Tuesday, April 10, 2012

Tasha Shila Lebih Selektif Memilih Watak Selepas Menang ABPBH

Tasha Shila.

GENTING HIGHLANDS: Pelakon Tasha Shila akan lebih selektif dalam pemilihan watak selepas ini kerana tidak mahu para peminat dan penonton berasa bosan dengan kemunculannya di televisyen.

Tasha berkata, dia mengambil keputusan itu adalah kerana tidak mahu dilabel sebagai artis “stereotype” kerana sering tampil dengan watak sama.

"Bukan demand tetapi ingin mengelakkan orang berasa bosan sebab asyik bawa watak yang sama sahaja setiap masa. Tambahan pula, tahun ini saya memang berazam untuk mempelbagaikan lagi kebolehan berlakon supaya kehadiran saya dapat memberi kesan kepada penonton," ujarnya kepada mStar Online.

Tasha ditemui selepas berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di sini pada malam Ahad.

Pelakon itu memenangi kategori Pelakon Wanita Baru Popular pada majlis tersebut.

Tambah Tasha, dia juga akan lebih memilih projek filem yang diterimanya kerana sebelum ini tiga filem lakonannya tidak memberikan impak kepada penonton.

"Ada beberapa tawaran filem pada tahun ini tetapi saya perlu lebih berhati-hati memilih kerana mahu watak itu memberikan impak kepada penonton dan bukan hanya diingati sebagai pelakon yang sering bawa watak 'gedik'," katanya.

Bagaimanapun, Tasha berkata, keputusannya itu tidak ada kena mengena dengan kemenangannya pada ABPBH 2011 sebaliknya merasakan perkara itu perlu dilakukan untuk memastikan kerjaya lakonannya stabil.

"Saya masih orang yang sama sebelum memenangi anugerah ini dan rasanya tiada sebab untuk berubah selepas memenangi anugerah ini.

"Kemenangan di ABPBH 2011 adalah sebagai satu tanggungjawab kepada saya untuk lebih serius terhadap apa yang saya lakukan dan yakin peminat sentiasa bersama saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia memasang angan-angan untuk melebarkan kerjaya seninya ke peringkat luar negara sebagai pelakon dan berharap cita-citanya itu akan tercapai suatu hari nanti.

Tasha berkata, dia perlu bekerja keras untuk merealisasikan impiannya itu kerana menyedari ia bukan satu perkara mudah.

"Semenjak bergelar pelakon telah banyak perkara yang saya lalui sama ada baik atau pun buruk demi mengejar sebuah kejayaan. Namun saya tidak pernah berputus asa.

"Atas dorongan itu juga saya yakin dapat mengejar impian saya dengan berkat doa keluarga, peminat dan usaha," katanya.

Sementara itu, Tasha memberitahu dia bakal muncul dengan beberapa buah drama dan telefilem seperti Landasan Cinta, Takdir Yang Terindah dan Friday I'm in Love.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: