MARANG - Hadiah wang tunai lumayan berjumlah RM25,000 ditawarkan kepada juara sempena Karnival Memancing Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Pengkalan Berangan, esok.
Pertandingan bakal berlangsung di Kolam Wahee Ngail di Kubu itu turut menyediakan 20 hadiah cabutan bertuah berupa hamper dan 500 topi percuma kepada peserta mendaftar awal bermula jam 11 pagi pada hari pertandingan.
Timbalan Pengerusi KRT Pengkalan Berangan, Mazlan Muhamad, 45, berkata, juara akan membawa pulang RM25,000, pemenang kedua menerima RM5,000, ketiga akan mendapat RM1,000, keempat RM500 dan kelima RM300 serta keenam RM250.
“Penganjur turut menyediakan hadiah RM250 setiap satu bagi pemenang di tempat ketujuh hingga ke-10 manakala tempat ke -11 hingga 50 sebanyak RM200, bagi memberi peluang lebih ramai kaki pancing memenangi hadiah tunai,” katanya, semalam.
Menurutnya, pendaftaran boleh dibuat di kaunter pendaftaran bermula jam 11 pagi pada Jumaat (esok) manakala empat kolam ikan yang terdapat di Kolam Wahee Ngail di Kubu mampu menampung kehadiran hampir 2,000 kaki pancing.
“Setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM100 manakala pertandingan Jumaat ini dijadualkan bermula jam 3.30 petang dan berakhir jam 6.30 petang.
"Hadiah juara berjumlah RM25,000 ini merupakan hadiah terbesar tahun ini,” katanya.