TANAH MERAH - Dua beradik keturunan Iban berusia 11 dan 12 tahun menarik perhatian ramai apabila turut serta dalam program Khatan Perdana anjuran Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, hari ini.
Stephen Lipe Khor dan adiknya, Patrick Lipe Khor antara 80 peserta program tersebut yang menjadi acara tahunan hospital itu setiap kali cuti persekolahan akhir tahun.
Bapa kanak-kanak terbabit, Stephen Gasah Damek, 56, berkata, amalan berkhatan dalam keluarganya bukan sesuatu yang pelik kerana sudah menjadi adat tradisi mereka sejak dahulu.
"Kalau ikutkan adat tradisi masyarakat Iban sejak turun temurun, memang kaum lelaki kami kena bersunat (berkhatan).
"Malahan di kampung saya di Lundu, Sarawak, ada penduduk Iban yang buat majlis berkhatan secara besar-besaran," katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.
Stephen yang ditemani isteri, Kor Kim Sian, 47, memberitahu, selain Stanley dan Patrick, anak ketiganya, Kelvin Khor yang kini berusia 19 tahun juga berkhatan di HTM.
"Bagi Stanley dan Patrick, mereka tidak ada masalah kerana kami sudah maklumkan mereka akan bersunat sejak tahun lalu," katanya yang juga pesara tentera.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 2002 kini menetap di Taman Jintan, dekat Chekok, Pasir Mas.