Wednesday, April 11, 2012

Warna hitam diperkaya dengan Pixma Pro-1

PIXMA Pro-1 memiliki 12 warna termasuk lima warna monokrom bagi menghasilkan pelbagai tona hitam.


SAM LEONG sudah terlibat dalam bidang fotografi untuk majlis perkahwinan selama 12 tahun. Dia amat arif mengenai perincian yang perlu ada dalam sekeping foto bagi membangkitkan mood dan perasaan.

Kegembiraan, romantik dan kasih sayang merupakan antara ciri-ciri yang sering dikehendaki pasangan pengantin untuk tatapan sepanjang hayat.

Bagi menjaga kualiti sekeping foto yang dicetak, Sam Leong perlu mendapatkan khidmat cetakan berkualiti di kedai-kedai foto yang memiliki perkhidmatan yang menyokong kehendaknya.

Namun, segalanya berubah dua minggu lalu apabila dia buat kali pertama mencuba mesin pencetak profesional Canon Pixma Pro-1.

Dia merupakan individu pertama di Malaysia yang menggunakannya dan Sam sangat berpuas hati dengan mutu yang ada pada peranti berwarna hitam itu.

“Keistimewaan pencetak ini adalah kemampuannya dalam menghasilkan warna hitam yang jelas sekali gus membangkitkan kesan gambar yang kelihatan hidup,” ujar Sam ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seringkali majlis perkahwinan dikaitkan dengan keceriaan, suasana berwarna-warni dan kemeriahan, tetapi warna hitam juga amat penting bagi Sam kerana beberapa faktor.

Kata lelaki yang berumur 31 tahun itu, warna hitam yang berbeza ton amat diperlukan bagi menghasilkan sekeping foto yang mempunyai kedalaman dan mampu menaikkan tekstur.

Warna hitam juga dapat membezakan antara subjek dan latar belakang dalam sekeping foto selain objek halus seperti corak pada kain layah pengantin dapat dicetak dengan jelas.

“Ciri-ciri orang Asia yang memiliki rambut hitam juga dapat diserlahkan dalam sekeping foto melalui pencetak Canon ini,” luah Sam.

Selain itu, masa yang digunakan untuk pergi ke kedai foto untuk proses mencetak dapat dijimatkan kerana mesin pencetak profesional Pixma Pro-1 mudah dikendalikan dan pantas. Cetakan sekeping gambar hanya mengambil masa selama tiga minit.

Pada majlis memperkenalkan produk tersebut, Sam turut mempamerkan beberapa hasil karya fotonya. Bagi melihat hasil fotografinya, orang ramai boleh melayari laman blog samleongphotography.com.

Sama seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Bahagian Sistem Produk Pelanggan, Donny Ling, mencetak foto yang dirakam memberi kelainan berbanding hanya disimpan di dalam pemacu simpanan data.

“Dengan mencetak gambar, ia lebih dihargai dan pemahaman terhadap kualiti sekeping gambar jadi lebih mendalam,” kata Donny ketika majlis perkenalan Pixma Pro-1.

Tambah Donny, peranti terbaharu itu sejajar dengan komitmen Canon untuk jurugambar profesional mencetak foto sendiri yang menyamai standard studio dan komersial.

Keunikan yang ada pada Pixma Pro-1 adalah imej yang berkualiti tinggi yang mampu dihasilkan melalui 12 jenis warna dan lima warna monokrom pelbagai ton daripada hitam ke putih,

Ia juga dilengkapi Chroma Optimizer (Pengoptimum Kroma) akan meratakan dakwat yang dicetak pada kertas.

Kedua-dua keistimewaan itu menghasilkan gambar yang jitu dan warna hitam pula diperkaya. Ketumpatan warna gelap semakin baik dan imej terhasil mempunyai kesan kedalaman.

Ciri lain adalah sistem Optimum Image Generating (OIG) yang boleh menganalisis warna yang dikehendaki sama seperti pada paparan imej komputer dan menentukan campuran dakwat yang ideal.

OIG beroperasi berdasarkan pada mod cetakan, bahan kertas cetakan dan kualiti imej yang ada. Semua jenis kertas cetakan boleh digunakan dengan saiz maksimum ialah A3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: