SETIAP hari Ahad, ribuan rakyat Malaysia dan Thailand akan berjalan kaki melepasi pintu sempadan antarabangsa di Wang Kelian untuk membeli-belah di pasar sempadan.
Pasar itu dianggap istimewa bukan sahaja kerana kedudukannya di sempadan antarabangsa yang dikelilingi hutan tetapi rakyat di kedua-dua negara tidak memerlukan dokumen perjalanan bagi melepasi pintu sempadan sama ada untuk ke Wang Kelian atau Wang Prachan.
Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati lawatan mudah ke negara jiran sambil membeli-belah dan bertemu sanak saudara dari negara yang berbeza.
Kebanyakan rakyat Thailand memilih untuk berbelanja di pasar sehari Wang Kelian yang terletak di sebelah Malaysia manakala rakyat Malaysia lebih gemar membeli-belah di pasar sehari Wang Prachan di sebelah Thailand.
Walaupun lokasi itu lebih dikenali sebagai nat atau pekan sehari, ia menjadi lokasi pertemuan keluarga dan sanak saudara yang dipisahkan oleh sempadan antarabangsa bagi menyuburkan silaturahim.
Dohman Salih, 59, adalah antara ribuan pengunjung ke pasar sempadan itu pada setiap hari Ahad. Seperti kebanyakan pengunjung lain, dia memilih waktu pagi untuk berada di situ.
Pekebun yang menetap di daerah Khuandon dalam wilayah Satun itu jarang membeli-belah di situ tetapi kehadiran hanya untuk bersarapan di sebuah warung di Wang Prachan sambil berharap dapat bertemu sanak saudara di Malaysia.
“Saya seronok bertemu adik-beradik dari Malaysia dan kawan-kawan. Kadang-kadang kami sama-sama bersarapan di warung,” katanya ketika ditemui di Wang Prachan.
Dohman tetap selesa bertutur bahasa Melayu sama seperti bahasa pertuturan saudara mara dan rakan-rakan di Perlis walaupun beliau warga Thailand.
Bagi Siti Ruwiyah Zubidi, 45, dari Kangar, dia tidak perlu membuat temu janji untuk bertemu sanak saudaranya di wilayah Satun. Ini kerana, hampir setiap kali berada di pasar itu, terutama di Wang Kelian, dia akan bertemu mereka.
“Cukuplah sekadar bertanya khabar pada pertemuan singkat sambil membeli-belah. Sesekali kami berbincang mengenai keluarga,” kata suri rumah itu.
Selain Wang Kelian, kadang-kadang Siti Ruwiyah bertemu sanak saudara dan rakan-rakan ketika berada di Wang Prachan.
Jika ada temu janji daripada sanak saudara di wilayah selatan Thailand itu, dia turut membawa buah tangan untuk mereka walaupun hanya sesikat pisang.
Peristiwa melucukan pernah berlaku apabila mereka membawa buah tangan yang sama ketika bertemu di pasar sempadan itu.
“Saya bawa pisang awak dari kampung dan depa (mereka) juga hulur pisang awak dari Setoi (Satun),” katanya.
Simbol keakraban
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar mengakui bahawa pasar sempadan berusia lebih 20 tahun itu sangat istimewa kerana turut menjadi tempat pertemuan penduduk dua negara.
“Tidak perlu bersusah payah untuk bergerak lebih jauh ke Setoi (Satun) untuk jumpa adik-beradik. Cukup bila bertemu di sini,” katanya.
Ia menjadi simbol keakraban hubungan antara Perlis dan wilayah Satun apatah lagi dengan kelonggaran pergerakan bebas tanpa dokumen bagi jarak satu kilometer dari garis sempadan.
Tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang negara masing-masing akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang melepasi kawasan melebihi satu kilometer radius dari pos kawalan utama imigresen.
Ini kerana, kawasan operasi pasar sehari itu tidak melebihi satu kilometer dari pintu sempadan.
Suatu ketika dulu, kira-kira 30,000 dan 50,000 penduduk serta pelancong mengunjungi pasar yang terletak dalam kawasan hutan simpan Malaysia dan Thailand itu.
Bagaimanapun, selepas langkah drastik kerajaan menarik balik kelonggaran pergerakan bebas di sempadan pada 1 Februari 2008 atas faktor keselamatan, jumlah pengunjung merosot teruk.
Kegiatan perniagaan di pasar itu kembali bernafas selepas kerajaan mengembalikan kelonggaran pergerakan bebas mulai 5 Disember 2008 pada setiap hari antara pukul 8 pagi dan 7 petang.
Rakyat di kedua-dua negara yang mengguna kemudahan pergerakan bebas itu dikehendaki kembali ke negara masing-masing pada hari yang sama.
Lebih tiga dekad lalu, Wang Kelian adalah sebuah kampung tradisional di utara Perlis yang tidak begitu dikenali. Namun, ketika itu tiada kemudahan jalan raya ke kampung itu.
Penduduk yang hendak keluar dari kampung itu perlu melalui denai dan memasuki sebuah gua yang membentuk terowong semula jadi sepanjang 370 meter untuk ke Kaki Bukit iaitu pekan paling hampir dengan kampung itu.
Orang ramai juga jarang menjengah kampung berusia lebih 250 tahun itu kerana kesukaran perhubungan. Waktu yang paling sesuai untuk berjalan kaki ke kampung itu hanya waktu siang.
Bagaimanapun, Wang Kelian mula dijengah pembangunan selepas sebatang jalan raya berturap menghubungkan pekan Kaki Bukit dan Wang Kelian dibina melalui kawasan berbukit pada awal tahun 1980-an.
Jalan itu kemudiannya bersatu dengan jalan yang dibina di sebelah Thailand dan atas semangat kerjasama negara berjiran, pintu sempadan darat Malaysia-Thailand dibuka di situ sehingga wujudnya pasar sehari berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: