TANJUNG GEMOK – Kenaikan harga santan tidak dapat dielakkan dalam tempoh terdekat ini sekiranya harga kelapa meningkat melebihi RM1.50 sekilogram.
Seorang peniaga santan dari Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar, 53, berkata, setakat ini dia masih menjual santan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran bergantung pada jumlah tempahan.
Menurutnya, bekalan kelapa diperoleh daripada penduduk setempat yang menjualnya dengan harga rendah atau harga ‘kawan-kawan’.
“Pelanggan hanya terdiri daripada penduduk setempat dan saya tidak menjualnya dengan harga mahal. Sebelum ini saya berniaga di kedai, tapi lepas diarahkan keluar oleh pemiliknya, saya jual santan secara sambilan di rumah. Itu pun sebab orang-orang kampung tahu saya pernah jual santan dan mereka tetap cari saya.
“Sebab saya dapat bekalan dengan harga sedikit rendah, jadi setakat ini masih boleh mengekalkan harga runcit santan biasa pada harga RM5.50 sekilogram. Manakala santan pekat sekitar RM10.00 sekilogram,” katanya.
Tambahnya, proses mencari kelapa dan membuat santan hanya dilakukan apabila ada permintaan, disebabkan itu dia tidak menyimpan banyak stok santan untuk dijual kepada pelanggan yang datang secara tiba-tiba.
“Ada penduduk yang tempah untuk kenduri, ada untuk makan sendiri. Bagi saya, dengan menjual pada harga lebih rendah berbanding di pasaran dapat membantu penduduk,” katanya.
Noor Azhar bagaimanapun tidak menolak akan menjualnya mengikut harga pasaran sekiranya harga bekalan kelapa yang diperolehnya lebih tinggi pada tahun depan.