|
BEIRUT – Para aktivis Syria mendakwa bahawa serangan tentera masih berlaku di dua buah bandar di Syria.
Ini sekali gus menunjukkan tiada tanda pengunduran tentera secara besar-besaran dilakukan semalam, sehari selepas Presiden Syria, Bashar Al-Assad dikatakan akan mengundurkan tenteranya di bawah satu gencatan senjata.
Gencatan senjata yang dicanang oleh utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB)-Liga Arab, Koffi Annan itu dilihat sebagai peluang terakhir diplomasi.
Namun, usaha itu nampaknya gagal untuk mengelak Syria daripada terjerumus ke dalam kancah perang saudara.
Kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Assad yang berlarutan selama 13 bulan bertukar ganas sebagai maklum balas terhadap tindakan kejam tentera rejim. Pertempuran juga dibimbangi akan merebak ke sempadan-sempadan Syria.
Kelmarin, tentera Syria melepaskan tembakan di sempadan Turki dan Lebanon, membunuh seorang wartawan televisyen Lebanon dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang di sebuah kem pelarian di Turki.
Syria pada awalnya menerima gencatan senjata itu, tetapi ia membangkitkan tuntutan pada saat akhir dengan menyatakan bahawa mereka tidak akan berundur tanpa jaminan bertulis pejuang pemberontak akan meletak senjata. Pihak pembangkang Syria bagaimanapun menolak tuntutan tersebut.
Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman, tiada sebarang tanda-tanda pengunduran tentera dibuat secara besar-besaran walaupun serangan tentera Syria semakin berkurangan.
Pemantau itu mendakwa, askar-askar rejim membedil bandar Mareh semalam. Beberapa aktivis juga memberitahu pusat bandar Homs dibedil oleh peluru mortar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: