Monday, April 30, 2012

Nasi daun pisang dari India

Chef Irizun Ahmad bersama hidangan set nasi daun pisang.

LAZIMNYA, nasi yang dibungkus menggunakan daun pisang pastinya akan membangkitkan selera sesiapa sahaja untuk menikmatinya.

Kebiasaannya juga, nasi yang dinikmati beralaskan daun pisang merupakan makanan tradisi masyarakat India dan lebih dikenali sebagai nasi kandar.

Untuk itu, bagi mengembalikan kegemilangan hidangan yang dikatakan berasal dari selatan India itu, Hotel Vistana sedang mengadakan promosi Nasi Daun Pisang.

Promosi tersebut yang akan diadakan sehingga awal bulan hadapan memberi pelbagai pilihan lauk kepada pelanggannya.

Menurut Chef Irizun Ahmad, promosi tersebut memberi pilihan lauk seperti ayam, kambing ataupun ikan kepada pengunjung.

Bukan itu sahaja, setiap hidangan pasti akan didatangkan bersama pilihan tiga jenis sayuran untuk melengkapkan lagi set daun pisang tersebut.

“Untuk promosi nasi daun pisang kali ini, Hotel Vistana memberi pilihan empat jenis lauk kepada pelanggan seperti ayam masala, kambing paratel, ayam goreng madu serta ikan tenggiri goreng berempah.

“Set ini turut dihidangkan bersama sayur-sayuran seperti kari dalcha, kari ayam bersama kentang, peria goreng tepung dan bendi goreng bersama biji sawi.

“Untuk pilihan tersebut, para pelanggan bolehlah memilih dua jenis lauk bersama tiga jenis sajian sayuran dan set nasi daun pisang ini akan dilengkapkan lagi bersama sup rasam," katanya ketika ditemui di Hotel Vistana, baru-baru ini.

Katanya, bagi pelanggan yang menikmati set tersebut, mereka juga akan dihidangkan bersama papadom, jeruk mangga, yogurt timun, cili padi goreng dan juga sambar India.

Yang pasti, hidangan tersebut tidak lengkap sekiranya pelanggan tidak menikmati cendol pulut mamak.

Jelas Chef Irizun, apa yang istimewa mengenai set nasi daun pisang ini ialah ia bukan sahaja merupakan hidangan yang disajikan beralas daun pisang malah kesemua masakan dimasak serta diadun sendiri olehnya dan turut dibantu Chef Hamdan Harun.

Mengulas lanjut mengenai rempah ratus yang digunakan untuk menghasilkan resipi-resipi tersebut, menurut Chef Irizun, kesemuanya merupakan bahan-bahan tempatan.

Walaupun begitu, adunan yang dihasilkan daripada bahan-bahan tempatan adalah mengikut resipi asli masakan India.

Bagaimanapun, untuk menyesuaikan kesemua resipi tersebut dengan cita rasa masyarakat tempatan, ia telah diolah sedikit.

“Diakui masakan India memerlukan kita menggunakan rempah ratus yang banyak untuk memberikan lebih rasa dam aroma.

“Dalam set ini, kami menggunakan segala bahan mengikut resipi asli cuma ia telah diolah sedikit untuk ‘tekak’ masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, rasanya tetap sama dan anda di luar sana boleh merasainya sendiri," katanya lagi.

Chef Irizun yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam bidang masakan turut memberitahu, kesemua hidangan yang disajikan akan dihidangkan panas-panas.

Set nasi daun pisang ini ditawarkan pada harga RM19 manakala bagi setiap tambahan lauk RM6 akan dikenakan manakala sayur akan dikenakan sebanyak RM3.

Dalam pada itu, para pelanggan juga boleh memesan smoothie seperti mango ginger lassi, berry banana, strawberry watermelon dan nutty chocolate untuk dinikmati bersama nasi daun pisang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: