GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kenaikan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang 2016 sebanyak dua kali ganda kepada semua sekolah di negeri ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kenaikan itu dibuat hasil daripada urus tadbir CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) yang diamalkan kerajaan negeri.
Katanya, kadar bayaran biasiswa berkenaan telah dinaikkan kepada RM600 untuk pelajar tingkatan 1 hingga 3 dan RM840 bagi pelajar tingkatan 4 dan 5.
Sebelum 2008, biasiswa berkenaan hanya berjumlah RM240 (tingkatan 1 hingga 3) dan RM360 (tingkatan 4 dan 5). Namun, ia bertambah lebih dua kali ganda selepas Pulau Pinang dipimpin oleh Pakatan Harapan.
Guan Eng berkata, bilangan penerima Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang dari tahun 2012 hingga 2016 seramai 4,384 pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM 2.78 juta.
“Saya harap ia dapat menyuntik semangat kepada mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selain dapat meringankan beban keluarga.
“Ia juga diharap dapat membantu mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar. Sumbangan yang disampaikan ini adalah satu dividen ‘anti-rasuah’ dan hasil keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Lembaga Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan di bawah Enakmen Kumpulan Wang Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang 1960 dengan tujuan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negeri ini.
Ia dikendalikan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang.