Saturday, April 28, 2012

ABN tawar 100 saluran TV lebih murah

SREEDHAR memberi penerangan kepada  media di Kuala Lumpur, semalam.
SREEDHAR memberi penerangan kepada media di Kuala Lumpur, semalam.
Khidmat televisyen kabel digital berbayar dilancar Jun, sasar tarik 1.2 juta pelanggan tahun depan

ASIAN Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABN), bakal menyertai pasaran televisyen berbayar tempatan dengan menawarkan perkhidmatan televisyen kabelnya pada harga mampu milik menerusi pengenalan pakej asas yang ditawarkan sehingga 30 peratus lebih murah berbanding stesen televisyen berbayar sedia ada.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Sreedhar Subramaniam, perkhidmatan televisyen kabel digital ABN itu yang akan dilancarkan Jun ini, bakal menawarkan 100 saluran pilihan, dengan memperkenalkan sekurang-kurangnya 50 saluran dalam pakej asas ABN.
Beliau berkata, dalam fasa pertama pelancarannya, perkhidmatan itu akan ditawarkan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara menjelang pertengahan tahun depan.

Katanya, sistem televisyen kabel ABN berkeupayaan menyalurkan lebih 1,000 saluran merangkumi kandungan pendidikan, maklumat serta hiburan interaktif berkualiti tinggi tanpa sebarang gangguan perkhidmatan.

“Pakej langganan ABN akan diperkenalkan Jun ini secara berperingkat, dan kami menyasarkan menarik 1.2 juta pelanggan menjelang pertengahan tahun depan.

“Dalam fasa pertama, kami menyasarkan menyediakan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 25 peratus kediaman atau kira-kira 300,000 kediaman pada harga langganan yang sangat berpatutan,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pemasarannya, Michael Chan.
Sreedhar menjelaskan, pihaknya masih belum boleh mengumumkan pakej yang akan ditawarkan kepada pelanggan, kerana syarikat itu masih dalam peringkat akhir memuktamadkan perbincangan dengan beberapa penyedia kandungan.

Selain harga pakej yang sangat rendah, katanya syarikat itu juga akan menawarkan lebih banyak saluran berbeza daripada yang ditawarkan stesen televisyen berbayar lain sebagai strateginya meraih penguasaan pasaran televisyen berbayar tempatan.

Sreedhar berkata, ABN akan melabur kira-kira RM2 bilion dalam tempoh 10 tahun termasuk bagi pembangunan rangkaian kabel, infrastruktur, kos operasi serta kandungan program televisyen kabel itu bagi mengukuhkan jenamanya.

Katanya, semua data ABN akan disalurkan menerusi kabel gentian optik milik pengendali rangkaian kabel gentian optik utama tempatan termasuk Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd.

Mengenai pelan pengembangan syarikat, beliau berkata, ABN juga akan memperluaskan perkhidmatannya meliputi penyediaan perkhidmatan internet dan suara yang akan diperkenalkan selepas beberapa bulan perkhidmatan televisyen dilancarkan.

Sebelum ini dilaporkan ABN melantik Fibrecomm sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian utamanya yang pertama bagi menyambungkan kabel optik serat muktamad ke kediaman di negara ini.

Berdasarkan perjanjian itu, Fibrecomm akan menyediakan ABN dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan Kemudahan Lokasi Bersama bagi menempatkan peralatan rangkaian ABN.

Perkongsian itu akan mempercepatkan pelancaran televisyen, jalur lebar berkelajuan tinggi, suara dan perkhidmatan multimedia lain ABN kepada pelanggannya tanpa sebarang gangguan, dengan menggunakan rangkaian utama sedia ada Fibrecomm yang menggunakan kapasiti kelajuan jalur lebar tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: