di Kanada itu dikesan selepas memenangi  pertandingan nyanyian pada tahun 1999.
Selain mendapat ganjaran wang,  dia diberi peluang menyanyi bersama penyanyi popular, Shania Twain.
Dia sempat memberitahu Shania yang dia mahu menjadi penyanyi popular. Shania kagum dengan semangat Avril yang ketika itu baru berusia 15 tahun.
Beberapa bulan selepas persembahan, Cliff Fabri, seorang pengurus artis telah mengesan bakat Avril semasa menyanyi di sebuah kelab.
Cliff merakam persembahan Avril lantas menghantar pita rakaman itu kepada beberapa syarikat rakaman. Kemudian, Avril disunting oleh sebuah syarikat  yang membawanya ke Amerika Syarikat (AS) bagi mencipta nama di sana.
Pun begitu, kebanyakan lagu dihasilkan tidak sesuai dengan suara serta imej Avril ketika itu.
Tidak mahu impiannya terkubur begitu sahaja, dia bersama band yang digelar The Matrix mencipta lagu Complicated pada Mei 2001.
Bermula dari situ, pasukan Avril fokus menghasilkan lagu yang sesuai dengannya. Setelah  beberapa bulan, akhirnya  album debut Let Go, siap pada Januari 2002 dan mendapat sambutan yang cukup baik hingga berjaya dijual di AS sebanyak lebih enam juta unit
.Lebih mengagumkan lagi, tiga lagu daripada album itu, Complicated, Sk8ter Boi dan I’m With You menduduki 10 lagu paling popular dalam carta Billboard pada 2002, sekali gus menjadikan Avril mencipta sejarah sebagai artis kedua yang memiliki lebih daripada satu lagu dalam kedudukan 10 lagu popular.
Penghargaan demi penghargaan terus digapai penyanyi tersebut antaranya Kesatuan Rakaman Muzik Kanada memberikan 'Sijil Berlian' kerana albumnya berjaya dijual lebih sejuta unit di negara tersebut
Walaupun hampir dua dekad di dalam industri, bintang Avril tampak tidak pudar. Tidak mahu duduk selesa, dia turut mendalami bidang perniagaan dengan melancarkan produk pakaian di bawah label Abbey Dawn.