Monday, April 30, 2012

Ratu di litar, cekap di dapur

NASHA rajin membantu ibunya di dapur jika tidak terbabit dalam sebarang perlumbaan CubPrix.

PENAMPILAN pelumba CubPrix Petronas AAM Malaysia, Nasha Edziera Muhamad Bahauddin bersaing di atas litar sering kali mencuri perhatian penonton.

Keberanian remaja berusia 17 tahun itu menceburi sukan yang selama ini didominasi golongan lelaki, mengundang rasa kagum orang ramai terhadap dirinya.

Namun, tidak kurang juga yang agak skeptikal terhadap kebolehannya untuk bersaing dengan pelumba lelaki, lebih-lebih lagi apabila melihat penampilan gadis manis ini yang bertudung litup.

Bagaimanapun, Nasha tidak mempedulikan persepsi orang lain terhadapnya kerana apa yang lebih penting adalah kemampuan serta prestasi dirinya di atas litar.

Ketika berkunjung ke kediaman keluarga Nasha di Negeri Sembilan, Rabu lalu, penulis sama sekali tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu memiliki perawakan yang lemah lembut.

Barangkali, bagi mereka yang pertama kali bersua dengan Nasha pasti tidak menyangka bahawa gadis manis ini merupakan seorang pelumba CubPrix.

Membuka lembaran kariernya sebagai pelumba, Nasha mula berjinak-jinak dalam sukan lasak itu sejak berusia 12 tahun, sebelum dia memberanikan diri menyertai CubPrix Petronas AAM Malaysia pada 2010.

Nasha berkata: "Minat terhadap sukan pemotoran ini timbul apabila sering kali melihat adik lelaki saya bermain motosikal mini dan selepas itu saya mula beranikan diri untuk turut serta sebelum menyertai CubPrix.

"Ayah adalah individu yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk menjadi seorang pelumba, sungguh pun sedar saya agak sukar bersaing dengan pelumba lelaki.

"Memori paling manis yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila berjaya berada di atas podium memperoleh tempat ketiga ketika menyertai perlumbaan di Melaka pada 2009," kata Nasha yang menjadikan pelumba MotoGP, Velentino Rossi sebagai idolanya.

Sekalipun dia dilihat lasak ketika berlumba di litar, sebagai anak gadis, Nasha amat cekap ketika di dapur membantu ibunya memasak jika tidak terbabit dalam sebarang sesi latihan atau perlumbaan.

"Saya memang biasa membantu ibu di dapur dan dalam masa yang sama dapat belajar memasak.

"Masakan yang paling mencabar pernah saya sediakan ialah rendang yang biasanya saya masak menjelang Hari Raya Aidilfitri, namun masakan saya masih tidak sehebat ibu," katanya yang kini sedang belajar memasak nasi ayam.

Selain memasak, Nasha turut memiliki hobi mengumpul tudung sejak di tingkatan tiga, membaca komik dan juga bermain dengan kucing belaan keluarganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: