PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali memberitahu amalannya memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya ketika mengandungkan anak pertamanya, Aaydeen Oumar memberi kesan positif terhadap pembesaran bayi itu selepas ia dilahirkan.
Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 29, berkata, Aaydeen kini gemar mendengar lagu nyanyiannya dan akan berhenti meragam setiap kali dia menyanyikan lagu.
"Satu perkara yang sangat manis ialah Aaydeen cukup gemar mendengar saya menyanyi malah sejak dalam kandungan, dia menemani saya sepanjang masa ketika saya berkerja, menyiapkan lagu-lagu baru di studio.
"Kini, dia kelihatan seperti menghayati lagu saya terutamanya apabila saya ingin menenangkannya. Barangkali, secara rasminya dia merupakan peminat saya yang paling muda," katanya kepada mStar Online.
Aaydeen penyeri hidup Ana dan suami.
Ana yang berkahwin dengan Ahmad Aznaim Abdullah, 33, pada 25 Februari 2012 selamat melahirkan bayi sulung mereka pada 12 Februari lalu.
Dalam pada itu, Ana berkata, sejak bergelar ibu aktiviti hariannya semakin padat dan lebih tertumpu kepada penjagaan anaknya seperti memandikan dan memberikan susu badan sepenuhnya.
Jelas Ana, menerusi cara itu dia percaya ia dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak selain menggalakkan interaksi mereka sekeluarga.
"Perubahan yang paling ketara ialah cara pembahagian masa dan perhatian dan menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami suami-isteri.
"Saya lebih memahami dan menghargai pengorbanan seorang ibu. Setiap hari membawa peluang untuk saya belajar perkara baru tentang 'parenting'," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai namanya dikatakan semakin tenggelam sejak berkahwin, Ana berkata, populariti adalah sesuatu yang di luar kawalannya kerana ia mempunyai pasang surut.
Ana berkahwin dengan Naim pada tahun 2012.
Kata Ana, dia bersyukur sepanjang bergelar anak seni dia berjaya mengelak daripada sebarang kontroversi dan yakin kehadirannya dalam industri masih relevan dan di terima peminat.
"Alhamdulillah, kehadiran saya dalam industri masih lagi relevan dan diterima masyarakat seluruh negara.
"Populariti bagi saya adalah sesuatu yang di luar kawalan individu kerana ada pasang surutnya. Saya lebih cenderung memastikan karya penulisan saya, baik lagu atau buku, bermakna dan tetap diterima peminat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ana berkata, dia kini sedang giat menyiapkan album terbaharunya dari karya novel puisi tulisannya berjudul #24minggu.
Malah kata Ana, dia juga bakal kembali menerima jemputan persembahan pada April ini dan akan mula mempromosikan single terbaharunya kepada peminat.
"Selain album dan single terbaharu saya juga mempunyai beberapa projek istimewa seperti mengendalikan sebuah perniagaan 'online' 'online' bersama keluarga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: