Monday, April 30, 2012

Jambori MTB cabar kemampuan

CABARAN trek dan laluan termasuk jalanraya, kawasan berbatu, paya dan denai hutan mencabar kemampuan 1,000 peserta yang mengambil bahagian dalam acara yang diadakan buat julung kalinya di Putrajaya.

Acara basikal gunung ini diadakan bermula pukul 7 pagi disertai lebih 1,000 peserta daripada pelbagai persatuan, kelab berbasikal dan individu yang berkayuh dalam empat kategori iaitu kategori terbuka lelaki, wanita, veteran dan junior.

Acara ini dilihat telah berjaya menarik minat para peserta dari seluruh pelusuk tanah air bagi mencuba nasib dan mencipta pengalaman berkayuh sambil berlumba dalam cabaran pelbagai bentuk trek dan laluan termasuk jalan raya, kawasan berbatu, paya dan denai hutan.

Selain peserta tempatan, acara ini turut disertai peserta antarabangsa dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Singapura.

Setiap peserta mula berkayuh dari Taman Wetland ke Taman Botani dan berakhir di Taman Rimba Alam Putrajaya sejauh 30 kilometer.

Menariknya, perjalanan yang ditempuhi setiap peserta mencabar kemampuan peminat sukan basikal dengan 40 peratus perjalanan on-road dan 60 peratus perjalanan off-road.

Sinonim dengan Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya yang dilancarkan baru-baru ini oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen membuktikan yang sukan ini menjadi kegilaan masa kini dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke golongan veteran.

Wakil Pejabat Pelancongan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Rashidah Bibi Mohamed Nawab berkata, PMJ menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap sukan berbasikal di negara ini.

"Selain tujuan promosi tempat-tempat rekreasi dan pelancongan, PMJ diharap dapat menyemai budaya gaya hidup sihat terhadap sukan berbasikal di negara ini.

"Lebih menarik laluan yang disediakan dalam acara ini merupakan trek baru yang direka dan setelah tamat, trek tersebut dibuka kepada orang awam untuk menggunakannya.

"Sebagai perintis acara berbasikal di Putrajaya, pihak penganjur berharap agar masyarakat memberikan sokongan padu dalam menjayakan perlumbaan seperti ini dimasa hadapan dan berhasrat agar aktiviti PMJ dijadikan sebagai acara tahunan yang bakal memberi manfaat kepada semua golongan," katanya.

Pengarah Acaranya, Narimah Samat berkata, acara yang diadakan buat pertama kali ini mendapat sambutan di luar jangkaannya.

"Sebenarnya kami menerima penyertaan hampir 3,000 peserta pada mulanya tetapi pihak penganjur terpaksa mengehadkan penyertaan kepada 1,000 peserta sahaja.

"Bagaimanapun, di masa akan datang bilangan peserta akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah penyertaan yang dibenarkan.

"Selain itu, saya berterima kasih kepada mereka yang telah menyertai dan memeriahkan acara ini," katanya.

Menurut salah seorang peserta, Mohd. Aimen Abas Muhammad Haikai, 13, berkata, acara ini amat seronok disertai.

"Saya rasa seronok menyertai acara seperti ini kerana sambil berkayuh saya berpeluang berkenalan dengan rakan baru yang mempunyai minat yang sama dengan saya," katanya.

Peserta dari Pahang Darul Makmur, Philip Yip, 23, berkata, acara berbasikal banyak diadakan di negara ini tetapi PMJ memberikan cabaran yang berbeza.

"Selain berlumba kami juga berpeluang berkumpul dan berkongsi pendapat mengenai hobi berbasikal.

"Cabaran paling sukar ialah ketika mengatasi halangan berbukit yang memerlukan setiap peserta menguji kemampuan stamina masing-masing," katanya.

Wakil kelab berbasikal RNSAMY Bike, Nor Shahrizal Zainal Abidin, 27, berkata, beliau menghadapi kemalangan ketika cuba untuk memotong peserta di hadapan.

"Permukaan jalan yang tidak rata menyukarkan pergerakan. Trek yang terdapat di Putrajaya tidaklah sesukar mana tetapi ia memberikan cabaran yang pastinya menguji kemampuan dan kebolehan setiap peserta mengawal basikal," katanya.

Peserta wanita dari Arus Racing, Laura Avila Adrian, 22, berkata, beliau mula terlibat dengan aktiviti berbasikal sejak tahun 2003.

"Sejak 2003, saya mula menyertai pelbagai acara tetapi halangan yang terdapat di Putrajaya membuatkan saya seronok lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan cabaran masuk ke dalam air sungai.

"Ia amat menguji kemampuan stamina dan mental saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: