KUALA NERANG - Tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah penoreh dengan memasukkan bendasing ke dalam getah sekerap untuk mengejar keuntungan dengan cara mudah, sudah lama berlaku.
Taktik itu dilakukan agar timbangan getah sekerap menjadi lebih berat sekali gus memberi pulangan lumayan kepada penoreh, namun tanpa disedari tindakan tersebut memberi kesan buruk kepada industri getah negara yang merupakan antara pengeluar getah utama di dunia.
Ketua Unit Dasar Pelesenan dan Permit Bahagian Pelesenan, Penguatkuasaan dan Khidmat Sokongan Lembaga Getah, Kameruzaman Ab Rahman berkata, tindakan penoreh itu memberi kesan buruk kepada negara.
"Mereka hanya lihat keuntungan tanpa menyedari mereka juga akan menerima kesan. Banyak kes berlaku apabila beribu tan getah terpaksa dihantar pulang kerana tercemar dengan bendasing.
"Ini menyebabkan negara pengimport hilang kepercayaan kerana getah kita tidak berkualiti, sekali gus menjejaskan pengeluaran getah negara dan menyebabkan harga tidak stabil,” katanya.
Menurut Kameruzaman, antara bendasing sering dimasukkan ke dalam getah sekerap ialah tanah, pasir, tali, bahan kayu dan bateri.
Katanya, tindakan seumpama itu boleh dikenakan tindakan dan jika sabit kesalahan, penoreh boleh dikompaun tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.
Senarai hitam jika dikesan
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputra, Syed Ibrahim Syed Omar berkata, pembeli getah sekerap sukar mengesan pihak yang melakukan tindakan seumpama itu kerana ia akan dimasukkan ke dalam guni bersama getah sekerap berkualiti.
“Selepas proses jual beli, mereka akan letak getah sekerap itu di lantai lori dan menambak dengan getah berkualiti supaya pembeli tidak dapat kesan. Taktik itu menyebabkan kualiti getah sekerap semakin merosot hingga pembeli terpaksa menanggung rugi puluhan ribu ringgit kerana pihak pengilang  melakukan pemotongan harga yang tinggi.
“Oleh itu pembeli perlu berhati-hati ketika membeli getah. Nama penoreh yang dikesan melakukan taktik itu akan disenaraihitamkan. Kami terpaksa berhati-hati jika penoreh itu datang lagi dan akan melakukan pemotongan tinggi walaupun keseluruhan getah sekerapnya berkualiti,” katanya.
Justeru, kata Syed Ibrahim, penoreh dinasihatkan agar mengamalkan budaya kerja yang baik dan amanah kerana mampu menambah pendapatan mereka.
"Walaupun berlaku kenaikan harga getah dan penoreh mementingkan kualiti, kita akan melakukan pemotongan harga yang rendah, sesuai dengan sistem Kandungan Getah Kering (DRC). Ini menyebabkan hasil pengeluaran setiap penoreh lebih terjamin dan pendapatan mereka dapat dipertingkatkan," katanya.
Letak bendasing agar cepat kering
Menurut penoreh, Mahmad Pas Mad Arshad, 57, dari Kampung Lubuk Perung, ramai penoreh mengamalkan taktik seperti itu sejak sekian lama.
Katanya, penoreh beranggapan tindakan memasukkan bendasing ke dalam getah sekerap boleh menyebabkan susu getah cepat kering.
“Penoreh bimbang hujan akan merosakkan susu getah mereka, sebab itu mereka memasukkan bendasing ke dalam getah sekerap terutama serpihan kulit kayu getah.
“Bagaimanapun, selepas 30 tahun menoreh getah, saya mendapati tindakan itu langsung tidak memberi kesan kepada susu getah. Sebab itu saya meninggalkan teknik torehan seperti itu dan mengharapkan getah sekerap asli tanpa bendasing,” katanya.
Mahmad Pas tidak menafikan ramai penoreh memasukkan bendasing ke dalam susu getah masing-masing agar timbangan lebih berat.
“Tindakan itu bukan sahaja menjejaskan pengeluaran getah negara, bahkan haram di sisi agama kerana mencampurkan bendasing untuk beratkan timbangan. Lebih menyedihkan jika hasil yang kita peroleh itu diberikan kepada keluarga,” katanya.