Monday, April 30, 2012

Pabila anak jadi beban

MASALAH Puan Salina minggu lalu yang menderita kerana anaknya menagih dadah, menarik perhatian ramai. Antaranya Puan Nori yang juga berhadapan masalah menjaga adiknya seorang penagih selepas kematian ibu mereka.

Nori dalam e-melnya berkongsi kelegaannya sejak menyertai Persatuan Teduhan Kasih dan Pengasih.

"Banyak pertolongan dan informasi boleh kita dapat dengan menyertai Teduhan Kasih. Persatuan ini paling aktif di Melaka, Selangor, Perak, Johor dan Kelantan.

"Saya sudah merasai apa yang Salina lalui, memang tidak ada orang yang mahu dekat dengan keluarga yang terlibat dengan dadah. Hidup kita seolah-olah terpinggir. Hinggakan ada adik-beradik yang berbalah dan memutuskan hubungan kerana masalah ini.

"Tetapi setelah menyertai Teduhan Kasih, saya bertemu keluarga yang sama bermasalah, jadi kami bebas mencurahkan perasaan, tidak ada rasa benci, takut dan sebagainya. Jadi saya cadangkan sesiapa yang menghadapi masalah seperti Salina sertailah Pengasih dan Teduhan Kasih, insya-Allah kita ada jalan mencari ketenangan." Itu cadangan Nori yang kini aktif dengan Teduhan Kasih Sungai Buluh, Selangor.

Sementara itu, Zaid dalam e-melnya bersetuju bukan mudah mencari suami berkualiti pada zaman ini.

"Anak saya berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA, malangnya perangai buruknya tidak pernah berubah. Duit PTPTN yang dia dapat tak pernah cukup dan habis dalam tempoh dua minggu. Saya kena beri dia duit poket paling kurang RM25 sehari untuk tampung belanjanya yang tak pernah cukup atas alasan tinggal di bandar.

"Kami suami isteri kena ikat perut demi anak, tapi masuk semester dua dia nak tangguh pengajian dengan alasan kawannya tertinggal satu semester jadi dia tidak ada kawan untuk berbincang. Anak saya ini cemerlang pada peringkat praijazah dan dapat terus masuk ke peringkat ijazah selepas dua semester sahaja berbanding kawan-kawannya yang lain.

"Puas kami memujuknya tetapi dia tetap berkeras nak tangguh pengajian. Lepas itu dia tangguh lagi pengajian dua kali lagi atas alasan kesihatan. Walaupun saya sentiasa pantau pengajiannya dengan menghubungi pensyarah, penyelaras pusat pengajian dan kaunselor tapi keadaannya tambah teruk. Akhirnya masuk tahun akhir, dia terus tak mahu belajar alasannya tak berminat dengan bidang yang dipilih.

"Katanya dia akan cari pekerjaan dan yakin boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Kami terpaksa yakin dengan keputusannya dan saya berjanji akan sara dia dalam tempoh tiga bulan sehingga dia boleh berdikari. Peringkat awal majikannya puas hati dan beri dia kereta untuk memudahkan pergerakannya. Saya rasa lega sedikit. Tapi lepas dua bulan dia buat perangai balik. Dia berhenti kerja kerana masalah disiplin tidak masuk kerja mengikut jadual.

"Lepas berhenti kerja, dia balik kampung, tapi masalahnya tidur siang dan jaga waktu malam. Lepas dinasihat dia kata nak buat bisnes sendiri. Kami bantu lagi. Tapi kalau perangai suka tidur siang, nak buat bisnes apa? Bila kami tegur, dia mengamuk sampai nak berparang-parang.

"Kalau pinjam kereta kami kadang-kadang hilang sampai dua tiga hari. Sebagai ibu bapa sudah tentu kami bimbang. Dah banyak kali terjadi kalau dia pinjam kereta apabila balik ada saja perkara buruk berlaku. Cermin pecah, dua tayar kena toreh, kereta kemek kiri kanan, kalau tak bagi pinjam dia mengamuk.

"Kami sebenarnya dah tak tahu mana nak letak muka baik dengan saudara mara atau orang kampung. Sebagai pegawai kanan kerajaan, berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat tentunya keadaan ini cukup membebankan saya dan isteri.

"Memang dari dulu lagi kami tahu penglibatannya dengan dadah termasuk menjadi pengedar kecil-kecilan. Tetapi berdasarkan pengamatan dan pertanyaan saya kepada orang yang arif tentang penagihan dadah, boleh dikatakan anak ini saya tidaklah dikategorikan sebagai penagih tegar. Namun begitu hanya baru-baru ini saja saya dapat tahu dia juga adalah seorang penagih minuman keras.

"Antara sumber maklumat yang kami peroleh adalah melalui gambar-gambar yang terdapat dalam album di komputer dan dalam kamera yang dia terlupa padam. Apabila dia balik tinggal bersama kami barulah tembelangnya pecah. Pernah kami jumpa minuman keras disembunyikan di bawah katil, apabila ditanya pelbagai alasan dia beri. Kalau tanya lebih-lebih dia mula nak mengamuk. Kini barulah kami tahu ke mana hilangnya duit PTPTN dan duit poket yang kami beri.

"Satu lagi tabiat buruknya dia tidak bercakap benar. Sudah terlampau banyak keadaan kami dapat tangkap dia bercakap bohong, tapi dia tidak pernah berubah. Kini pada usia 25 tahun saya sudah tidak ada apa-apa harapan terhadap anak lelaki kami ini.

"Saya juga tidak tahu sampai bila kami mesti hadapi masalah ini. Kami sebagai ibu bapa dan anak-anak kami yang lain semakin hari semakin tidak tenteram walaupun duduk di rumah kami sendiri.

"Sama seperti Puan Salina, saya juga harap Allah segera ambil nyawa anak saya ini sebab saya sudah putus asa menjadikannya manusia berguna.

"Terkadang terdetik kenapa saya yang berusaha menjadi manusia baik dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, diberikan seorang anak yang kontra sifatnya, berbanding orang bukan Islam atau kawan saya yang saya tahu tidak pernah melakukan suruhan Allah malah membuat perkara mungkar.

"Saya bersetuju dengan cadangan Puan Salina agar ditubuhkan persatuan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah sebegini. Saya percaya hanya orang yang mengalami masalah seperti kami sahaja yang faham situasi kami maksudkan dan mahu berfikir secara serius bagi mengatasi masalah ini.

"Saya juga harap ada ibu bapa yang berkedudukan tinggi senasib kami, mungkin boleh gunakan rangkaian hubungannya dengan pihak atasan bagi melancarkan perjalanan sebuah persatuan dengan lebih berkesan. Janganlah pinggirkan kami." Itu harapan Zaid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: