Saturday, April 28, 2012

Penari Madonna Jadi Juri 'Showdown 2012' Di 8TV

Peserta yang akan menyertai Showdown 2012.

KUALA LUMPUR: Salah seorang penari kepada penyanyi Hollywood, Madonna iaitu Shay Normann akan menjadi juri jemputan dalam program pertandingan tarian Showdown 2012 yang akan bermula pada 2 Mei ini.

Menurut Penolong Penerbitnya, Ganesh V, juri jemputan itu merupakan salah satu kelainan yang diubah dalam konsep program Showdown selain mutu tarian para peserta yang dianggap lebih hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Jika sebelum ini juri jemputan yang akan bersama-sama dengan juri tetap Showdown 2012 iaitu Joe Flizzow dan Mapple Loo hanya daripada kalangan selebriti-selebriti tempatan, tahun ini kami akan membuat kelainan sedikit dengan memanggil Shay sebagai tetamu.

"Selain itu penari popular Marcus Tucker turut akan menjayakan program ini sebagai juri jemputan. Menerusi pendedahan sebegini, ia sekali gus dapat menunjukkan bakat para peserta ini yang mungkin boleh di bawa ke mata dunia," katanya.

Tambah Ganesh, menarik lagi mengenai Showdown ialah, pemenang bukan sekadar akan mendapat imbuhan wang tunai sebanyak RM50,000 tetapi juga akan menyertai bengkel 'The Urban Dance Camp' di Lorrach, Jerman selama seminggu.

"Bukan semua orang di dunia ini berpeluang menyertai bengkel yang berharga lebih kurang RM200,000 tersebut kerana hanya penari-penari yang dipilih sahaja yang dapat menyertainya.

"Dan memandangkan saingan para peserta kali ini agak sengit, dengan tugasan yang diberikan lebih susah, saya percaya penari yang terbaik dalam Showdown pastinya layak menyertai bengkel tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu Ganesh menasihatkan kepada semua peserta supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti pergaduhan di antara dua kumpulan peserta pada tahun lalu.

Dan jika ia berlaku lagi, peserta yang terbabit akan disingkirkan serta merta.

Kesemua 12 peserta atau dipanggil krew yang dipilih ialah Dem Lepak Boyz (DLB), D'vol Blacky Wacky (DBW), E.G.S Monster (EGS), Inversion (IVS), Kitta Move (KM), Project Elementz (PEZ), Soulgang (SG), Soul Krazy (SK), Syko Breakerz (SBC), The Hype (HYP), Walawei (WLW) dan We Taking Over (WTO).

Program itu bakal bersiaran dari KL Live, dekat sini secara langsung pada setiap Rabu pukul 9.30 malam menerusi saluran 8TV.

Ia masih mengekalkan format yang sama di mana setiap krew memerlukan undian penonton untuk meneruskan perjuangan.

Empat krew yang meraih undian terendah akan memasuki pusingan 'Battle' dan pihak juri akan menyingkirkan krew yang tertewas.

Bagi yang ingin mengundi krew kegemaran masing-masing, taip SD KOD KREW dan hantar ke 33399.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: