Monday, April 30, 2012

'Kerana kasihan, mentua paksa suamiku kahwini sepupu'

"MAK harap kamu reda dengan apa yang akan berlaku. Mak nak nikahkan suami kamu dengan sepupunya yang kini telah menjadi ibu tunggal."

Jika anda yang mendengar kata-kata itu, apa tindakan anda? Marah, merajuk atau melawan keputusan mentua anda.

Tentu ia suatu isu perit yang sukar anda selesaikan dalam sekelip mata. Apa kata kita ikuti kisah ini seterusnya, luahan perasaan Shila (bukan nama sebenar) yang ingin dimadukan oleh mentuanya sendiri gara-gara kasihan kepada anak saudaranya yang sudah kehilangan suami.

Wanita ini saya temui pada satu majlis seorang kenalan baru-baru ini. Saya memang tahu dia bermasalah, jadi urusan saya untuk berkongsi cerita dengannya tidak menjadi masalah kerana Shila dengan senang hati bercerita kepada saya tentang kemelut rumah tangga yang dihadapinya.

Begini cerita Shila.

"Saya berusia 45 tahun dan suami, Amirul (bukan nama sebenar) 50 tahun. Kami sudah 25 tahun hidup bersama. Rumah tangga kami bahagia, tidak ada masalah langsung.

"Tiga orang anak kami sudah berjaya dalam hidup mereka dan sudah bekerja. Mentua seorang yang baik hati, penyayang dan amat mengambil berat akan hal kami sekeluarga.

"Saya adalah menantu sulung dalam keluarga suami seramai empat adik-beradik. Jadi saya selalu mengalah dalam apa juga perkara dalam keluarga mentua.

"Suami seorang yang baik, penyayang dan mengambil berat akan hal saya dan anak-anak. Biarpun anak-anak semua sudah dewasa, hubungan tetap akrab.

"Suatu hari mentua saya menelefon suami meminta kami pulang ke kampung, katanya ada urusan penting berkaitan keluarga. Seperti biasa saya dan suami tidak banyak tanya. Dalam perjalanan kami meneka apa agaknya yang hendak diceritakan ibu kali ini.

"Dalam kereta kami berbincang apakah masalah ibu kali ini. Tapi suami rileks sahaja kerana katanya jika tidak kerana nak minta wang mungkin dia mahu buat kenduri.

"Tekaan kami meleset sama sekali setibanya di sana. Jantung saya bagaikan meletup kala ibu mentua meminta saya berkorban untuk dia dan suami.

"Seingat saya selama ini saya selalu berkorban sehingga ada masanya saya ketepikan keluarga sendiri kerana mentua.

"Saya tanya pengorbanan yang macam mana dia inginkan. Katanya dia mahu saya mengizinkan suami bernikah dengan anak saudaranya yang kini sudah menjadi ibu tunggal setelah kematian suami.

"Macam hendak meletup jantung saya mendengar permintaannya itu. Tapi saya tidak tunjuk marah dan geram saya. Kata mentua lagi, suami mesti ikut katanya kali ini sebab dulu suami memang dicadangkan untuk bernikah dengan sepupunya itu tetapi kerana saya jadi pilihan, dia ikut saja.

"Kini katanya sudah sampai masanya saya pula berkorban untuk bermadu dengan sepupu suami. Kononnya sebab dia kasihan dengan anak saudaranya itu yang tidak ada suami dan terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri.

"Suami saya juga terkejut dan membantah keputusan ibunya itu. Itulah kali pertama saya melihat suami bertengkar dengan mentua sejak kami berkahwin.

"Saya menangis apabila kami tiga beranak bergaduh tentang perkara ini. Suami mempertahankan saya dan menyifatkan tindakan mentua sebagai mengarut.

"Saya pelik juga, kenapa dia mesti sibuk nak kahwinkan anak saudaranya itu dengan suami saya sedangkan anak saudaranya itu bukanya orang susah. Suaminya ada meninggalkan banyak harta dan wang untuk dia dan anak-anaknya. Tanpa suami pun dia boleh hidup senang.

"Saya terpaksa mempertahankan suami kerana saya tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Biarpun kami sudah 25 tahun bernikah saya sayangkan suami dan rumah tangga kami.

"Kenapa sekarang baru mentua mahu menjodohkan mereka? Adakah dia sengaja hendak sakitkan hati saya dengan isu ini.

"Apabila suami berkeras tidak mahu menerima cadangan ibunya, mentua mengeluarkan kata-kata kalau kami berdua tidak mahu mengikut katanya kami diharamkan balik ke rumahnya lagi.

"Terkejut juga kami dengan ugutan itu tetapi kami pasrah. Jika itu yang mentua mahu, kami akan akur. Keputusannya kami sekeluarga disingkir mentua.

"Kini sudah hampir setahun saya dan suami tidak pulang ke kampung bersama anak-anak. Ipar-duai saya juga demikian, mereka juga jarang balik sebab saya dan suami tidak ada.

"Menurut saudara mara yang selalu menghubungi saya dan tahu kisah ini, mentua sekarang amat rapat dengan anak saudaranya itu. Ke hulu ke hilir berdua, malah mentua juga sekarang sudah pandai melaram.

"Saya tidak pelik dengan khabar itu kerana anak saudaranya itu memang seorang yang pandai bergaya. Dia juga pernah beberapa kali menelefon suami untuk berjumpa dan berbual... alhamdulillah, setakat ini suami tidak melayan.

"Keadaan itu menjadikan kami trauma untuk balik kampung... Kini saya dalam dilema, saya kasihankan suami yang terputus hubungan dengan ibunya gara-gara hendak mempertahankan kesetiaannya terhadap saya.

"Pada masa yang sama saya gembira dan terharu kerana suami membela saya. Saya harap ada keajaiban yang berlaku dalam keluarga kami.

"Saya faham setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap hari saya berdoa agar mentua akan insaf dan sedar akan perbuatannya itu. Saya juga berharap satu hari nanti mentua akan menerima kami semula seperti masa lalu. Pesan ibu saya, jangan putus berdoa, mohon kepada Allah agar segala kekalutan akan berakhir dan hubungan dengan mentua kembali seperti sedia kala.

"Saya harap semuanya akan berakhir dalam masa terdekat. Walaupun saya sedih dengan keadaan ini saya terima dengan reda. Sehingga kini saya tidak tahu kenapa mentua mahu jodohkan anak saudaranya itu dengan suami saya.

"Pelik juga apabila difikirkan tetapi saya tidak mahu membebankan fikiran saya dengan masalah itu sebab yang penting suami dan anak-anak ada di sisi saya. Susah senang kami akan harungi bersama. Semoga Allah memakbulkan doa saya dan membuka pintu hati mentua untuk kembali seperti masa lalu. Insya-Allah," Shila menutup cerita dengan penuh mengharap.

Pelik juga kisah Shila kongsi dengan pembaca minggu ini. Tetapi itulah realiti hidup. Jangan fikir di penghujung perkahwinan tidak ada dugaan yang datang. Malah semakin usia meningkat, semakin hebat cabaran yang datang.

Saya harap Shila akan terus tabah melalui ujian ini. Mungkin mentua ada sebab untuk berbuat demikian tetapi Shila harus bersyukur kerana suami tetap setia mempertahankan kasih sayangnya terhadap Shila dan rumah tangga. Susah mencari suami yang setia seperti ini masa sekarang.

Saya juga berdoa agar kemelut keluarga ini akan berakhir dalam masa terdekat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan hidup Shila dan keluarga untuk terus menggapai kebahagiaan. Tindakan suami tidak melayan sepupunya itu juga satu tindakan bijak dan harus diteruskan. Jangan beri muka kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih keruh.

Menutup kata, pesanan daripada saya: Bersabar dan berdoa adalah sebaik-baik cara untuk memulihkan keadaan kerana dengan mengingati Allah akan mendekatkan kita dengan kebahagiaan yang dicari.

Salam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: