Thursday, March 19, 2015

Sensasi bintang YouTube


BINTANG YouTube yang popular menerusi bakat seni masing-masing. (Dari kiri) Jin Lim, Jun Sung-ahn, Justin, Jason dan Dan Matthews.


Fenomena kelahiran bintang daripada YouTube sudah berlaku kepada beberapa bintang seperti Najwa Latif, Justin Bieber, Zee Avi dan Greyson Chance. Bermula sekadar suka-suka, kini mereka sudah tersohor dan diangkat sebagai selebriti.
Itu impak YouTube terhadap bintang popular berkenaan, tetapi nama-nama seperti JRod Twins, DanakaDan, Jun Sung-ahn dan JinnyBoy mungkin masih asing dalam atmosfera hiburan arus perdana. Belum dipuja atau diagungkan seperti bintang terkemuka K-Pop, Hollywood atau Bollywood yang saban waktu menjadi buruan media, namun pengaruh JRod Twins, DanakaDan, Jun Sung-ahn atau JinnyBoy, sudah mula memberi impak kepada pengguna YouTube.
Mereka mencetuskan sensasi bersandarkan bakat seni nyanyian, muzik dan filem yang mengalir dalam diri. Bermula sebagai hobi, kini YouTube bukan sahaja saluran untuk mempertontonkan bakat tetapi juga asas kepada kerjaya mereka hari ini.
Meskipun tidak memiliki ratusan ribu pengikut di saluran YouTube masing-masing, namun populariti mereka setanding selebriti yang mempunyai jutaan pengikut di Instagram.
Ditemui pada sidang akhbar program jelajah Reach Out Convention & Celebration 2015 di Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka berkongsi pengalaman tentang bakat seni dan kemahiran yang dimiliki dengan belia tempatan dalam program anjuran stesen radio iM4U itu.
Jin minat bikin filem
JinnyboyTV merupakan antara saluran YouTube paling popular buat pengguna laman perkongsian video tersebut di Malaysia. Diasaskan oleh Jin Lim, 30, yang juga penyampai radio Hitz FM, popularitinya hadir dalam situasi yang tidak disengajakan.
Bermula dengan hanya berkongsi video temu bual bersama artis terkenal untuk tatapan pendengar radio berkenaan, secara tidak langsung Jin telah mengumpul peminat dan tanpa disedari angka itu semakin bertambah saban hari.
“Tujuan asal saya membuka saluran di YouTube menggunakan nama JinnyboyTV untuk berkongsi video temu bual dengan artis terkenal bersama pendengar radio Hitz fm. Kemudian, buat pertama kalinya saya membikin filem pendek pertama berjudul Ah Wing - Malaysia’s Number 1 Salesman untuk suka-suka.
“Saya tidak sangka orang ramai menyukai filem pendek tersebut. Sejak daripada itu, saya tidak pernah berhenti untuk membikin filem bercerita tentang kehidupan masyarakat di Malaysia,” katanya yang mula aktif di YouTube sejak tahun 2012.
Tanpa YouTube, Jin mengakui, berkemungkinan besar dia tidak akan popular seperti hari ini.
“Mungkin terdapat medium perkongsian video lain selain YouTube, tetapi saya tidak pasti adakah prosesnya semudah YouTube? Saya mungkin tidak membikin filem pendek jika YouTube tidak wujud,” balasnya yang juga popular di Australia, Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) khususnya di Los Angeles.

PASANGAN kembar, Jason (kiri) dan Justin tidak sangka dapat mengumpul ramai peminat dengan menyanyikan lagu saduran penyanyi terkenal.


Bercakap tentang masa depannya, Jin berkata saluran JinnyboyTV akan menampilkan siri animasi yang mencerminkan suasana kehidupan di Malaysia.
“Setiap filem pendek atau video yang saya hasilkan pasti menyelitkan tentang Malaysia. Sama seperti siri animasi yang akan menemui peminat tidak lama lagi. Bagi saya siri animasi lebih mudah menarik minat, bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga antarabangsa,” ujarnya yang mempunyai 504,270 pengikut tetap di saluran YouTube miliknya.
Lagu saduran popularkan JRod Twins
Pasangan adik-beradik kembar, Jason dan Justin Rodjanapanyakul, 24, popular di YouTube menerusi saluran mereka yang diberi nama JRod Twins. Mempunyai 24,102 jumlah pengikut, pasangan kembar yang berasal dari Seattle, AS itu popular dengan hanya menyanyikan lagu saduran penyanyi popular.
Kata mereka, bermula sekadar suka-suka, bagaimanapun selepas menerima respons positif daripada orang ramai, mereka mula mengambil serius setiap kali memuat naik video terbaharu di YouTube.
“Kami bermula di YouTube sekitar lima tahun lalu dan hanya serius sejak tiga tahun kebelakangan ini. Waktu itu, belum ada pasangan kembar menyanyi bersama, jadi saya fikir sebelum orang lain buat, lebih baik kami muncul sebagai pasangan penyanyi kembar terlebih dahulu.
“Saya tidak sangka video yang dimuat naik sekadar hobi telah berjaya mengumpul peminat yang ramai. Akhirnya, menyanyi di YouTube menjadi kerjaya utama kami selain membikin video menarik lain di akaun masing-masing,” kata Justin.
Tambah Jason pula, dia tidak menyangka populariti di YouTube telah membawa mereka ke serata di dunia termasuk Malaysia.
“Walaupun sekadar menyanyi lagu saduran penyanyi lain, kami pastikan lagu tersebut dinyanyikan mengikut acuan sendiri. Maknanya, ia kedengaran seperti lagu asal kami sendiri,” kata Jason.
Demi mengembangkan kerjaya seni, Jason dan Justin bakal berpindah ke Los Angeles tidak lama lagi untuk tinggal berdekatan dengan bintang YouTube yang lain.
“Kami berpindah untuk mengembangkan kerjaya seni dan akan pertimbangkan andai menerima tawaran daripada mana-mana label rakaman. Namun, setakat hari ini kami lebih selesa bergerak sendiri.
“Bukan berlagak bagus, tetapi jika bergerak sendiri kami bebas mengikut kemahuan hati dan melakukan apa yang kami minat tanpa paksaan daripada pihak lain,” ujar Jason.
Jun Sung-ahn pemain biola popular
Jun Sung-ahn, 22, pemuda yang dilahirkan di Korea Selatan tetapi kini menetap di Illinois, Chicago, AS mencipta sensasi di YouTube hanya dengan gesekan biolanya.
Pelajar jurusan perfileman di Universiti Northwestern, Chicago itu memiliki seramai 562, 920 pengikut di saluran miliknya menggunakan nama JunCurryAhn.
Sung-ahn belajar bermain biola sejak berusia 10 tahun. Pada mulanya dia mengguna YouTube sebagai saluran untuk berkongsi bakat dan minatnya terhadap muzik bersama pengguna internet yang lain.

JINNYBOYTV, antara saluran YouTube yang cukup sensasi milik anak Malaysia yang terkenal di beberapa buah negara termasuk AS, Australia dan Thailand.


“Apabila saya masuk ke universiti, saya tidak ada masa untuk berlatih bermain biola kerana sibuk dengan kuliah. Saya berasa cukup rugi kerana sebelum ini, saya telah belajar dan berlatih bermain biola selama lima jam sehari. Bayangkan perasaan saya apabila terpaksa melupakan semua itu.
“Sebab itu, saya memilih YouTube sebagai saluran untuk menunjukkan bakat. Sekurang-kurangnya, saya ada alasan setiap hari untuk bermain biola,” katanya.
Walaupun dipersendakan rakannya sewaktu mula-mula memuat naik video bermain biola di YouTube, kini, Sung-ahn boleh tersenyum lebar kerana bakatnya bukan sahaja diakui oleh peminat tetapi juga industri muzik K-Pop.
“Saya pernah terlibat dalam program muzik popular Korea Selatan iaitu M! Countdown Los Angeles Special yang berlangsung tahun lalu. Pernah juga saya diundang untuk program yang sama di Jepun,” tuturnya.
Sung-ahn yang masih belum membuat keputusan sama ada hendak menetap di Korea Selatan atau Los Angeles itu menjelaskan, dia tidak mungkin aktif bermain biola andai YouTube tidak wujud.
“Jika YouTube tidak ada, mungkin saya sudah melupakan minat terhadap biola. Saya tidak sangka dikenali oleh orang ramai dan diundang mengadakan persembahan ke luar negara kerana YouTube,” bicaranya yang bercita-cita menjadi seorang pengarah filem pada masa akan datang.
DanakaDan bertemu keluarga kandung
Penyanyi rap DanakaDan atau nama sebenarnya Dan Matthews, 30, yang berasal dari Los Angeles, AS, pula mencipta sensasi luar biasa bukan sahaja menerusi muzik tetapi juga kehidupan peribadinya.
Walaupun Dan hanya memiliki jumlah pengikut seramai 11,447 orang sahaja tetapi dia telah menyentuh hati banyak pihak dengan kisah sedihnya. Dan yang berasal dari Korea Selatan menjadi anak angkat kepada pasangan suami isteri di Camarillo, California sejak berusia lapan bulan.
Pada tahun 2013, dia berusaha menjejaki ibu bapa kandungnya di Korea Selatan. Merakam perjalanannya ke Korea Selatan dalam bentuk dokumentari menjadikan Dan terkenal dalam sekelip mata.
Dokumentari yang telah ditonton oleh 253,556 orang sejak ia dimuat naik setahun lalu di YouTube, telah membuka mata banyak pihak tentang sistem pengambilan anak angkat dari Korea Selatan ke luar negara.
“Meskipun saya dikenali sebagai penyanyi rap di YouTube, tetapi perkara yang paling memberi kesan ialah rakaman dokumentari perjalanan mencari keluarga kandung di Korea Selatan.
“Selepas 28 tahun, saya bertemu semula dengan ibu bapa termasuk abang kembar. Sebenarnya saya bukan ingin mencari keuntungan atau populariti, sebaliknya berkongsi kisah peribadi supaya memberi inspirasi kepada orang lain,” tuturnya.
Bercakap tentang kerjaya seninya, YouTube telah mengumpulkan pengaruh yang bukan sedikit terhadap Dan. Keyakinan penyokong di YouTube telah merealisasikan penerbitan album sulungnya yang berjudul Stuntman pada tahun lalu.
“Pertemuan semula dengan keluarga kandung merupakan inspirasi utama untuk kebanyakan lagu dalam album ini. Tanpa YouTube mungkin saya tidak dikenali peminat,” tuturnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: