MAHU meninggalkan jauh kontroversi yang pernah dilaluinya sepanjang menyertai program Gegar Vaganza 3 (GV3) yang baru melabuhkan tirai minggu lalu, penyanyi Nora Ariffin mengakui kini sedang sibuk merencana kerjaya seninya.
Menurut Nora yang cukup dikenali menerusi lagu Di Persimpangan Dilema, dia kini sedang  mengumpul material untuk menghasilkan album tidak lama lagi.
“Sebenarnya dah lama saya mahu tampil dengan album baru, namun mungkin kerana masa dan keadaan tak begitu sesuai menyebabkan hasrat itu tertangguh seketika.
“Bagaimanapun penyertaan dalam GV3 kembali mengingatkan peminat terhadap kerjaya nyanyian saya sebelum ini. Inilah masa terbaik untuk tampil dengan album baru,” katanya.
Album yang dijangka menemui peminat pada awal tahun hadapan ini dianggap cukup istimewa kerana bakal menampilkan kolaborasi Nora dan anak-anak selain rakan terdekatnya.
“Saya masih mahu menyanyi selagi ada peluang dan memberi manfaat kepada orang lain.
“Jadi untuk album terbaru ini, konsep dan kandungannya lebih terarah untuk kebaikan pendengar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nora juga sedang rancak menguruskan perniagaannya menerusi syarikat Hud Hud Media yang menerbitkan siri animasi Islamik popular, Ummi… Ceritalah Pada Kami.
“Selama ini saya menumpukan perhatian kepada perniagaan yang diusahakan bersama suami dan animasi Ummi ini adalah antara produk istimewa terbitan syarikat kami.
“Alhamdulillah, selepas siri ini mula diterima ramai, kami kemudiannya tampil dengan beberapa projek susulan seperti album Voice of Ummi, cenderamata, gajet dan terbaru komik bersiri yang  diterbitkan dengan kerjasama Prima Kids, Grup Buku Karangkraf,” jelasnya penuh semangat.
Pertahan prinsip
Mengimbas penglibatannya dalam bidang penerbitan, program berkonsepkan Islamik ini, kata Nora, segala-galanya bermula selepas dia berhijrah beberapa tahun dahulu.
“Selepas berhijrah, saya mula terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh membawa manfaat di luar bidang nyanyian kerana mahu menyumbang kepada masyarakat menerusi bakat yang ada selain nyanyian.
“Jadi saya gunakan minat dalam bidang penulisan dan mula berjinak-jinak menulis skrip siri TV. Dari situlah idea untuk terbitkan siri animasi berkonsep Islamik ini muncul,” imbasnya.
Bagaimanapun, kata Nora, kejayaan itu tidak diperoleh tanpa berdepan pelbagai cabaran, namun dia tetap berusaha bagi memastikan program hasil cetusan ideanya berjaya diterbitkan.
“Di atas kertas kita nampak semuanya mudah, namun kenyataannya, apabila cuba merealisasikannya, pelbagai cabaran perlu ditempuhi apatah lagi apabila ada pihak yang skeptikal dengan  konsep Islamik yang cuba kita tampilkan atas sebab-sebab tertentu.
“Saya pernah turun naik beberapa stesen TV untuk menjual program ini, tapi ditolak kerana pengisiannya dikatakan ‘terlalu baik’ hingga ada yang minta saya ubah beberapa bahagian supaya nampak lebih menyeronokkan.
“Begitupun, saya tak akan gadaikan prinsip semata-mata kerana itu, malah ia menjadi motivasi yang tinggi buat saya, untuk melakukan sesuatu kebaikan memang bukan mudah dan kita tak boleh berputus asa,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran Komik Bersiri Ummi baru-baru ini.
Keluarga tetap jadi keutamaan
Meskipun sibuk dengan aktiviti seni dan urusan perniagaan, isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini sentiasa memastikan masa bersama keluarga dan anak-anak tidak diabaikan.
“Alhamdulillah, anak-anak dah besar dan mereka mampu menguruskan diri sendiri, namun sebagai ibu saya tetap mahu pastikan segala keperluan mereka terjaga.
“Ketika terlibat dengan GV3, saya kurang bersama mereka  malah pulang ke rumah dalam keadaan penat," imbas Nora.
Katanya, anak-anak merindui masa bersama dan meluahkan rasa gembira apabila ibu mereka tersingkir dari program itu.  
Tambah Nora lagi, dia sebenarnya bertuah kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang cukup memahami.
“Suami dan anak-anak selalu menyokong  dan ini memberi bersemangat untuk meneruskan apa yang telah saya lakukan.
“Jadi, biar sesibuk mana pun dengan kerja, tanggungjawab saya kepada keluarga tetap menjadi keutamaan,” ujar ibu kepada empat anak ini.