Thursday, December 8, 2016

"Tiada Putik-Putik Cinta Saya Dan Awi Rafael" - Kaka Azraff



Kaka Azraff menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan cinta dengan Awi Rafael seperti diperkatakan sesetengah pihak. 
KUALA LUMPUR: Pelantun lagu Bukan Hal Aku, Kaka Azraff menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan penyanyi Awi Rafael seperti diperkatakan baru-baru ini.

Kaka, 27, berkata, keakraban di antara mereka telah disalah erti oleh sesetengah pihak disebabkan penglibatan mereka sebagai pasangan duet dalam program terbaharu terbitan Astro iaitu Duo Star.

"Hubungan di antara kami tidak melibatkan soal hati dan perasaan dan apa yang diperkatakan sebelum ini tentang kami hanyalah salah faham.

"Apabila berkaitan dengan kerja saya seorang profesional dan tidak pandai mencampur-adukkan dengan perihal peribadi.

"Tiada putik-putik cinta dan hubungan kami hanyalah sekadar rakan biasa sahaja," katanya.

Kaka ditemui pada sidang media memperkenalkan program Duo Star di Bangsar, di sini, Isnin.

Pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu berkata demikian sebagai menjawab gosip kononnya dia kini sedang bercinta dengan Awi apabila mereka dikatakan sering dilihat menghabiskan masa bersama.

Kaka dan Awi mempunyai keserasian sebagai pasangan duo.
Malah peminat kedua-dua penyanyi berkenaan menerima baik berita tersebut sehingga mewujudkan hastag #kakaWi di Instagram.

Dalam pada itu, Kaka tidak menafikan dia selesa berkawan dengan Awi kerana merasakan mereka mempunyai pemikiran dan pandangan sama dalam pelbagai hal.

Kata Kaka lagi, gandingan dalam Duo Star juga mempunyai keserasian selain membawa objektif dan misi sama menerusi pertandingan itu.

"Awi pelawa saya menjadi pasangan duetnya dalam Duo Star dan selepas mengenalinya secara dekat saya dapati kami mempunyai keserasian yang cukup baik.

"Malah kami membawa objektif dan misi sama dalam pertandingan ini iaitu ingin mengekspresi sisi lain kami sebagai penghibur.

"Saya selesa berkawan dengannya dan berharap peminat juga akan menyukai gandingan kami itu," ujarnya.

Sementara itu, Kaka berkata, pertandingan itu adalah cabaran kepadanya kerana sebelum ini dia tidak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi.
Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember ini di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Bagaimanapun perkara itu dijadikan sebagai satu cara dia memperbaiki diri sebagai penyanyi selain menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Awi sebagai menakjubkan.

"Sebelum ini saya hanya berkolaborasi bersama penyanyi rap dalam lagu sahaja dan bukannya betul-betul berduet.

"Jadi menerusi Duo Star ini adalah pengalaman baharu buat saya tetapi pada masa sama ia menyeronokkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: