|
Tidak dinafikan laman perkongsian video YouTube merupakan medium individu berbakat mempersembahkan kemampuan seni yang dimiliki. Ada antara mereka cukup bertuah apabila video yang dimuat naik dalam YouTube bukan sahaja menarik perhatian khalayak, tetapi juga syarikat rakaman terkemuka.
Dalam sekelip mata kehidupan normal boleh berubah secara drastik dan menjana peminat di seluruh dunia. Penyanyi Justin Bieber mungkin antara contoh bintang YouTube yang paling berjaya apabila albumnya berjaya terjual sebanyak 15 juta unit di seluruh dunia.
Selain Bieber, penyanyi terkenal lain yang berasal daripada YouTube ialah Charice Pempengco, dan Gamal & Audrey. Penyanyi dari Malaysia, Zee Avi dan Najwa Latif turut menempa nama dari YouTube.
Justin Bieber
Asal: Kanada
Album: My World 2.0 (2010), Under the Mistletoe (2011) dan Believe (2012).
Lagu popular: Baby, One Time, Never Say Never, Somebody To Love dan Boyfriend.
Fakta: Mula popular selepas memuat naik video lagu saduran daripada penyanyi Chris Brown berjudul With You ketika berusia 19 tahun. Bakatnya dikesan oleh penyanyi Usher. Menariknya, dia juga menjadi rebutan penyanyi Justin Timberlake, bagaimanapun, Bieber terlebih dahulu menandatangani kontrak bersama Usher.
Charice Pempengco
Asal: Filipina
Album: My Inspiration (2009), Charice (2010), Infinity (2011) dan Chapter 10 (2013).
Lagu popular: Pyramid, Louder, Am I Telling You, Note To God dan I Have Nothing.
Fakta: Perjalanan kerjaya Charice kelihatan mudah. Dia bukan sahaja muncul dalam pelbagai program terkenal seperti Star King, The Ellen DeGeneres Show, The Paul O’Grady Show dan The Oprah Winfrey Show tetapi turut dibantu ramai orang terkenal seperti Oprah Winfrey, David Foster dan bintang pujaannya, Celine Dion untuk menjadi salah seorang penyanyi yang disegani. Tidak hanya menyanyi, Charice juga berlakon sebagai Sunshine dalam drama bersiri Glee.
Gamal & Audrey
Asal: Indonesia
Album: Gamaliel Audrey Cantika (2012).
Lagu popular: Ingin Putus Saja, Bahagia dan Jangan Parkir.
Fakta: Pasangan adik-beradik, Gamal dan Audrey mula popular selepas memuat naik video menyanyikan sebuah lagu saduran penyanyi terkenal di YouTube pada tahun 2008. Video lagu Telephone nyanyian asal Lady Gaga itu telah meraih sebanyak 870,524 penonton. Setahun selepas itu, penyanyi solo, Cantika tertarik dengan video mereka lalu menawarkan diri untuk menyertai Gamal dan Audrey lalu terbentuk kumpulan Gamaliel Audrey Cantika (GAC). Mereka telah menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Sony Music Indonesia.
Zee Avi
Asal: Malaysia
Album: Zee Avi (2009), Ghostbird (2011) dan Nightlight (2014).
Lagu popular: Poppy, Bitter Heart, Kantoi, Swell Window dan Concrete Wall.
Fakta: Zee Avi merupakan penyanyi kelahiran Sarawak. Dia bukan sahaja berkebolehan menyanyi tetapi boleh mencipta lagu dan bermain gitar dengan baik. Zee Avi mula dikenali apabila memuat naik lagu ciptaannya Poppy di YouTube untuk tontonan rakannya pada tahun 2007. Sejak itu, Zee Avi terus popular. Lagu ciptaannya, Swell Window dan Concrete Wall turut digunakan sebagai lagu runut bunyi dalam drama bersiri popular Amerika Syarikat, Gossip Girl musim kelima.
Najwa Latif
Asal: Malaysia
Album: Najwa Latif (2012).
Lagu popular: Cinta Muka Buku, Kosong, Sahabat, Carta Hati, I Love You, Hilang dan Adamu.
Fakta: Najwa Latif terkenal pada tahun 2011 apabila lagu ciptaannya Cinta Muka Buku berjaya menduduki carta tertinggi stesen radio tempatan. Menariknya lagu itu turut berjaya ke final sebuah program anugerah muzik tempatan. Lagu Untuk Dia nyanyian bersama kumpulan Sleeq menjadi lagu bahasa Melayu paling banyak ditonton iaitu mencecah 13 juta penonton di YouTube. Bukan itu sahaja, lagu Adamu turut menjadi lagu tema drama bersiri Setia Hujung Nyawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: