Monday, April 30, 2012

Pelajar cemerlang UPSR, PMR terima insentif

Sabbaruddin Chik (duduk, tengah) bersama pelajar cemerlang selepas majlis Penyampaian Insentif Galakan Pelajar Cemerlang UPSR dan PMR 2011 di Dewan SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PUSAT Tuisyen Maths Clinic baru-baru ini menyampaikan insentif galakan berjumlah RM34,600 kepada 108 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mendapat keputusan cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut tahun lalu.

Menurut Pengurus Sumber Manusia Maths Clinic, Muhammad Shakib Samsudin, pemberian insentif itu merupakan hadiah kepada kumpulan pelajar yang secara konsisten berusaha mencatat keputusan terbaik termasuk markah penuh dalam setiap latihan yang diadakan di kelas.

"Menariknya, keputusan yang diperoleh di kelas dilanjutkan ketika mereka menghadapi peperiksaan. Lantaran itu kami memutuskan untuk memberi insentif mengikut dua kategori," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Insentif Galakan Pelajar Cemerlang UPSR dan PMR 2011 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan hampir 500 tetamu yang terdiri daripada pelajar dan ibu bapa.

Menurut Muhammad Shakib, kategori pertama sebanyak 43 murid UPSR telah dikenal pasti mendapat keputusan penuh 5A dan mereka menerima RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM8,600.

"Pelajar yang mendapat keputusan 8A dalam PMR tahun lalu berjumlah 65 orang diberi insentif berjumlah RM26,000 iaitu sebanyak RM400 seorang," ujarnya.

Jelasnya lagi, insentif yang disampaikan itu diharap dapat mendorong pelajar mengekalkan keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: