Monday, April 30, 2012

Seminar setiausaha meriah

Sebahagian peserta yang menghadiri Seminar Setiausaha anjuran UP&D di Putrajaya, baru-baru ini.

GOLONGAN setiausaha memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej ketua, menjadikan syarikat atau organisasi yang diwakili disegani serta menjadi penghubung syarikat dengan pihak luar selain pengantara jabatan.

Oleh itu, sewajarnya setiausaha memperlengkapkan diri mereka dari segi minda, ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk membolehkan mereka bersaing dan terus maju ke hadapan.

Edisi Ke-11 Seminar Setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan seramai 360 setiausaha di seluruh negara.

Bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya, seminar yang mengetengahkan tema Transformasi Tingkat Prestasi itu merupakan acara tahunan UP&D sejak 2002. Selain di Kuala Lumpur, seminar tersebut juga bakal diadakan di Hotel Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang pada 30 April ini.

Majlis yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu dibahagikan kepada tiga slot dengan menampilkan tiga panel profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Panel untuk sesi pertama seminar iaitu Datuk Siti Nur Bahyah Mahamood telah mengolah dan memulakan pembentangan mantap mengenai tajuk Transformasi Diri Ke Arah Kecemerlangan Organisasi.

Sebagai seorang penceramah berkaliber, Siti Nur Bahyah begitu mudah menangkap perhatian peserta-peserta seminar menerusi ucapan bernas selama dua jam.

Beliau juga memberi gambaran bahawa tugas setiausaha perlu diimbangi dengan tugasan lain terutama perihal keluarga.

Dewan seminar terus gamat apabila panel sesi kedua iaitu Kamal Affendi Hashim memulakan pembentangan mengenai Gangguan Seksual Di Tempat Kerja dan Isu Keselamatan.

Dengan gaya bersahaja disulamkan dengan unsur jenaka, Kamal Affendi bijak menarik perhatian peserta dengan lawak spontan dan pandai berinteraksi dengan peserta-peserta di samping menyampaikan isi pembentangan dengan menjadikan situasi dan realiti sebenar kehidupan.

Kamal memberi gambaran bahawa setiausaha juga tidak terkecuali menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja.

Pengacara majlis untuk seminar ini ialah Roslan Shah dan kehadiran Sohaimi Mior Hassan sebagai artis jemputan menghiburkan para peserta semasa makan tengah hari.

Penceramah lain yang terlibat dengan seminar itu ialah Dr. Mumtaz Begam Abdul Kadir yang membawakan tajuk Kerja Bukan Kerana Pangkat.

Peserta yang bertuah telah membawa pulang hadiah rantai mutiara Rafflesia bernilai RM25,000, baucar bilik percuma di Permaisuri MITC Hotel Melaka, tiket penerbangan ke Jakarta, Indonesia, barangan kecantikan dan kesihatan dan baucar pelangsingan.

Istimewanya seminar itu turut mendapat penajaan dari Galaxy Press, rakan niaga UP&D dari luar negara. Peserta bertuah mendapat hadiah utama percutian ke Hollywood dan empat unit Ipod menjadi rebutan.

Penganjuran seminar kali ini mendapat kerjasama daripada Rafflesia, Poto Travel & Tour Sdn. Bhd., Leesa Formula, Keep Slim, Permaisuri MITC Hotel Melaka, Takaful Ikhlas, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Bank Rakyat, Galaxy Press, SP Smart dan Adabi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: